Surah 42: Asy-Syura (49 – 50)

Apa Sahaja yang Dikehendaki Allah Swt Akan Terjadi dan Apa Sahaja yang Tidak Dikehendaki-Nya Tidak Akan Terjadi

Surah 42: Asy-Syura (49 – 50)


Ayat 49

لِّلَّهِ مُلْكُ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ ۚ يَخْلُقُ مَا يَشَآءُ ۚ يَهَبُ لِمَن يَشَآءُ إِنَـٰثًا وَيَهَبُ لِمَن يَشَآءُ ٱلذُّكُورَ

Kepunyaan Allah-lah kerajaan langit dan bumi, Dia menciptakan apa yang Dia kehendaki, memberikan anak perempuan kepada siapa yang Dia kehendaki, dan memberikan anak lelaki kepada siapa yang Dia kehendaki.

Allah Swt menyatakan Dia-lah yang menciptakan langit dan bumi, Yang Memiliki dan Yang Mengatur kedua-duanya. Apa yang dikehendaki-Nya pasti ada, dan apa yang tidak dikehendaki-Nya pasti tidak ada.

Allah Swt memberi kepada siapa yang dikehendaki-Nya, dan mencegah daripada siapa yang dikehendaki-Nya. Tiada seorang pun yang dapat mencegah apa yang diberikan-Nya, dan tiada seorang pun dapat memberi apa yang dicegah-Nya. Dia boleh memberikan hanya anak-anak perempuan sahaja ataupun anak-anak lelaki sahaja kepada pasangan suami isteri.

Ayat 50

أَوْ يُزَوِّجُهُمْ ذُكْرَانًا وَإِنَـٰثًا ۖ وَيَجْعَلُ مَن يَشَآءُ عَقِيمًا ۚ إِنَّهُۥ عَلِيمٌ قَدِيرٌ

Atau Dia menganugerahkan kedua-dua jenis lelaki dan perempuan, dan menjadikan mandul siapa yang Dia kehendaki. Dia Maha Mengetahui lagi Maha Berkuasa.

Selanjutnya, Allah Swt menyatakan ada juga pasangan suami isteri yang diberikan-Nya sepasang anak, lelaki dan perempuan serta ada juga yang tidak dikurniakan-Nya seorang pun anak. Itulah rezeki mereka dan hal ini tidak boleh dipersoalkan kerana itu adalah keputusan-Nya. Apabila Dia tidak memberikan rezeki dalam bentuk anak, Dia berikan dalam bentuk yang lain pula. Mandul boleh berlaku baik kepada suami mahupun isteri.

Semua ini dilakukan oleh Allah Swt berdasarkan ilmu dan kekuasaan-Nya yang meliputi segala sesuatu. Maka wajib bagi manusia menyerahkan segala-galanya kepada-Nya kerana setiap ketentuan-Nya itu terdapat hikmah yang kebanyakan manusia tidak mengetahuinya.