Ganjaran kepada Orang Beriman
Surah 2: Al-Baqarah (25)
Ayat 25
وَبَشِّرِ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَعَمِلُوا۟ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ أَنَّ لَهُمْ جَنَّـٰتٍ تَجْرِى مِن تَحْتِهَا ٱلْأَنْهَـٰرُ ۖ كُلَّمَا رُزِقُوا۟ مِنْهَا مِن ثَمَرَةٍ رِّزْقًا ۙ قَالُوا۟ هَـٰذَا ٱلَّذِى رُزِقْنَا مِن قَبْلُ ۖ وَأُتُوا۟ بِهِۦ مُتَشَـٰبِهًا ۖ وَلَهُمْ فِيهَآ أَزْوَٰجٌ مُّطَهَّرَةٌ ۖ وَهُمْ فِيهَا خَـٰلِدُونَ
Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh, sesungguhnya mereka beroleh syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; tiap-tiap kali mereka diberikan satu pemberian dari sejenis buah-buahan syurga itu, mereka berkata: “Inilah yang telah diberikan kepada kami dahulu”; dan mereka diberikan rezeki itu yang sama rupanya (tetapi berlainan hakikatnya), dan disediakan untuk mereka dalam syurga itu pasangan-pasangan, isteri-isteri yang sentiasa bersih suci, sedang mereka pula kekal di dalamnya selama-lamanya.
Ini adalah berita gembira bagi orang-orang yang beriman kepada Allah Swt dan beramal soleh bahawa mereka disediakan taman-taman syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai. Syurga adalah tempat kenikmatan yang didambakan oleh setiap manusia dan sedap mata memandang seperti dalam firman Allah:
“Tidak seorang pun mengetahui pelbagai nikmat yang disembunyikan untuk mereka, yang indah dipandang sebagai balasan bagi mereka atas apa yang mereka kerjakan.”
As-Sajdah 32:17
Mereka juga memperoleh pasangan-pasangan yang disucikan daripada segala kekotoran yang menjijikkan seperti kencing, najis, kahak, kekejian jiwa dan hawa nafsu. Mereka hidup kekal di dalamnya.
Apabila dihidangkan dengan buah-buahan yang beraneka jenis, mereka mengatakan bahawa buah-buahan itulah yang mereka dapati di dunia dahulu. Ada beberapa pendapat tentang buah-buahan di syurga:
- Ibnu ‘Abbas ra mengatakan bahawa tidak ada satu pun benda-benda di dunia ini yang terdapat di syurga, kecuali namanya sahaja yang sama.
- At-Thabari pula mengatakan bahawa mereka diberikan buah-buahan yang serupa warna dan bentuknya tetapi berbeza rasanya.