Antara Tanda-tanda Kekuasaan Allah Swt dan Dia Memaafkan Sebahagian Dosa Hamba-hamba-Nya
Surah 42: Asy-Syura (29 – 35)
Ayat 29
وَمِنْ ءَايَـٰتِهِۦ خَلْقُ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ وَمَا بَثَّ فِيهِمَا مِن دَآبَّةٍ ۚ وَهُوَ عَلَىٰ جَمْعِهِمْ إِذَا يَشَآءُ قَدِيرٌ
Dan antara tanda-tanda (kekuasaan)-Nya ialah menciptakan langit dan bumi dan makhluk-makhluk yang melata yang Dia sebarkan pada kedua-duanya. Dan Dia Maha Berkuasa mengumpulkan semuanya apabila dikehendaki-Nya.
Allah Swt menyebutkan bukti-bukti keagungan-Nya dengan penciptaan langit dan bumi yang sangat luar biasa. Begitu juga dengan makhluk yang melata di bumi dan yang bertebaran di langit dengan pelbagai bentuk, warna dan peranan masing-masing.
Allah Swt menyatakan Dia Maha Berkuasa mengumpulkan mereka semua untuk memberi balasan apabila Dia kehendaki. Sesungguhnya tidaklah susah bagi-Nya untuk melakukan hal itu sebagaimana tidak susah pula bagi-Nya untuk menciptakan mereka daripada awal.
Ayat 30
وَمَآ أَصَـٰبَكُم مِّن مُّصِيبَةٍ فَبِمَا كَسَبَتْ أَيْدِيكُمْ وَيَعْفُوا۟ عَن كَثِيرٍ
Dan apa sahaja musibah yang menimpa kamu adalah disebabkan oleh perbuatan tanganmu sendiri, dan Allah memaafkan sebahagian besar (daripada kesalahan kesalahan kamu).
Selanjutnya, Allah Swt menyatakan antara sebab-sebab terjadinya musibah ialah kemaksiatan. Walaupun begitu, Dia memaafkan sebahagian besar daripada dosa maksiat hamba-hamba-Nya.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Dan sekiranya Allah menyeksa manusia disebabkan usahanya, nescaya Dia tidak akan meninggalkan di atas permukaan bumi suatu makhluk yang melata pun………………”
Fatir 35:45
Rasulullah saw bersabda:
“Demi Dia (Rabb) yang jiwaku berada di Tangan-Nya, tidak ada satu keletihan, rasa sakit dan kesusahan yang menimpa seorang mukmin, melainkan dengan sebabnya Allah menghapuskan sebahagian daripada kesalahan-kesalahan (dosa-dosa)nya, sekali pun duri yang tertusuk di kakinya.”
(HR. Ahmad)
Daripada Mu’awiyah bin Abi Sufyan ra yang mengatakan bahawa dia mendengar Rasulullah saw pernah bersabda:
“Tidak ada sesuatu pun yang menimpa seorang mukmin pada tubuhnya yang membuatnya sakit, melainkan dengan sebab itu Allah menghapuskan sebahagian daripada kesalahan-kesalahannya.”
(HR. Ahmad)
Ayat 31
وَمَآ أَنتُم بِمُعْجِزِينَ فِى ٱلْأَرْضِ ۖ وَمَا لَكُم مِّن دُونِ ٱللَّهِ مِن وَلِىٍّ وَلَا نَصِيرٍ
Dan kamu tidak dapat melepaskan diri (daripada azab Allah) di muka bumi, dan kamu tidak memperoleh seorang pelindung dan tidak pula penolong selain Allah.
Allah Swt menyatakan manusia tidak mampu untuk menyelamatkan diri daripada seksaan-Nya sekiranya Dia mendatangkan seksaan. Sesungguhnya mereka tidak mempunyai pelindung yang mampu melindungi mereka selain-Nya. Mereka juga tidak mempunyai penolong yang mampu menghilangkan seksaan itu daripada diri mereka jika Dia menghendaki untuk menyeksa mereka.
Ayat 32
وَمِنْ ءَايَـٰتِهِ ٱلْجَوَارِ فِى ٱلْبَحْرِ كَٱلْأَعْلَـٰمِ
Dan di antara tanda-tanda (kekuasaan)-Nya ialah kapal-kapal (yang berlayar) di laut seperti gunung-gunung.
Allah Swt menyatakan antara tanda-tanda kekuasaan-Nya yang agung ialah Dia dapat menundukkan lautan agar kapal-kapal dapat berlayar di atasnya.
Kapal-kapal yang besar itu bagaikan gunung-gunung yang tinggi, berlayar dari satu daerah ke daerah yang lain mengangkut penumpang-penumpang dan barang-barang dengan izin-Nya. Ini merupakan nikmat-Nya kepada hamba-hamba-Nya.
Ayat 33
إِن يَشَأْ يُسْكِنِ ٱلرِّيحَ فَيَظْلَلْنَ رَوَاكِدَ عَلَىٰ ظَهْرِهِۦٓ ۚ إِنَّ فِى ذَٰلِكَ لَـَٔايَـٰتٍ لِّكُلِّ صَبَّارٍ شَكُورٍ
Jika Dia menghendaki Dia akan menenangkan angin, maka jadilah kapal-kapal itu terhenti di permukaan laut. Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda (kekuasaan)-Nya bagi setiap orang yang banyak bersabar dan banyak bersyukur.
Seterusnya, Allah Swt menyatakan bahawa sekiranya Dia menghendaki untuk menghentikan kapal-kapal yang sedang bergerak itu, Dia akan menjadikan angin diam tidak bergerak, sehingga kapal-kapal itu menjadi terhenti di atas lautan dan tidak pula dapat berlayar di permukaan laut untuk sampai ke tempat yang hendak dituju.
Sesungguhnya pada semua yang disebutkan itu benar-benar terdapat bukti yang agung tentang kekuasaan Allah Swt bagi orang yang bersabar dalam menghadapi pelbagai kesulitan dan bencana dalam menjalankan ketaatan kepada-Nya serta banyak bersyukur atas pelbagai nikmat yang ada.
Ayat 34
أَوْ يُوبِقْهُنَّ بِمَا كَسَبُوا۟ وَيَعْفُ عَن كَثِيرٍ
Atau kapal-kapal itu dibinasakan-Nya kerana perbuatan mereka atau Dia (Allah) memberi maaf sebahagian besar (daripada mereka).
Kemudian Allah Swt mengatakan sekiranya Dia berkehendak, Dia juga boleh menghancurkan dan menenggelamkan kapal di lautan disebabkan kesalahan dan dosa hamba-hamba-Nya.
Namun begitu Allah Swt dengan sifat kelembutan dan kasih sayang-Nya, Dia menggerakkan angin sesuai dengan kadar yang diperlukan dan memaafkan sebahagian besar kesalahan hamba-hamba-Nya.
Ayat 35
وَيَعْلَمَ ٱلَّذِينَ يُجَـٰدِلُونَ فِىٓ ءَايَـٰتِنَا مَا لَهُم مِّن مَّحِيصٍ
Dan supaya orang-orang yang membantah ayat-ayat (kekuasaan) Kami mengetahui bahawa mereka sekali-kali tidak akan memperoleh jalan keluar (daripada seksaan).
Allah Swt melakukan sedemikian supaya orang-orang yang membantah, mendustakan dan menentang keterangan-keterangan-Nya mengetahui bahawa mereka tidak ada kuasa untuk melepaskan diri daripada musibah.
Sesungguhnya mudah sahaja bagi Allah Swt melakukan apa sahaja yang Dia kehendaki. Dalam keadaan seperti ini, mereka akan menyedari bahawa tiada tempat untuk berlindung dan hanya kepada Allah Swt tempat meminta pertolongan.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Maka apabila mereka menaiki kapal, mereka berdoa kepada Allah dengan penuh rasa pengabdian (ikhlas) kepada-Nya, tetapi ketika Allah menyelamatkan mereka sampai ke darat, mereka ternyata (kembali) menyekutukan (Allah).”
Al-‘Ankabut 29:65