Surah 41: Fussilat (49 – 51)

Antara Sikap Buruk Manusia apabila Ditimpa Musibah dan Mendapat Kesenangan

Surah 41: Fussilat (49 – 51)


Ayat 49

لَّا يَسْـَٔمُ ٱلْإِنسَـٰنُ مِن دُعَآءِ ٱلْخَيْرِ وَإِن مَّسَّهُ ٱلشَّرُّ فَيَـُٔوسٌ قَنُوطٌ

Manusia tidak jemu memohon kebaikan, dan jika ditimpa malapetaka mereka berputus asa dan putus harapan.

Allah Swt menggambarkan sikap buruk manusia ketika di dunia. Pada umumnya manusia tidak jemu memohon untuk mendapatkan kebaikan berupa kesenangan bagi kehidupan mereka di dunia seperti harta, kekuasaan, kehormatan dan sebagainya.

Namun jika mereka ditimpa musibah seperti kesulitan, kemiskinan atau sakit, maka mereka menjadi orang yang sangat berputus asa daripada rahmat Allah Swt. Bahkan dalam doa mereka tiada lagi kebaikan untuk diri sendiri atau menyangka musibah itu tidak akan hilang daripada diri mereka.

Ayat 50

وَلَئِنْ أَذَقْنَـٰهُ رَحْمَةً مِّنَّا مِنۢ بَعْدِ ضَرَّآءَ مَسَّتْهُ لَيَقُولَنَّ هَـٰذَا لِى وَمَآ أَظُنُّ ٱلسَّاعَةَ قَآئِمَةً وَلَئِن رُّجِعْتُ إِلَىٰ رَبِّىٓ إِنَّ لِى عِندَهُۥ لَلْحُسْنَىٰ ۚ فَلَنُنَبِّئَنَّ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ بِمَا عَمِلُوا۟ وَلَنُذِيقَنَّهُم مِّنْ عَذَابٍ غَلِيظٍ

Dan jika Kami berikan kepadanya suatu rahmat daripada Kami setelah ditimpa kesusahan, pastilah dia berkata, “Ini adalah hakku, dan aku tidak yakin bahawa hari kiamat itu akan terjadi. Dan jika aku kembali kepada Rabbku, sesungguhnya aku akan memperoleh kebaikan di sisi-Nya.” Maka sesungguhnya akan Kami beritahu kepada orang-orang kafir tentang apa yang telah mereka kerjakan dan akan Kami timpakan kepada mereka azab yang berat.

Kemudian Allah Swt menyebutkan tiga sifat yang lebih buruk daripada sifat dalam ayat sebelum ini iaitu:

▪️   Jika selepas seseorang itu ditimpa kesulitan, kemudian dia mendapat kesenangan nescaya dia akan mengatakan bahawa memang dia berhak mendapatkan kesenangan tersebut.

▪️   Orang seperti ini mengingkari adanya Hari Kiamat. Pada saat dia mendapat kesenangan dia berbangga diri, sombong dan kufur. Dia meyakini bahawa sekiranya benar ada tempat kembali (Hari Kiamat) pasti Rabbnya akan berbuat baik kepadanya sebagaimana Dia berbuat baik terhadapnya semasa berada di dunia.

▪️   Sekiranya mereka dibangkitkan kembali sepertimana yang dinyatakan oleh para Rasul itu adalah benar, maka mereka mendakwa Allah Swt pasti akan memberikan kebaikan kepada mereka sebagaimana Dia memberikan kebaikan kepadanya ketika di dunia dahulu.

Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“Ketahuilah! Sesungguhnya manusia itu benar-benar melampaui batas kerana dia melihat dirinya serba cukup.”

Al-‘Alaq 96:6-7

Namun segala anggapan manusia seperti yang dinyatakan itu adalah tidak benar. Keadaan yang akan berlaku kelak di akhirat adalah tidak seperti yang mereka sangkakan. Di akhirat kelak, Allah Swt akan memberitahu kepada orang-orang yang tidak beriman tentang segala perkara yang telah mereka lakukan dan akan memberi balasan dengan azab yang pedih.

Ayat 51

وَإِذَآ أَنْعَمْنَا عَلَى ٱلْإِنسَـٰنِ أَعْرَضَ وَنَـَٔا بِجَانِبِهِۦ وَإِذَا مَسَّهُ ٱلشَّرُّ فَذُو دُعَآءٍ عَرِيضٍ

Dan apabila Kami berikan nikmat kepada manusia, dia berpaling dan menjauhkan diri (dengan sombong) tetapi apabila ditimpa malapetaka, maka dia banyak berdoa.

▪️   Apabila diberikan nikmat dan pelbagai kebajikan kepada manusia, dia berpaling daripada Allah Swt dengan mengingkari nikmat-nikmat-Nya dan menjauhkan diri daripada ajaran-ajaran-Nya dengan sombong. 

▪️   Namun apabila ditimpa malapetaka sebagai peringatan atas keingkaran dan kesombongan mereka, maka mereka banyak berdoa dengan doa yang panjang.

Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“Dan apabila manusia ditimpa bahaya, dia berdoa kepada Kami dalam keadaan berbaring, duduk atau berdiri, tetapi setelah Kami hilangkan bahaya itu daripadanya, dia kembali (ke jalan yang sesat), seolah-olah dia tidak pernah berdoa kepada Kami untuk (menghilangkan) bahaya yang telah menimpanya……….”

Yunus 10:12