10 Sifat Orang yang Berhak Mendapat Kurniaan yang Lebih Baik di Sisi Allah Swt
Surah 42: Asy-Syura (36 – 39)
Ayat 36
فَمَآ أُوتِيتُم مِّن شَىْءٍ فَمَتَـٰعُ ٱلْحَيَوٰةِ ٱلدُّنْيَا ۖ وَمَا عِندَ ٱللَّهِ خَيْرٌ وَأَبْقَىٰ لِلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَعَلَىٰ رَبِّهِمْ يَتَوَكَّلُونَ
Apa pun (kenikmatan) yang diberikan kepadamu, maka itu adalah kesenangan hidup di dunia. Sedangkan (kenikmatan) yang ada di sisi Allah lebih baik dan lebih kekal bagi orang-orang yang beriman, dan hanya kepada Rabb mereka bertawakkal.
Setelah Allah Swt menyebutkan bukti-bukti tentang keesaan, kebesaran dan kekuasaan-Nya mentadbir seluruh alam, dalam ayat ini pula Allah Swt memberi peringatan agar tidak terpedaya dengan kesenangan dunia.
Setiap kekayaan berupa harta, anak pinak, kedudukan dan kekuasaan yang diberikan kepada manusia adalah kesenangan yang sedikit dan hanya dapat dinikmati dalam masa yang singkat kerana dunia ini adalah sementara dan akan musnah.
Sedangkan di sisi Allah Swt berupa pahala kerana ketaatan kepada-Nya dan balasan syurga adalah jauh lebih baik daripada kesenangan dunia. Oleh itu apa yang ada di sisi-Nya adalah lebih baik dan lebih kekal.
Oleh itu, dua daripada sifat-sifat orang-orang yang berhak untuk memasuki syurga yang kekal disebut dalam ayat ini:
▪️ Beriman kepada Allah Swt dan Rasul-Nya dengan sempurna dan yakin dengan janji-janji Allah Swt.
▪️ Bertawakkal selepas melakukan ketaatan.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna iman mereka) adalah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifat-Nya) gementarlah hati mereka, dan apabila dibacakan ayat-ayat-Nya kepada mereka, bertambahlah iman mereka, dan hanya kepada Rabb merekalah, mereka bertawakkal.”
Al-Anfal 8:2
Ayat 37
وَٱلَّذِينَ يَجْتَنِبُونَ كَبَـٰٓئِرَ ٱلْإِثْمِ وَٱلْفَوَٰحِشَ وَإِذَا مَا غَضِبُوا۟ هُمْ يَغْفِرُونَ
Dan (bagi) orang-orang yang menjauhi dosa-dosa besar dan perbuatan-perbuatan keji, dan apabila mereka marah, mereka memberi maaf.
Seterusnya, Allah Swt menyatakan tiga lagi sifat-sifat orang-orang yang berhak untuk memasuki syurga yang kekal disebut dalam ayat ini:
▪️ Menjauhi dosa-dosa besar.
Mereka adalah orang-orang yang menjauhkan diri daripada terjatuh ke dalam dosa-dosa besar yang diancam keras oleh Allah Swt seperti syirik, membunuh dengan sengaja, menderhakai orang tua dan sebagainya.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“……………dan perbuatan dosa, melanggar hak manusia tanpa alasan yang benar, (mengharamkan) mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang Allah tidak menurunkan hujjah untuk itu, dan (mengharamkan) mengada-adakan terhadap Allah apa sahaja yang tidak kamu ketahui.”
Al-A’raf 7:33
Daripada Abu Hurairah ra, Rasulullah saw bersabda:
“Jauhilah tujuh (dosa) yang membinasakan.” Ditanyakan kepada baginda, “Wahai Rasulullah, apa tujuh (dosa) yang membinasakan itu?” Baginda menjawab, “Menyekutukan Allah, melakukan sihir, membunuh jiwa yang Allah haramkan kecuali (membunuh) dengan hak, memakan (hasil) riba, memakan harta anak yatim, melarikan diri dari medan perang, dan menuduh (berzina) kepada perempuan suci, yang menjaga dirinya lagi beriman.”
(HR. Al-Bukhari dan Muslim)
▪️ Menjauhi perbuatan-perbuatan keji.
Menjauhi pelbagai perbuatan keji yang dinilai buruk oleh syarak, akal dan tabiat yang normal seperti mengumpat, mengadu domba, berdusta, mencuri dan berbuat kerosakan di bumi.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Dan janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya (zina) itu adalah suatu perbuatan yang keji dan jalan yang buruk.”
Al-Isra’ 17:32
Daripada ‘Abdullah bin Mas’ud ra dia berkata, Rasulullah saw bersabda:
“Tidak ada yang lebih cemburu daripada Allah, oleh itu Allah mengharamkan semua perbuatan keji yang nampak mahupun yang tersembunyi. Dan tidak ada seorang pun yang lebih suka dipuji daripada Allah.”
(HR. Ahmad, Al-Bukhari dan Muslim)
▪️ Memberi kemaafan apabila marah.
Jika ada orang yang menyebabkan kemarahan mereka, mereka menahan kemarahan tersebut lalu memaafkannya meskipun mampu untuk membalasnya. Malah mereka menaruh belas kasihan dan berlapang dada terhadap orang yang melakukan kezaliman dan berlaku kasar terhadap mereka.
Hal ini mereka lakukan adalah untuk mencari pahala dan keampunan daripada Allah Swt. Dalam masa yang sama mereka juga mengharapkan pelaku tersebut sedar kesalahannya dan akhirnya mahu meninggalkan kelakuannya yang buruk itu.
Rasulullah saw bersabda:
“Orang kuat itu bukanlah yang menang dalam bergusti tetapi orang kuat adalah yang mampu menahan nafsu amarahnya.”
(HR. Al-Bukhari dan Muslim)
Ayat 38
وَٱلَّذِينَ ٱسْتَجَابُوا۟ لِرَبِّهِمْ وَأَقَامُوا۟ ٱلصَّلَوٰةَ وَأَمْرُهُمْ شُورَىٰ بَيْنَهُمْ وَمِمَّا رَزَقْنَـٰهُمْ يُنفِقُونَ
Dan (bagi) orang-orang yang menerima (mematuhi) seruan Rabb dan melaksanakan solat, sedangkan urusan mereka (diputuskan) dengan musyawarah di antara mereka, dan mereka menafkahkan sebahagian daripada rezeki yang Kami berikan kepada mereka.
Sifat-sifat yang berikutnya bagi orang-orang yang berhak untuk memasuki syurga yang kekal disebut dalam ayat ini:
▪️ Patuh terhadap seruan Rabb mereka.
Mereka tunduk dan taat secara keseluruhan kepada perintah dan larangan Allah Swt.
▪️ Mendirikan solat.
Mendirikan solat fardhu secara sempurna dengan menyempurnakan segala rukun dan syarat, khusyuk dan menunaikannya pada waktu-waktu yang telah ditetapkan.
▪️ Suka bermusyawarah.
Menerapkan sistem bermusyawarah dan tidak membuat keputusan tentang sesuatu perkara berdasarkan pendapat peribadi dalam menangani pelbagai urusan sama ada yang khusus atau pun umum.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Maka disebabkan rahmat Allah engkau (Muhammad) berlemah lembut terhadap mereka. Sekiranya engkau bersikap kasar lagi berhati keras, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka, mohonkanlah keampunan bagi mereka, dan bermesyuwaratlah dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian apabila engkau telah membulatkan tekad, maka bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang bertawakkal.”
Ali ‘Imran 3:159
▪️ Menafkahkan sebahagian rezeki yang Allah Swt berikan. Menginfakkan sebahagian rezeki yang Allah Swt anugerahkan kepada mereka di jalan-Nya.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Dan (termasuk hamba-hamba Yang Maha Pengasih) orang-orang apabila menafkahkan (harta), mereka tidak berlebihan dan tidak (pula) kedekut, di antara kedua-duanya secara wajar.”
Al-Furqan 25:67
Ayat 39
وَٱلَّذِينَ إِذَآ أَصَابَهُمُ ٱلْبَغْىُ هُمْ يَنتَصِرُونَ
Dan (bagi) orang-orang yang apabila mereka diperlakukan dengan zalim, mereka membela diri.
Sifat yang seterusnya bagi orang-orang yang berhak untuk memasuki syurga yang kekal disebut dalam ayat ini:
▪️ Membela diri apabila dizalimi.
Ketika mereka diganggu dan dianiayai, mereka membela diri terhadap orang yang menganiaya mereka. Ini adalah sebagai usaha untuk menjaga harga diri dan kehormatan seseorang yang hukumnya adalah wajib.
Ketika ini pemberian maaf tidak dibenarkan sekiranya pelaku zalim itu semakin berani berbuat kezaliman dan terus menerus melakukannya.