Surah 43: Az-Zukhruf (26 – 28)

Nabi Ibrahim as Berlepas Diri daripada Kemusyrikan Bapa dan Kaumnya

Surah 43: Az-Zukhruf (26 – 28)


Ayat 26

وَإِذْ قَالَ إِبْرَٰهِيمُ لِأَبِيهِ وَقَوْمِهِۦٓ إِنَّنِى بَرَآءٌ مِّمَّا تَعْبُدُونَ

Dan ingatlah ketika Ibrahim berkata kepada bapanya dan kaumnya, “Sesungguhnya aku tidak bertanggung jawab terhadap apa yang kamu sembah.

Allah Swt menyatakan tentang Nabi Ibrahim as yang berlepas diri daripada bapa dan kaumnya yang bersungguh-sungguh menyembah berhala.

Nabi Ibrahim as tidak turut menyembah berhala sebagaimana ayah dan kaumnya. Ini kerana baginda berpegang kepada kalimah syahadah ‘La ilaha illallah’ iaitu dengan menolak fahaman yang salah.

Maksud بَرَاءٌ dalam ayat ini ialah Nabi Ibrahim as mengisytiharkan bahawa baginda tidak ada kaitan dengan perkara yang tidak disukainya. Dalam hal ini baginda memutuskan hubungan dengan orang-orang musyrik.

Ayat 27

إِلَّا ٱلَّذِى فَطَرَنِى فَإِنَّهُۥ سَيَهْدِينِ

Tetapi (aku menyembah Rabb) yang menciptakanku. Sesungguhnya Dia akan memberi hidayah kepadaku.”

Nabi Ibrahim as menyatakan kepada bapanya dan kaumnya bahawa baginda hanya beribadah kepada Allah Yang Maha Esa yang tidak ada sekutu bagi-Nya. Inilah maksud ‘illallah’ (melainkan Allah) dalam syahadah iaitu selepas menolak akidah yang salah, maka hendaklah tetapkan (ithbat) dengan akidah yang benar.

Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“Sesungguhnya ada bagi kamu teladan yang baik pada Ibrahim dan pengikut-pengikutnya semasa mereka berkata, ‘Sesungguhnya kami berlepas diri daripada kamu dan daripada apa yang kamu sembah selain Allah……………’”

Al-Mumtahanah 60:4

Nabi Ibrahim as meyakini bahawa selepas baginda memutuskan hubungan dengan bapanya dan kaum musyrik itu, baginda akan diberikan hidayah.

Hidayah yang dimaksudkan ini ada dua, iaitu yang pertama petunjuk dalam bentuk agama dan yang kedua petunjuk dalam kehidupan. Itulah keyakinan dan pengharapan baginda yang sangat tinggi kepada Allah Swt. Sikap inilah yang perlu diamalkan oleh setiap mukmin iaitu menyerahkan diri kepada Allah Swt dan inilah yang dinamakan tawakkal.

Ayat 28

وَجَعَلَهَا كَلِمَةًۢ بَاقِيَةً فِى عَقِبِهِۦ لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ

Dan (lbrahim) menjadikan (kalimah tauhid) itu kalimah yang kekal pada keturunannya agar mereka kembali (kepada kalimah tauhid itu).

Nabi Ibrahim as menjadikan kalimah tauhid La ilaha illallah, (‘Tidak ada Ilah yang berhak diibadahi dengan benar melainkan Allah’) kekal sebagai pegangan keturunannya. Kalimah inilah yang diikuti oleh keturunan baginda yang mendapat petunjuk untuk meneladani dirinya.

Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:

“Dan Ibrahim mewasiatkan (ucapan) itu kepada anak-anaknya, dan (demikian juga) Yaakub, ‘Wahai anak-anakku! Sesungguhnya Allah telah memilih agama ini menjadi ikutan kamu, maka janganlah kamu mati melainkan kamu dalam keadaan memeluk Islam.”

Al-Baqarah 2:132

“(Ibrahim berdoa) Wahai Rabbku, jadikanlah aku orang yang mendirikan solat dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Rabb kami, perkenankanlah doa permohonanku.”

Ibrahim 14:40