Surah 2: Al-Baqarah (30 – 38) 

Perlantikan Manusia sebagai Khalifah 

Surah 2: Al-Baqarah (30 – 38) 


Perlantikan Manusia sebagai Khalifah

Nabi Adam as dan Hawa diperdaya oleh iblis untuk memakan buah terlarang

Ringkasan Kisah

Manusia diberi peranan sebagai khalifah di muka bumi bagi memakmurkan dunia. Allah Swt berfirman kepada malaikat yang Dia hendak menjadikan Khalifah di bumi. Manusia pertama yang dicipta adalah Adam. Maka ini adalah sejarah tentang asal kejadian manusia.

Bagi membuktikan kemuliaan Nabi Adam as, Allah Swt mengajarkan kepadanya nama-nama ciptaan-Nya seperti langit, bumi, lautan dan sebagainya. Kemudian Allah Swt membentangkan benda-benda itu ke hadapan malaikat untuk malaikat menyebut nama-nama tersebut. Setelah para malaikat tidak tahu apakah nama-nama benda itu, Allah Swt memerintahkan Nabi Adam as pula untuk menyebutnya.

Setelah Nabi Adam as selesai menyatakan nama-nama benda itu, Allah Swt memerintahkan kepada malaikat untuk sujud kepada Nabi Adam as. Maka malaikat mentaati perintah tersebut kecuali iblis. Perintah itu bukanlah sujud untuk beribadah kepadanya tetapi sebagai penghormatan dan pengakuan mereka terhadap kelebihan dan keistimewaan yang ada pada Nabi Adam as.

Dari sini, kita dapat tahu bahawa manusia lebih mulia dari malaikat dan jin kerana ilmu.

Nabi Adam as diberikan tempat di syurga. Kemudian diciptakan Hawa sebagai isterinya. Nabi Adam as dan Hawa menjadi sasaran godaan iblis untuk memakan buah dari pohon terlarang. Akhirnya, kedua-duanya terusir dari syurga dan diturunkan ke bumi.

Nabi Adam as sedar akan kesilapannya, maka baginda beristighfar memohon ampun kepada Allah Swt. Allah Swt telah mengajarkannya kalimat taubat dan menerima taubatnya.

Kita percaya bahawa Nabi Adam as memang dijadikan untuk tinggal di dunia. Ini berbeza pendapat dengan agama Kristian yang percaya bahawa Nabi Adam as telah ‘dibuang’ dari syurga (the original sin).

Segala kejadian yang menyebabkan Nabi Adam as dan isterinya dikeluarkan dari syurga adalah sebagai alasan sahaja untuk menetapkan manusia hidup di dunia. Ini adalah kerana memang Allah Swt telah takdirkan dari dahulu lagi yang manusia akan tinggal di dunia. Semua keturunan Nabi Adam as dikehendaki duduk di dunia dahulu kerana dunia adalah tempat ujian. Sesudah melepasi ujian, barulah manusia akan dimasukkan ke dalam syurga atau neraka.

Bagi melaksanakan tanggungjawab sebagai khalifah di muka bumi, Allah Swt menghantar para Nabi dan Rasul untuk membawa petunjuk kepada manusia – Al-Quran dan Sunnah Nabi. Bagi mereka yang mengikut petunjuk dari Allah Swt, tidak ada ketakutan bagi mereka, sama ada di dunia atau di akhirat dan mereka tidak bersedih kerana mereka akan merasa tenang dan redha dengan apa yang Allah Swt berikan kepada mereka. Tetapi bagi mereka yang engkar pada petunjuk Allah Swt, mereka akan dimasukkan ke dalam neraka.

Ayat 30

وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلَـٰٓئِكَةِ إِنِّى جَاعِلٌ فِى ٱلْأَرْضِ خَلِيفَةً ۖ قَالُوٓا۟ أَتَجْعَلُ فِيهَا مَن يُفْسِدُ فِيهَا وَيَسْفِكُ ٱلدِّمَآءَ وَنَحْنُ نُسَبِّحُ بِحَمْدِكَ وَنُقَدِّسُ لَكَ ۖ قَالَ إِنِّىٓ أَعْلَمُ مَا لَا تَعْلَمُونَ

Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi”. Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): “Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memuji-Mu dan mensucikan-Mu?”. Tuhan berfirman: “Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya”.

Allah Swt memberitahu tentang kurniaan-Nya yang dianugerahkan kepada anak cucu Nabi Adam as berupa penghormatan kepada mereka iaitu Dia membicarakan hal mereka kepada para malaikat sebelum mereka diciptakan. 

Allah Swt menceritakan hal ini kepada Rasulullah saw dan baginda diminta menyampaikan pula kepada umat baginda. Dalam pembicaraan tersebut Dia menyatakan bahawa Dia akan menjadikan seorang khalifah di bumi. 

Menurut Ibnu Kathir, perkataan ‘خَلَٰئِفَ – khalaaif’ bermaksud pengganti-pengganti. Oleh itu yang akan menjadi khalifah di bumi nanti adalah Nabi Adam as dan keturunannya daripada satu generasi ke generasi yang lain sebagaimana firman Allah Ta’ala: 

“Dan Dia-lah yang menjadikan kamu penguasa-penguasa di bumi dan Dia meninggikan sebahagian kamu atas sebahagian (yang lain) beberapa darjat, untuk mengujimu tentang apa yang diberikan-Nya kepadamu………” 

Al-An’am 6:165 

Pertanyaan para malaikat terhadap pernyataan Allah Swt itu bukanlah sebagai sanggahan terhadap kebijaksanaan Allah Ta’ala dan bukan pula kerana dengki atau iri hati terhadap Nabi Adam as serta keturunannya. Mereka adalah makhluk yang tidak pernah berbuat dosa dan tidak berkata-kata melainkan dengan izin Allah Swt. Mereka hanya ingin mendapatkan penjelasan dan hikmah di sebaliknya. 

Lalu Allah Swt menyatakan bahawa Dia Maha Mengetahui di sebalik penciptaan makhluk-Nya ini yang terdapat kemaslahatan yang lebih besar berbanding dengan kerosakan yang disebut oleh para malaikat dalam ayat di atas. 

Ada beberapa pendapat yang mengatakan malaikat mengetahui keadaan yang bakal dilakukan oleh khalifah itu ketika berada di dunia kelak. Antaranya  ialah malaikat memahami daripada perkataan ‘khalifah’ iaitu orang yang memutuskan perkara di antara manusia tentang kezaliman yang terjadi antara mereka dan mencegah mereka daripada perbuatan dosa dan terlarang. 

Ayat 31

وَعَلَّمَ ءَادَمَ ٱلْأَسْمَآءَ كُلَّهَا ثُمَّ عَرَضَهُمْ عَلَى ٱلْمَلَـٰٓئِكَةِ فَقَالَ أَنۢبِـُٔونِى بِأَسْمَآءِ هَـٰٓؤُلَآءِ إِن كُنتُمْ صَـٰدِقِينَ

Dan Ia telah mengajarkan Nabi Adam, akan segala nama benda-benda dan gunanya, kemudian ditunjukkannya kepada malaikat lalu Dia berfirman: “Terangkanlah kepada-Ku nama benda-benda ini semuanya jika kamu golongan yang benar”.

Ayat ini menyatakan kemuliaan Nabi Adam as berbanding malaikat. Allah Ta’ala khususkannya dan mengajarkan kepadanya nama-nama segala sesuatu yang tidak Dia ajarkan kepada para malaikat. 

Ayat 32

قَالُوا۟ سُبْحَـٰنَكَ لَا عِلْمَ لَنَآ إِلَّا مَا عَلَّمْتَنَآ ۖ إِنَّكَ أَنتَ ٱلْعَلِيمُ ٱلْحَكِيمُ

Malaikat itu menjawab: “Maha suci Engkau (Ya Allah)! Kami tidak mempunyai pengetahuan selain dari apa yang Engkau ajarkan kepada kami; sesungguhnya Engkau jualah yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana”.

Para malaikat ternyata tidak mampu menyebut nama benda-benda tersebut dan akhirnya mereka mengakui kelemahan mereka. Mereka mensucikan Allah Swt dan mengatakan bahawa tidak ada seorang pun yang mengetahui sesuatu daripada ilmu-Nya kecuali atas kehendak-Nya. Mereka mengaku tidak akan pernah mengetahui selain apa yang Dia ajarkan. 

Firman Allah Ta’ala dalam surah yang lain: 

“Dan pada sisi Allah kunci-kunci semua yang ghaib, tidak ada yang mengetahuinya kecuali Dia sendiri, dan Dia mengetahui apa yang di daratan dan di lautan, dan tiada sehelai daun pun yang gugur melainkan Dia mengetahuinya (pula), dan tidak jatuh sebutir biji pun dalam kegelapan bumi, dan tidak sesuatu yang basah atau yang kering, melainkan tertulis dalam kitab yang nyata (Lauh Mahfuz).” 

Al-An’am 6:59 

Ayat 33

قَالَ يَـٰٓـَٔادَمُ أَنۢبِئْهُم بِأَسْمَآئِهِمْ ۖ فَلَمَّآ أَنۢبَأَهُم بِأَسْمَآئِهِمْ قَالَ أَلَمْ أَقُل لَّكُمْ إِنِّىٓ أَعْلَمُ غَيْبَ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ وَأَعْلَمُ مَا تُبْدُونَ وَمَا كُنتُمْ تَكْتُمُونَ

Allah berfirman: “Wahai Adam! Terangkanlah nama benda-benda ini semua kepada mereka”. Maka setelah Nabi Adam menerangkan nama benda-benda itu kepada mereka, Allah berfirman: “Bukankah Aku telah katakan kepada kamu, bahawasanya Aku mengetahui segala rahsia langit dan bumi, dan Aku mengetahui apa yang kamu nyatakan dan apa yang kamu sembunyikan?”.

Setelah terbukti keutamaan Nabi Adam as mengatasi para malaikat dengan kemampuannya menyebutkan seluruh nama-nama yang diajarkan oleh Allah Ta’ala kepadanya, maka Dia menyatakan kepada para malaikat sesungguhnya Dia Maha Mengetahui segala yang ghaib baik yang nyata mahupun yang tersembunyi. Ini sebagaimana firman-Nya: 

“Dan jika kamu mengeraskan ucapanmu, maka sesungguhnya Dia mengetahui rahsia dan yang lebih tersembunyi.” 

Taha 20:7 

Ayat 34

وَإِذْ قُلْنَا لِلْمَلَـٰٓئِكَةِ ٱسْجُدُوا۟ لِـَٔادَمَ فَسَجَدُوٓا۟ إِلَّآ إِبْلِيسَ أَبَىٰ وَٱسْتَكْبَرَ وَكَانَ مِنَ ٱلْكَـٰفِرِينَ

Dan (ingatlah) ketika kami berfirman kepada malaikat: “Tunduklah (beri hormat) kepada Nabi Adam”. Lalu mereka sekaliannya tunduk memberi hormat melainkan Iblis; ia enggan dan takbur, dan menjadilah ia dari golongan yang kafir.

Sujud yang diperintahkan oleh Allah Swt  ini merupakan sujud penghormatan kepada Nabi Adam as. Para malaikat melaksanakan perintah Allah Ta’ala ini lalu bersujud kepada baginda manakala iblis menentangnya kerana adanya perasaan sombong dan iri hati terhadap Nabi Adam as yang lebih dimuliakan oleh Allah Ta’ala seperti dalam firman-Nya: 

“Allah berfirman, ‘Apakah yang menghalang kamu untuk bersujud (kepada Adam) ketika Aku menyuruhmu?’ Iblis menjawab, ‘Aku lebih baik daripadanya, Engkau ciptakan aku daripada api, sedang dia Engkau ciptakan daripada tanah.’” 

Surah Al-A’raf 7:12 

Iblis adalah daripada golongan jin dan bukannya daripada golongan malaikat. Hal ini dinyatakan dalam beberapa ayat Al-Quran, antaranya ialah: 

“Dan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepada para malaikat, ‘Sujudlah kamu kepada Adam, maka sujudlah mereka kecuali iblis. Dia adalah dari golongan jin, maka ia menderhakai perintah Rabb-Nya………..” 

Al-Kahfi 18:50 

Penentangan iblis terhadap arahan Allah Swt ini telah menyebabkan ia dimasukkan ke dalam golongan orang-orang kafir. Ia dikutuk dan dijauhkan daripada kebaikan. 

Ayat 35

وَقُلْنَا يَـٰٓـَٔادَمُ ٱسْكُنْ أَنتَ وَزَوْجُكَ ٱلْجَنَّةَ وَكُلَا مِنْهَا رَغَدًا حَيْثُ شِئْتُمَا وَلَا تَقْرَبَا هَـٰذِهِ ٱلشَّجَرَةَ فَتَكُونَا مِنَ ٱلظَّـٰلِمِينَ

Dan kami berfirman: “Wahai Adam! Tinggalah engkau dan isterimu dalam syurga, dan makanlah dari makanannya sepuas-puasnya apa sahaja kamu berdua sukai, dan janganlah kamu hampiri pokok ini; (jika kamu menghampirinya) maka akan menjadilah kamu dari golongan orang-orang yang zalim”.

Allah Swt memuliakan Nabi Adam as dan isterinya dengan memperkenankan mereka berdua tinggal di dalam syurga. Mereka boleh menikmati segala kenikmatan yang ada di dalamnya yang banyak lagi baik di mana sahaja yang mereka sukai kecuali mereka dilarang mendekati pohon larangan agar mereka tidak termasuk dalam golongan orang-orang yang zalim. 

Ayat 36

فَأَزَلَّهُمَا ٱلشَّيْطَـٰنُ عَنْهَا فَأَخْرَجَهُمَا مِمَّا كَانَا فِيهِ ۖ وَقُلْنَا ٱهْبِطُوا۟ بَعْضُكُمْ لِبَعْضٍ عَدُوٌّ ۖ وَلَكُمْ فِى ٱلْأَرْضِ مُسْتَقَرٌّ وَمَتَـٰعٌ إِلَىٰ حِينٍ

Setelah itu maka syaitan menggelincirkan mereka berdua dari syurga itu dan menyebabkan mereka dikeluarkan dari nikmat yang mereka telah berada di dalamnya dan Kami berfirman: “Turunlah kamu! Sebahagian dari kamu menjadi musuh kepada sebahagian yang lain dan bagi kamu semua disediakan tempat kediaman di bumi, serta mendapat kesenangan hingga ke suatu masa (mati)”.

Iblis menjerumuskan mereka berdua ke dalam kesalahan dengan menggoda mereka sehingga mereka memakan buah terlarang. Firman Allah Ta’ala: 

“Dan dia (iblis) bersumpah kepada kedua-duanya, ‘Sesungguhnya aku adalah termasuk orang yang memberi nasihat kepada kamu berdua,’ maka dia (iblis) memujuk kedua-duanya (untuk memakan buah itu) dengan tipu daya. Tatkala kedua-duanya telah merasai buah kayu itu, nampaklah bagi kedua-duanya aurat-auratnya, dan mulailah kedua-duanya menutupinya dengan daun-daun syurga. Kemudian Rabb mereka menyeru mereka, ‘Bukankah Aku telah melarang kamu berdua dari pohon kayu itu dan Aku katakan kepadamu, ‘Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi kamu berdua?’” 

Al-A’raf 7:21-22 

Lalu iblis menjadi sebab terusirnya Nabi Adam as dan isterinya dari syurga. Iblis juga turut terusir dan mereka diperintahkan oleh Allah Ta’ala turun ke bumi dan mereka dijadikan musuh sesama mereka. Maka tinggallah mereka di bumi dan mendapat manfaat daripada apa yang ada di bumi. 

Ayat 37

فَتَلَقَّىٰٓ ءَادَمُ مِن رَّبِّهِۦ كَلِمَـٰتٍ فَتَابَ عَلَيْهِ ۚ إِنَّهُۥ هُوَ ٱلتَّوَّابُ ٱلرَّحِيمُ

Kemudian Nabi Adam menerima dari Tuhannya beberapa kalimah (kata-kata pengakuan taubat yang diamalkannya), lalu Allah menerima taubatnya; sesungguhnya Allah, Dia-lah yang Maha Pengampun (Penerima taubat), lagi Maha Mengasihani.

Allah Swt mengilhamkan kepada Nabi Adam as beberapa kalimah untuk diungkapkannya sebagai tanda taubatnya. Maksud “beberapa kalimah” dalam ayat ini dinyatakan dalam surah yang lain iaitu firman-Nya: 

“Kedua-duanya berkata, ‘Wahai Rabb kami, kami telah menzalimi diri kami sendiri, jika Engkau tidak mengampuni kami dan merahmati kami nescaya kami termasuk orang-orang yang rugi.’” 

Al-A’raf 7:23 

Nabi Adam as dan isterinya mengaku kesalahan mereka dan memohon keampunan daripada Allah Swt. Allah Ta’ala yang Maha Pengasih telah menerima taubat mereka. 

Ayat 38

قُلْنَا ٱهْبِطُوا۟ مِنْهَا جَمِيعًا ۖ فَإِمَّا يَأْتِيَنَّكُم مِّنِّى هُدًى فَمَن تَبِعَ هُدَاىَ فَلَا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ

Kami berfirman lagi: “Turunlah kamu semuanya dari syurga itu! Kemudian jika datang kepada kamu petunjuk dariKu (melalui Rasul-rasul dan Kitab-kitab yang diturunkan kepada mereka), maka sesiapa yang mengikuti petunjuk-Ku itu nescaya tidak ada kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita”.

Ayat ini memberitahu tentang peringatan yang pernah diberikan oleh Allah Swt kepada Nabi Adam as, isterinya dan iblis ketika mereka diturunkan ke bumi. Dia akan mengutuskan rasul-rasul dan menurunkan kitab-kitab sebagai pembimbing dan petunjuk kepada anak cucu Nabi Adam as. 

Oleh itu, sesiapa yang menerima kitab-kitab yang diturunkan dan menyambut baik para rasul yang diutuskan, nescaya tiada kebimbangan baginya berkaitan dengan akhirat yang akan dihadapi. Dia juga tidak akan bersedih atas pelbagai urusan dunia yang tidak diperoleh. Ini sebagaimana firman Allah Ta’ala dalam ayat yang lain: 

“Allah berfirman, ‘Turunlah kamu berdua dari syurga bersama-sama, sebahagian kamu menjadi musuh bagi sebahagian yang lain. Maka jika datang kepadamu petunjuk daripada-Ku, lalu sesiapa yang mengikut petunjuk-Ku, dia tidak akan sesat dan tidak akan celaka.’” 

Taha 20:123