10 Perintah dan Larangan yang Menjadi Asas Keagamaan
Surah 42: Asy-Syura (15)
Ayat 15
فَلِذَٰلِكَ فَٱدْعُ ۖ وَٱسْتَقِمْ كَمَآ أُمِرْتَ ۖ وَلَا تَتَّبِعْ أَهْوَآءَهُمْ ۖ وَقُلْ ءَامَنتُ بِمَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ مِن كِتَـٰبٍ ۖ وَأُمِرْتُ لِأَعْدِلَ بَيْنَكُمُ ۖ ٱللَّهُ رَبُّنَا وَرَبُّكُمْ ۖ لَنَآ أَعْمَـٰلُنَا وَلَكُمْ أَعْمَـٰلُكُمْ ۖ لَا حُجَّةَ بَيْنَنَا وَبَيْنَكُمُ ۖ ٱللَّهُ يَجْمَعُ بَيْنَنَا ۖ وَإِلَيْهِ ٱلْمَصِيرُ
Oleh itu (wahai Muhammad), serulah (mereka beriman) dan tetaplah (beriman dan berdakwah) sebagaimana diperintahkan kepadamu dan janganlah mengikut keinginan mereka dan katakanlah, “Aku beriman kepada kitab yang diturunkan Allah dan aku diperintahkan agar berlaku adil di antara kamu. Allah Rabb kami dan Rabb kamu. Bagi kami perbuatan kami dan bagi kamu perbuatan kamu. Tidak (perlu) ada pertengkaran antara kami dan kamu, Allah mengumpulkan antara kita dan kepada-Nya-lah kita kembali.”
Ayat ini mengandungi 10 perintah dan larangan yang menjadi asas keagamaan. Para ulama mengatakan tidak ada ayat lain yang menyerupai ayat ini kecuali Ayat Kursi. Ini kerana Ayat Kursi juga mempunyai 10 perkara yang diperincikan sebagaimana ayat ini. Meskipun perintah dan larangan dalam ayat ini ditujukan kepada Rasulullah saw, namun hal yang sama juga diperuntukkan bagi umat baginda iaitu:
▪️ Pertama: Menyeru serta mengajak manusia kepada agama Allah Swt sebagaimana diperintahkan-Nya kepada para Rasul sebelum ini.
▪️ Kedua: Istiqamah di atas agama iaitu terus beribadah kepada Allah Swt sebagaimana yang diperintahkan-Nya.
▪️ Ketiga: Jangan mengikuti hawa nafsu orang-orang musyrik dalam kebatilan.
▪️ Keempat: Membenarkan semua kitab suci yang diturunkan Allah Swt kepada para Rasul-Nya seperti kitab Taurat, Injil, Zabur, suhuf Nabi Ibrahim as dan suhuf Nabi Musa as serta tidak membeza-bezakan para Rasul.
▪️ Kelima: Berlaku adil dalam memutuskan dan melaksanakan hukum agama.
▪️ Keenam: Berikrar dengan ikhlas dan mengiktiraf bahawa Allah Swt adalah Zat yang berhak diibadahi dan bukan selain-Nya.
▪️ Ketujuh: Setiap ganjaran pahala dan hukuman adalah atas perbuatan masing-masing, tiada siapa yang menanggung dosa atau pahala orang lain.
Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:
“Katakanlah (Muhammad), ‘Kamu tidak akan ditanya (bertanggungjawab) tentang dosa yang kami buat dan kami (pula) tidak akan ditanya tentang apa yang kamu buat.’”
Saba’ 34:25
“Dan jika mereka (tetap) mendustakanmu (wahai Muhammad) maka katakanlah, ‘Bagiku amalku dan bagimu amalmu. Kamu tidak bertanggungjawab terhadap apa yang aku lakukan dan aku pun tidak bertanggungjawab terhadap apa yang kamu lakukan.’”
Yunus 10:41
▪️ Kelapan: Tiada perselisihan antara orang-orang Islam dengan kaum musyrik kerana kebenaran sudah jelas dan nyata seperti terangnya matahari.
▪️ Kesembilan: Allah Swt akan mengumpulkan semua hamba-hamba-Nya di Mahsyar pada Hari Kiamat kelak, lalu Dia memberikan keputusan tentang apa yang diperselisihkan semasa di dunia dahulu antara mereka sehingga jelas kepada mereka siapa yang benar dan siapa yang salah.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Katakanlah (Muhammad), ‘Rabb kita akan mengumpulkan kita semua, kemudian Dia memberi keputusan antara kita dengan benar. Dan Dia-lah Maha Pemberi keputusan lagi Maha Mengetahui.’”
Saba’ 34:26
▪️ Kesepuluh: Seluruh manusia akan dihisab dan diberikan balasan yang setimpal.