Surah 42: Asy-Syura (48)

Kewajipan Rasul Hanyalah Menyampaikan Risalah

Surah 42: Asy-Syura (48)


Ayat 48

فَإِنْ أَعْرَضُوا۟ فَمَآ أَرْسَلْنَـٰكَ عَلَيْهِمْ حَفِيظًا ۖ إِنْ عَلَيْكَ إِلَّا ٱلْبَلَـٰغُ ۗ وَإِنَّآ إِذَآ أَذَقْنَا ٱلْإِنسَـٰنَ مِنَّا رَحْمَةً فَرِحَ بِهَا ۖ وَإِن تُصِبْهُمْ سَيِّئَةٌۢ بِمَا قَدَّمَتْ أَيْدِيهِمْ فَإِنَّ ٱلْإِنسَـٰنَ كَفُورٌ

Jika mereka berpaling, maka (ingatlah) Kami tidak mengutuskan engkau sebagai pengawas bagi mereka. Kewajipanmu tidak lain hanyalah menyampaikan (risalah). Dan sesungguhnya, apabila Kami menurunkan kepada manusia suatu rahmat daripada Kami, dia menyambutnya dengan gembira, tetapi jika mereka ditimpa kesusahan kerana perbuatan tangan mereka sendiri (nescaya mereka ingkar) sesungguhnya, manusia itu sangat ingkar (kepada nikmat).

Ayat ini merupakan pujukan untuk mententeramkan Rasulullah saw.

Nabi Muhammad saw bukanlah dipertanggungjawabkan supaya menguasai orang-orang musyrik. Tugas baginda hanyalah menyampaikan risalah Allah.

Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:

“Bukanlah kewajipanmu (Muhammad) menjadikan mereka mendapat petunjuk, tetapi Allah-lah yang memberi petunjuk kepada sesiapa yang Dia kehendaki………”

Al-Baqarah 2:272

“………maka sesungguhnya tugasmu hanya menyampaikan, dan Kami-lah yang menghisab (amalan mereka).”

Ar-Ra’d 13:40

Kemudian Allah Swt menyebutkan sikap manusia yang ingkar kepada-Nya, iaitu apabila Dia memberikan rahmat-Nya berupa kenikmatan dan kelapangan, mereka berasa gembira. Sebaliknya apabila mereka mendapat kesusahan, ujian atau pun kesempitan nescaya mereka mengingkari nikmat yang lalu dan tidak mengakuinya kecuali nikmat yang ada pada mereka pada saat itu. Ini menunjukkan apabila mendapat kenikmatan mereka angkuh dan sombong, sebaliknya apabila mendapat bencana mereka kecewa dan berputus asa.

Rasulullah saw bersabda kepada kaum wanita:

“Wahai kaum wanita, bersedekahlah kerana aku melihat kalian adalah penghuni neraka yang paling ramai.” Lalu seorang wanita bertanya, “Mengapa wahai Rasulullah?” Baginda menjawab, “Kerana kalian banyak mengeluh dan mengingkari kebaikan suami. Seandainya salah seorang daripada kalian diperlakukan baik sepanjang tahun, lalu diabaikan sehari sahaja, dia berkata, ‘Aku tidak melihat sedikitpun kebaikan daripadamu.’”

(HR. Muslim)

Seorang mukmin sepatutnya bersikap sebagaimana yang disabdakan oleh Rasulullah saw:

“Jika mendapat kesenangan dia bersyukur, dan bersyukur itu menjadi kebaikan baginya. Dan jika ditimpa kesusahan dia bersabar sehingga kesabaran itu menjadi kebaikan baginya. Dan sikap seperti ini hanya dimiliki oleh orang-orang mukmin.”

(HR. Muslim)