Keadaan Orang yang Zalim pada Hari Kiamat
Surah 42: Asy-Syura (44 – 46)
Ayat 44
وَمَن يُضْلِلِ ٱللَّهُ فَمَا لَهُۥ مِن وَلِىٍّ مِّنۢ بَعْدِهِۦ ۗ وَتَرَى ٱلظَّـٰلِمِينَ لَمَّا رَأَوُا۟ ٱلْعَذَابَ يَقُولُونَ هَلْ إِلَىٰ مَرَدٍّ مِّن سَبِيلٍ
Dan sesiapa yang dibiarkan sesat oleh Allah, maka tidak ada baginya penolong setelah itu. Dan kamu akan melihat orang-orang yang zalim ketika mereka melihat azab dan berkata, “Apakah ada jalan untuk kembali (ke dunia)?”
Ayat ini merupakan penghinaan daripada Allah Swt kepada orang-orang kafir kerana kesesatan mereka. Allah Swt Maha Mengetahui buruknya kemahuan mereka dengan tidak menerima kebenaran, menolak keimanan dan melakukan pelbagai kemaksiatan. Oleh itu, tiada bagi mereka jaminan hidayah dan pertolongan serta keselamatan.
Kemudian Allah Swt menyatakan keadaan orang-orang zalim di akhirat kelak. Mereka sangat berharap untuk kembali ke dunia kerana hendak memperbaiki kesalahan-kesalahan mereka semasa di dunia dahulu. Mereka adalah orang-orang yang menyekutukan Allah Swt. Mereka sangat menyesal kerana kebenaran sudah berada di hadapan mata.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Dan seandainya engkau (Muhammad) melihat ketika mereka dihadapkan ke neraka, mereka berkata, “Seandainya kami dikembalikan (ke dunia) tentu kami tidak akan mendustakan ayat-ayat Rabb kami, serta menjadi orang-orang yang beriman.” Tetapi (sebenarnya) bagi mereka telah nyata kejahatan yang mereka sembunyikan dahulu. Seandainya mereka dikembalikan ke dunia, tentu mereka akan mengulang kembali apa yang telah dilarang dilakukan. Mereka itu sesungguhnya pendusta.”
Al-An’am 6:27-28
Ayat 45
وَتَرَىٰهُمْ يُعْرَضُونَ عَلَيْهَا خَـٰشِعِينَ مِنَ ٱلذُّلِّ يَنظُرُونَ مِن طَرْفٍ خَفِىٍّ ۗ وَقَالَ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ إِنَّ ٱلْخَـٰسِرِينَ ٱلَّذِينَ خَسِرُوٓا۟ أَنفُسَهُمْ وَأَهْلِيهِمْ يَوْمَ ٱلْقِيَـٰمَةِ ۗ أَلَآ إِنَّ ٱلظَّـٰلِمِينَ فِى عَذَابٍ مُّقِيمٍ
Dan kamu akan melihat mereka dihadapkan ke neraka dalam keadaan tertunduk kerana (berasa) terhina, mereka melihat dengan pandangan yang lesu. Dan orang-orang yang beriman berkata, “Sesungguhnya orang-orang yang rugi ialah orang-orang yang merugikan diri mereka sendiri dan keluarga mereka pada Hari Kiamat.” Ingatlah, sesungguhnya orang-orang yang zalim itu berada dalam azab yang kekal.
Orang-orang musyrik tertunduk kerana berasa terhina dengan kemurkaan Allah Swt ketika mereka dihadapkan ke neraka. Mereka hanya mencuri-curi pandang ke arah neraka kerana tersangat takut. Padahal mereka tetap akan memasuki neraka dan menerima azab. Semoga Allah Swt melindungi kita daripada hal ini. Allahumma aamiin!
Melihatkan keadaan ini, orang-orang beriman berkata alangkah ruginya orang-orang yang dimasukkan ke dalam neraka. Mereka merugikan diri mereka sendiri dan keluarga disebabkan mereka tidak dapat masuk ke syurga sebaliknya mendapat seksaan di neraka.
Ketahuilah bahawa orang-orang yang menzalimi diri sendiri dengan melakukan kekufuran dan kemaksiatan-kemaksiatan akan berada dalam seksaan yang kekal buat selama-lamanya.
Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:
“Katakanlah (Muhammad), ‘Mahukah Kami beritahu kepadamu tentang orang-orang yang paling rugi perbuatannya? (Iaitu) orang-orang yang telah sia-sia perbuatan mereka dalam kehidupan dunia ini sedangkan mereka menyangka telah berbuat sebaik-baiknya.’”
Al-Kahfi 18:103-104
“Sesungguhnya orang-orang yang kafir dan melakukan kezaliman, Allah sekali-kali tidak akan mengampuni mereka dan tidak akan menunjukkan kepada mereka jalan (yang lurus), kecuali jalan ke Neraka Jahannam, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Dan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah.”
An-Nisa’ 4:168-169
Ayat 46
وَمَا كَانَ لَهُم مِّنْ أَوْلِيَآءَ يَنصُرُونَهُم مِّن دُونِ ٱللَّهِ ۗ وَمَن يُضْلِلِ ٱللَّهُ فَمَا لَهُۥ مِن سَبِيلٍ
Dan mereka sekali-kali tidak mempunyai pelindung-pelindung yang dapat menolong mereka selain Allah. Sesiapa yang dibiarkan sesat oleh Allah, maka tidak akan ada jalan keluar baginya (untuk mendapatkan petunjuk). Orang-orang musyrik ini juga sama sekali tidak ada pelindung dan penolong yang akan menyelamatkan mereka daripada seksaan Allah Ta’ala. Berhala-berhala yang mereka sembah dahulu sedikitpun tidak akan dapat memberi pertolongan.
Sesungguhnya sesiapa yang disesatkan dan dihinakan oleh Allah Swt, maka tiada baginya jalan yang dapat membawanya kepada kebenaran di dunia dan syurga di akhirat kerana jalan keselamatan telah tertutup baginya.
Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:
“Allah Pelindung orang-orang yang beriman, Dia mengeluarkan mereka daripada kegelapan (kekafiran) kepada cahaya (iman). Dan orang-orang yang kafir, pelindung-pelindung mereka adalah taghut (syaitan atau berhala-hala), yang mengeluarkan mereka daripada cahaya kepada kegelapan (kekafiran). Mereka itu adalah penghuni neraka, mereka kekal di dalamnya.”
Al-Baqarah 2:257
“Bukankah Allah cukup untuk melindungi hamba-hamba-Nya? Dan mereka menakut-nakutkan kamu dengan (sembahan-sembahan) yang selain Allah? Dan sesiapa yang disesatkan oleh Allah maka tidak ada seorang pun pemberi petunjuk baginya. Dan sesiapa yang diberi petunjuk oleh Allah, maka tidak ada seorang pun yang dapat menyesatkannya. Bukankah Allah Maha Perkasa lagi mempunyai (kekuasaan untuk) mengazab?”
Az-Zumar 39:36-37