Bukti tentang Keesaan dan Kekuasaan Allah Swt
Surah 43: Az-Zukhruf (9 – 14)
Ayat 9
وَلَئِن سَأَلْتَهُم مَّنْ خَلَقَ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضَ لَيَقُولُنَّ خَلَقَهُنَّ ٱلْعَزِيزُ ٱلْعَلِيمُ
Dan jika kamu tanyakan kepada mereka, “Siapakah yang menciptakan langit dan bumi?” Pastilah mereka akan menjawab, “Semuanya diciptakan oleh Yang Maha Perkasa lagi Maha Mengetahui.”
Orang-orang musyrik mengaku bahawa yang mencipta langit dan bumi adalah Allah Swt. Meskipun begitu, mereka menyembah-Nya bersama sesuatu yang lain berupa patung dan berhala-berhala. Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Katakanlah, ‘Kepunyaan siapakah bumi ini, dan semua yang ada padanya, jika kamu mengetahui?’ Mereka akan menjawab, ‘Kepunyaan Allah.’ Katakanlah, ‘Maka apakah kamu tidak berfikir?’ Katakanlah, ‘Siapakah yang memiliki langit yang tujuh dan yang memiliki ‘Arasy yang besar?’ Mereka akan menjawab, ‘Kepunyaan Allah.’ Katakanlah, ‘Maka apakah kamu tidak bertakwa (takut)?’”
Al-Mu’minun 23:84-87
Ayat 10
ٱلَّذِى جَعَلَ لَكُمُ ٱلْأَرْضَ مَهْدًا وَجَعَلَ لَكُمْ فِيهَا سُبُلًا لَّعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ
Yang menjadikan bumi sebagai tempat menetap bagimu dan Dia menjadikan jalan-jalan di atas bumi untukmu agar kamu mendapat petunjuk.
Seterusnya, Allah Swt menyatakan bahawa Dia-lah yang menciptakan bumi berupa hamparan sebagai tempat makhluk-makhluk-Nya tinggal, berjalan dan melakukan pelbagai aktiviti yang lain.
Bumi ini dikukuhkan dengan gunung-ganang dan di antara gunung-ganang itu terdapat lurah-lurah. Manusia pula dianugerahkan akal supaya membolehkan mereka membina jalan-jalan di antara gunung-gunung dan lurah-lurah itu. Melalui jalan-jalan tersebut manusia dapat bergerak dari satu negeri ke negeri yang lain untuk memenuhi keperluan dan mencapai sesuatu tujuan dalam hidup mereka. Kesenangan hidup di bumi ini adalah kerana limpahan rahmat-Nya.
Ayat 11
وَٱلَّذِى نَزَّلَ مِنَ ٱلسَّمَآءِ مَآءًۢ بِقَدَرٍ فَأَنشَرْنَا بِهِۦ بَلْدَةً مَّيْتًا ۚ كَذَٰلِكَ تُخْرَجُونَ
Dan Yang menurunkan air dari langit menurut ukuran (yang diperlukan) lalu dengan air itu Kami hidupkan negeri yang mati (tandus). Seperti itulah kamu akan dikeluarkan (dari kubur).
Allah Swt menyebutkan tentang kekuasaan-Nya dalam menciptakan hujan untuk memberikan manfaat kepada hamba-hamba-Nya. Dia menurunkan hujan sesuai dengan keperluan manusia iaitu tidak terlalu sedikit sehingga tidak dapat dimanfaatkan dan tidak pula terlalu banyak sehingga menyebabkan banjir besar yang menenggelamkan serta membinasakan.
Allah Swt menjelaskan bahawa sebagaimana Dia menjadikan air hujan itu menghidupkan tanah yang tandus lagi kering sehingga tumbuh-tumbuhan dapat hidup dengan subur, maka begitulah halnya Dia menghidupkan dan membangkitkan manusia dari kubur.
Ayat 12
وَٱلَّذِى خَلَقَ ٱلْأَزْوَٰجَ كُلَّهَا وَجَعَلَ لَكُم مِّنَ ٱلْفُلْكِ وَٱلْأَنْعَـٰمِ مَا تَرْكَبُونَ
Dan Yang menciptakan semua yang berpasang-pasangan dan menjadikan kapal untukmu dan binatang ternakan yang kamu tunggangi.
Seterusnya, Allah Swt menyatakan Dia-lah yang menciptakan semua makhluk-Nya berpasang-pasangan termasuklah manusia, tumbuh-tumbuhan dan haiwan. Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Maha Suci (Allah) yang telah menciptakan semuanya berpasang-pasangan baik daripada apa yang ditumbuhkan oleh bumi, dan daripada diri mereka, mahupun daripada apa yang mereka tidak mengetahui.”
Yasin 36:36
Allah Swt juga menjadikan kapal sebagai alat pengangkutan laut agar dapat digunakan untuk membawa manusia dan barang dagangan dari satu tempat ke tempat yang lain. Begitu juga dengan haiwan ternakan seperti unta, kuda, keldai dan lain-lain dapat digunakan sebagai alat pengangkutan darat yang dapat ditunggangi dan menggunakannya untuk mengangkut barang-barang keperluan manusia.
Ayat 13
لِتَسْتَوُۥا۟ عَلَىٰ ظُهُورِهِۦ ثُمَّ تَذْكُرُوا۟ نِعْمَةَ رَبِّكُمْ إِذَا ٱسْتَوَيْتُمْ عَلَيْهِ وَتَقُولُوا۟ سُبْحَـٰنَ ٱلَّذِى سَخَّرَ لَنَا هَـٰذَا وَمَا كُنَّا لَهُۥ مُقْرِنِينَ
Agar kamu duduk di atas belakangnya kemudian kamu ingat nikmat Rabbmu apabila kamu telah duduk di atasnya, dan agar kamu mengucapkan, “Maha Suci (Allah) yang telah menundukkan semua ini bagi kami padahal kami sebelumnya tidak mampu menguasainya.
Kemudian Allah Swt mengingatkan hamba-hamba-Nya agar mengingati nikmat yang telah dianugerahkan-Nya kepada mereka dengan mengagungkan dan mensucikan-Nya daripada sifat-sifat yang tidak layak bagi-Nya apabila mereka berada di atas belakang binatang, kapal atau kenderaan-kenderaan yang lain.
Diriwayatkan daripada Imam Ahmad, Abu Daud, At-Tarmizi dan An-Nasa’i bahawa ‘Ali ra suatu ketika mendatangi kenderaannya dan ketika naik kenderaannya, beliau membaca basmalah dan ketika telah duduk di atasnya beliau membaca, “Segala puji bagi Allah, Maha Suci Allah yang telah menundukkan semua ini untuk kami padahal kami sebelumnya tidak mampu menguasainya.” Kemudian membaca hamdalah 3 kali, takbir 3 kali, kemudian mengucapkan, “Maha Suci Engkau, tiada tuhan selain Allah, aku telah menzalimi diriku sendiri maka ampunilah aku.” Lalu beliau tertawa. Beliau ditanya, “Kenapa engkau tertawa?” Dia menjawab, “Aku pernah melihat Rasulullah saw melakukan seperti apa yang aku lakukan lalu baginda tertawa, lalu aku bertanya, ‘Kenapa engkau tertawa wahai Rasulullah?’” Baginda menjawab, “Allah berasa hairan dengan hamba-Nya ketika dia berkata, ‘Wahai Tuhanku, ampunilah aku.’ Dia berkata, “Hambaku mengetahui bahawa tidak ada yang boleh mengampuni dosa selain diri-Ku.”
Ayat 14
وَإِنَّآ إِلَىٰ رَبِّنَا لَمُنقَلِبُونَ
Dan sesungguhnya kami akan kembali kepada (Rabb) kami.”
Allah Swt menyatakan bahawa sesudah kehidupan di dunia ini, mereka pasti akan kembali kepada-Nya untuk dipertanggungjawabkan atas semua amal perbuatan mereka.
Ayat ini mengingatkan manusia bahawa akhirnya semua akan kembali menemui Allah Swt. Oleh itu sepatutnya pada setiap waktu dalam kehidupan ini, manusia hendaklah sentiasa ingat kepada perjalanan menuju kepada-Nya dan menyiapkan bekalan untuk kehidupan di akhirat kelak sebagaimana firman-Nya:
“Berbekallah, dan sesungguhnya sebaik-baik bekal adalah takwa dan bertakwalah kepada-Ku wahai orang-orang yang berakal.”
Al-Baqarah 2:197