Tuduhan terhadap Rasulullah saw serta Bantahannya
Surah 42: Asy-Syura (23 – 24)
Ayat 23
ذَٰلِكَ ٱلَّذِى يُبَشِّرُ ٱللَّهُ عِبَادَهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَعَمِلُوا۟ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ ۗ قُل لَّآ أَسْـَٔلُكُمْ عَلَيْهِ أَجْرًا إِلَّا ٱلْمَوَدَّةَ فِى ٱلْقُرْبَىٰ ۗ وَمَن يَقْتَرِفْ حَسَنَةً نَّزِدْ لَهُۥ فِيهَا حُسْنًا ۚ إِنَّ ٱللَّهَ غَفُورٌ شَكُورٌ
Itulah (kurniaan) yang diberitahu oleh Allah untuk menggembirakan hamba-hamba-Nya yang beriman dan mengerjakan amal soleh. Katakanlah, “Aku tidak meminta kepadamu sesuatu upah pun atas seruanku kecuali kasih sayang dalam kekeluargaan.” Dan sesiapa yang mengerjakan kebaikan akan Kami tambahkan baginya kebaikan pada kebaikannya itu. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mensyukuri.
Allah Swt memerintahkan Nabi Muhammad saw agar menyatakan kepada kaumnya bahawa baginda tidak mengharapkan balasan upah daripada mereka. Sebaliknya hanya mengharapkan mereka menghentikan tindakan buruk terhadapnya dan membiarkan baginda menyampaikan risalah-Nya dengan tidak menyakitinya. Ini kerana boleh dikatakan semua yang tinggal di Mekah itu ada pertalian persaudaraan dengan baginda.
Dalam adat bangsa Arab, mereka amat mementingkan pertalian persaudaraan. Jika seseorang itu daripada puak mereka, sokongan akan diberikan dalam semua perkara. Namun apabila Nabi saw membawa ajaran tauhid, mereka tidak menghargai langsung pertalian persaudaraan itu. Malah, mereka yang rapat dengan baginda pun menentang.
Pada akhir ayat ini, Allah Swt menyatakan sesiapa mengerjakan kebaikan dengan penuh keimanan dan ketulusan, Dia akan melipatgandakan kebaikan baginya. Sesungguhnya Allah Swt Maha Pengampun kepada sesiapa yang memohon ampun atas dosa-dosa yang dilakukannya dan Maha Mensyukuri kepada hamba-hamba-Nya atas perbuatan baik yang telah dilakukannya sehingga Dia menambahkan pahala buat mereka.
Allah Swt Mensyukuri hamba-Nya bermaksud Allah Swt mengampuni kesalahan yang banyak dan menerima amalan yang sedikit untuk dibalas dengan pahala yang berlipatganda.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Sesungguhnya Allah tidak menganiaya seseorang walaupun sebesar zarah, dan jika ada kebajikan sebesar zarah, nescaya Allah akan melipatgandakannya dan memberikan dari sisi-Nya pahala yang besar.”
An-Nisa’ 4:40
Ayat 24
أَمْ يَقُولُونَ ٱفْتَرَىٰ عَلَى ٱللَّهِ كَذِبًا ۖ فَإِن يَشَإِ ٱللَّهُ يَخْتِمْ عَلَىٰ قَلْبِكَ ۗ وَيَمْحُ ٱللَّهُ ٱلْبَـٰطِلَ وَيُحِقُّ ٱلْحَقَّ بِكَلِمَـٰتِهِۦٓ ۚ إِنَّهُۥ عَلِيمٌۢ بِذَاتِ ٱلصُّدُورِ
Bahkan mereka mengatakan, “Dia (Muhammad) telah mengada-adakan kebohongan terhadap Allah.” Maka jika Allah menghendaki, nescaya Dia mengunci mati hatimu, dan Allah menghapuskan yang batil dan membenarkan yang hak dengan kalimah-kalimah-Nya (Al-Quran). Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui segala isi hati.
Antara tuduhan orang-orang musyrik kepada Rasulullah saw adalah mereka mengatakan bahawa baginda telah mereka-reka Al-Quran dan menisbahkannya kepada Allah Swt.
Lalu dalam ayat ini, Allah Swt membantah mereka dengan mengatakan sekiranya Nabi Muhammad saw itu benar-benar berdusta atas nama-Nya, membawa ajaran baru iaitu ajaran yang tidak benar, Dia akan tutup hati baginda. Dia boleh mengunci mati hati baginda sehingga baginda tidak lagi ingat kepada apa yang baginda pernah sampaikan daripada Al-Quran itu.
Namun walaupun Al-Quran itu telah diturunkan dalam masa selama 23 tahun, baginda langsung tidak lupa apa yang baginda telah sampaikan sejak awal Islam lagi. Baginda juga tidak lupa apa yang telah baginda katakan sehinggalah ke akhir hayat baginda.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Sekiranya dia (Muhammad) mengada-adakan sebahagian perkataan atas (nama) Kami, nescaya benar-benar Kami pegang dia pada tangan kanannya. Kemudian benar-benar Kami potong urat tali jantungnya. Maka sekali-kali tidak ada seorang pun daripada kamu yang dapat menghalang (Kami) daripada pemotongan urat nadi itu.”
Al-Haqqah 69:44-47