Bukti-bukti Kebenaran Al-Quran
Surah 41: Fussilat (52 – 54)
Ayat 52
قُلْ أَرَءَيْتُمْ إِن كَانَ مِنْ عِندِ ٱللَّهِ ثُمَّ كَفَرْتُم بِهِۦ مَنْ أَضَلُّ مِمَّنْ هُوَ فِى شِقَاقٍ بَعِيدٍ
Katakanlah, “Bagaimana pendapatmu jika (Al Quran) itu datang dari sisi Allah, kemudian kamu mengingkarinya. Siapakah yang lebih sesat daripada orang yang selalu berada dalam penyimpangan yang jauh (daripada kebenaran)?”
Allah Swt memerintahkan Rasulullah saw bertanyakan kepada kaumnya apa pendapat mereka sekiranya Al-Quran itu benar-benar dari sisi-Nya, sedangkan mereka mengingkari kebenarannya.
Sekiranya demikian tentulah mereka semua termasuk dalam golongan orang-orang yang sesat dan jauh daripada kebenaran serta akan merasai penyesalan yang tidak berguna di akhirat kelak.
Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:
“Kemudian dia berpaling (daripada kebenaran) dan menyombongkan diri, lalu dia berkata, ‘(Al-Quran) ini hanyalah sihir yang dipelajari (daripada orang-orang dahulu). Ini hanyalah perkataan manusia.’”
Al-Muddaththir 74:23-25
“Sesungguhnya orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami dan menyombongkan diri terhadapnya, tidak akan dibukakan pintu-pintu langit bagi mereka, dan mereka tidak akan masuk syurga, sebelum unta masuk ke dalam lubang jarum. Demikianlah kami memberi balasan kepada orang-orang yang melakukan kejahatan. Disediakan bagi mereka hamparan-hamparan tidur daripada api neraka dan di atas mereka ada selimut (api neraka). Demikianlah kami memberikan balasan kepada orang-orang yang melakukan kejahatan.”
Al-A’raf 7:40-41
Ayat 53
سَنُرِيهِمْ ءَايَـٰتِنَا فِى ٱلْـَٔافَاقِ وَفِىٓ أَنفُسِهِمْ حَتَّىٰ يَتَبَيَّنَ لَهُمْ أَنَّهُ ٱلْحَقُّ ۗ أَوَلَمْ يَكْفِ بِرَبِّكَ أَنَّهُۥ عَلَىٰ كُلِّ شَىْءٍ شَهِيدٌ
Kami akan memperlihatkan kepada mereka tanda-tanda (kekuasaan) Kami di segenap penjuru (dunia) dan pada diri mereka sendiri, hingga jelas bagi mereka bahawa Al-Quran itu adalah benar. Tidak cukupkah bagi kamu bahawa sesungguhnya Rabbmu menjadi saksi atas segala sesuatu?
Allah Swt menyatakan bahawa Dia memperlihatkan kepada mereka bukti-bukti dan dalil-dalil yang menunjukkan bahawa Al-Quran itu benar-benar diturunkan dari sisi Allah Swt kepada Rasul-Nya Nabi Muhammad saw. Ini berupa bukti-bukti yang terdapat di segenap penjuru dunia, seperti kemenangan-kemenangan yang diperoleh sehingga Islam muncul sebagai syiar di seluruh dunia.
Juga bukti-bukti yang berkaitan dengan diri mereka sendiri iaitu susunan anggota badan berupa bahan-bahan dan struktur yang menakjubkan.
Oleh itu pada akhir ayat ini, Allah Swt menyatakan cukuplah Dia sebagai saksi terhadap segala perbuatan dan ucapan hamba-hamba-Nya. Dia bersaksi bahawa Nabi Muhammad saw benar dalam menyampaikan apa yang dia terima daripada-Nya. Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“(Mereka tidak mahu mengakui apa yang telah diturunkan Allah kepadamu wahai Muhammad), tetapi Allah mengakui Al-Quran yang diturunkan-Nya kepadamu. Allah menurunkannya dengan ilmu-Nya, malaikat juga turut menjadi saksi. Dan cukuplah Allah menjadi saksi (akan kebenaran Al-Quran ini).”
An-Nisa’ 4:166
Ayat 54
أَلَآ إِنَّهُمْ فِى مِرْيَةٍ مِّن لِّقَآءِ رَبِّهِمْ ۗ أَلَآ إِنَّهُۥ بِكُلِّ شَىْءٍ مُّحِيطٌ
Ingatlah bahawa sesungguhnya mereka adalah dalam keraguan tentang pertemuan dengan Rabb mereka. Ingatlah bahawa sesungguhnya Dia Maha Meliputi segala sesuatu.
Orang-orang musyrik ragu-ragu tentang terjadinya Hari Kiamat. Oleh itu, mereka tidak memikirkannya dan tidak mengetahuinya serta bersikap tidak berwaspada terhadapnya. Bahkan segala permasalahan tentang Hari Kiamat langsung tidak terlintas dalam pemikiran mereka dan mereka sama sekali tidak mempedulikannya. Padahal Hari Kiamat pasti terjadi dan tiada keraguan padanya.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Sungguh rugi orang-orang yang mendustakan pertemuan mereka dengan Allah, sehingga apabila kiamat datang kepada mereka dengan tiba-tiba, mereka berkata, “Alangkah besarnya penyesalan kami terhadap kelalaian kami tentang kiamat itu,” sambil mereka memikul dosa-dosa di atas belakang mereka. Alangkah buruknya apa yang mereka pikul itu.”
Al-An’am 6:31
Semua makhluk berada di bawah pengaturan dan genggaman kekuasaan-Nya serta berada di bawah liputan pengetahuan-Nya. Dia-lah yang mengatur kesemuanya dengan keputusan-Nya. Oleh itu apa yang dikehendaki-Nya pasti ada, dan apa yang tidak dikehendaki-Nya pasti tiada.