Surah 42: Asy-Syura (1 – 6)

Wahyu Allah Swt kepada Para Nabi adalah Sama

Surah 42: Asy-Syura (1 – 6)


Ayat 1

حمٓ

Ha Mim.

Ayat 2

عٓسٓقٓ

‘Ain Sin Qaf.

Ayat 3

كَذَٰلِكَ يُوحِىٓ إِلَيْكَ وَإِلَى ٱلَّذِينَ مِن قَبْلِكَ ٱللَّهُ ٱلْعَزِيزُ ٱلْحَكِيمُ

Demikianlah Allah Yang Maha Perkasa, Maha Bijaksana, mewahyukan kepadamu (Muhammad) dan kepada orang-orang yang sebelum kamu.

Allah Swt menyatakan sebagaimana Dia menurunkan Al-Quran kepada Nabi Muhammad saw, begitulah juga Dia menurunkan kitab-kitab dan lembaran-lembaran kepada para Nabi sebelumnya.

Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“Sesungguhnya Kami telah memberikan wahyu kepadamu sebagaimana Kami telah memberikan wahyu kepada Nuh dan Nabi-nabi yang selepasnya, dan Kami telah memberikan wahyu (pula) kepada Ibrahim, Ismail, Ishak, Yaakub dan anak cucunya, ‘Isa, Ayub, Yunus, Harun dan Sulaiman. Dan Kami telah berikan Zabur kepada Daud.”

An-Nisa’ 4:163

Imam Malik rahimahullah telah meriwayatkan daripada ‘Aisyah ra, beliau mengatakan Al-Haris ibnu Hisyam pernah bertanya kepada Rasulullah saw, “Wahai Rasulullah, seperti apakah wahyu datang kepadamu?” Rasulullah saw menjawab:

“Adakalanya wahyu datang kepadaku seperti suara gemerencingnya loceng, dan wahyu ini merupakan yang paling berat bagiku. Dan apabila wahyu telah selesai, maka aku telah hafal tentang semua yang disampaikan olehnya (Jibril as). Dan adakalanya malaikat itu datang kepadaku berupa seorang lelaki, lalu dia berbicara denganku dan aku memahami apa yang diucapkan.” ‘Aisyah ra berkata, “Aku pernah melihat Rasulullah saat wahyu diturunkan kepadanya pada hari yang sangat dingin. Dan tatkala wahyu telah selesai, maka sesungguhnya dahi baginda bercucuran keringat.”

(HR. Al-Bukhari dan Muslim)

Ayat ini juga sebagai penegasan tentang persamaan dakwah para Nabi kepada tauhid, keadilan, kenabian, Hari Kiamat, peringatan agar tidak terpedaya dengan keindahan dunia dan beramal untuk bekalan akhirat.

Ayat 4

لَهُۥ مَا فِى ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَمَا فِى ٱلْأَرْضِ ۖ وَهُوَ ٱلْعَلِىُّ ٱلْعَظِيمُ

Kepunyaan-Nya-lah apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi. Dan Dia-lah yang Maha Tinggi lagi Maha Agung.

Allah Swt menyebutkan sifat-sifat kebesaran-Nya iaitu Dia-lah yang memiliki langit dan bumi dengan segala apa yang ada di antara kedua-duanya. Semua makhluk tersebut berada di bawah kekuasaan-Nya. Dia-lah yang berhak mentadbirkan semuanya kerana Dia-lah Yang Maha Agung, tiada sesuatu pun yang setanding dengan-Nya.

Ayat 5

تَكَادُ ٱلسَّمَـٰوَٰتُ يَتَفَطَّرْنَ مِن فَوْقِهِنَّ ۚ وَٱلْمَلَـٰٓئِكَةُ يُسَبِّحُونَ بِحَمْدِ رَبِّهِمْ وَيَسْتَغْفِرُونَ لِمَن فِى ٱلْأَرْضِ ۗ أَلَآ إِنَّ ٱللَّهَ هُوَ ٱلْغَفُورُ ٱلرَّحِيمُ

Hampir sahaja langit itu pecah dari sebelah atasnya (kerana kebesaran Allah) dan malaikat-malaikat bertasbih memuji Rabb mereka dan memohonkan keampunan untuk orang yang ada di bumi. Ingatlah, bahawa sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Ada beberapa pendapat tentang ayat ini:

▪️   Langit hampir pecah kerana mengingati keagungan dan kebesaran Allah Swt yang berkuasa penuh terhadapnya.

▪️   Langit hampir pecah kerana banyaknya malaikat yang berada di atasnya.

▪️   Langit hampir pecah disebabkan perkataan orang-orang musyrik yang mengatakan Allah Swt mempunyai anak seperti dalam firman-Nya:

“Dan mereka berkata, “Rabb Yang Maha Pemurah mengambil (mempunyai) anak.” Sesungguhnya kamu telah mendatangkan sesuatu perkara yang sangat mungkar, hampir-hampir langit pecah kerana ucapan itu, dan bumi terbelah, dan gunung-gunung runtuh, kerana mereka mendakwa Allah Yang Maha Pemurah mempunyai anak.”

Maryam 19:88-91

Para malaikat sentiasa mensucikan Allah Swt daripada segala hal yang tidak layak dan mustahil untuk-Nya. Mereka juga memuji dan mensyukuri segala nikmat yang tidak terhingga seperti dalam firman-Nya:

“Mereka selalu bertasbih malam dan siang tiada henti-hentinya.”

Al-Anbiya’ 21: 20

Para malaikat juga memohon keampunan untuk para hamba Allah Swt yang beriman. Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“(Malaikat-malaikat) yang memikul ‘Arasy dan yang berada di sekelilingnya bertasbih dengan memuji Rabbnya dan mereka beriman kepada-Nya serta memohonkan keampunan untuk orang-orang yang beriman, ‘Wahai Rabb kami, rahmat dan ilmu yang ada pada-Mu meliputi segala sesuatu, maka berilah keampunan kepada orang-orang yang bertaubat dan mengikut jalan (agama)-Mu dan peliharalah mereka daripada azab neraka.’”

Ghafir 40:7

Pada akhir ayat ini, Allah Swt menyatakan bahawa sesungguhnya Dia Maha Pengampun maka Dia menerima taubat hamba-hamba-Nya yang bertaubat.

Ayat 6

وَٱلَّذِينَ ٱتَّخَذُوا۟ مِن دُونِهِۦٓ أَوْلِيَآءَ ٱللَّهُ حَفِيظٌ عَلَيْهِمْ وَمَآ أَنتَ عَلَيْهِم بِوَكِيلٍ

Dan orang-orang yang mengambil pelindung-pelindung selain Allah, Dia mengawasi (perbuatan) mereka, dan engkau (Muhammad) bukanlah orang yang diserahkan untuk mengawasi mereka.

Kemudian Allah Swt memperingatkan orang-orang yang mensyirikkan-Nya. Sesungguhnya Dia Maha Mengawasi orang-orang musyrik yang menjadikan berhala-berhala sebagai ilah yang disembah selain-Nya, dan segala perbuatan mereka akan dicatat. Pada Hari Akhirat kelak, mereka akan diberikan balasan atas segala amalan mereka.

Allah Swt juga menjelaskan bahawa Nabi Muhammad saw hanyalah diutuskan-Nya sebagai pemberi peringatan. Baginda tidak boleh memaksa sesiapa pun untuk beriman dan melakukan amal ibadat. Ini kerana tidak ada paksaan dalam beragama. Begitu juga seseorang tidak dapat menjaga amal ibadat orang lain.

Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“…………. Sesungguhnya engkau (Muhammad) hanyalah pemberi peringatan, dan Allah jualah Pemelihara segala sesuatu.”

Hud 11:12