Hanya Allah Swt yang Mengetahui Waktu Terjadinya Hari Kiamat
Surah 41: Fussilat (47 – 48)
Ayat 47
إِلَيْهِ يُرَدُّ عِلْمُ ٱلسَّاعَةِ ۚ وَمَا تَخْرُجُ مِن ثَمَرَٰتٍ مِّنْ أَكْمَامِهَا وَمَا تَحْمِلُ مِنْ أُنثَىٰ وَلَا تَضَعُ إِلَّا بِعِلْمِهِۦ ۚ وَيَوْمَ يُنَادِيهِمْ أَيْنَ شُرَكَآءِى قَالُوٓا۟ ءَاذَنَّـٰكَ مَا مِنَّا مِن شَهِيدٍ
Kepada-Nya-lah dikembalikan pengetahuan tentang Hari Kiamat. Dan tidak ada buah-buahan keluar dari kelopaknya dan tidak seorang perempuan pun mengandung dan tidak (juga) melahirkan, melainkan semuanya dalam pengetahuan-Nya. Pada hari ketika Dia (Allah) menyeru mereka, “Di manakah sekutu-sekutu-Ku itu?” Mereka menjawab, “Kami nyatakan kepada Engkau bahawa tidak ada seorang pun di antara kami yang memberi kesaksian (bahawa Engkau memiliki sekutu).”
Allah Swt menyatakan bahawa tidak ada seorang pun yang mengetahui bila terjadinya kiamat, hanya kepada-Nya-lah ilmu tentang Hari Kiamat itu dikembalikan. Sesungguhnya hanya Dia Yang Maha Mengetahui dengan sempurna bila terjadinya kiamat dan bagaimana terjadinya.
Begitu juga dengan perkara-perkara yang berlaku kepada makhluk ciptaan-Nya yang lain. Dia Maha mengetahui bila buah-buahan akan berputik dan keluar dari kelopak bunganya yang sedang kuncup. Dia juga Maha Mengetahui setiap apa yang dikandung dan dilahirkan oleh perempuan yang hamil, semuanya adalah dalam pengetahuan-Nya. Dia-lah Yang Mengetahui secara pasti dan segala perinciannya.
Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:
“……….Tidak ada sehelai daun pun yang gugur yang tidak diketahui-Nya……….”
Al-An’am 6:59
“Allah mengetahui apa yang dikandung oleh setiap perempuan, apa yang kurang sempurna, dan apa yang bertambah dalam rahim. Dan setiap sesuatu ada kadar ukuran di sisi-Nya.”
Ar-Ra’d 13:8
Pada Hari Kiamat kelak Allah Swt akan memanggil orang-orang musyrik di hadapan orang ramai untuk menanyakan di manakah sekutu-sekutu-Nya ketika di dunia dahulu mereka menyembahnya dan mendakwa sembahan-sembahan itu dapat menyelamatkan mereka daripada seksaan-Nya. Ini merupakan ejekan dan penghinaan kepada mereka.
Kemudian kelak mereka akan bersaksikan bahawa Allah Swt tidak memiliki sekutu dan mereka tidak menyekutukan-Nya. Jawapan mereka ini bertujuan membersihkan diri mereka daripada syirik.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Dan (Ingatlah) suatu hari (ketika itu). Kami kumpulkan mereka semuanya, kemudian Kami berkata kepada orang-orang yang mempersekutukan (Allah), ‘Tetaplah kamu di tempatmu, kamu dan sekutu-sekutumu.’ Lalu Kami pisahkan mereka dan berkatalah sekutu-sekutu mereka, ‘Kamu sekali-kali tidak pernah menyembah kami.’”
Yunus 10:28
Ayat 48
وَضَلَّ عَنْهُم مَّا كَانُوا۟ يَدْعُونَ مِن قَبْلُ ۖ وَظَنُّوا۟ مَا لَهُم مِّن مَّحِيصٍ
Dan lenyaplah daripada mereka apa yang selalu mereka sembah dahulu, dan mereka yakin bahawa tidak ada bagi mereka satu jalan keluar pun (daripada azab Allah).
Tuhan-tuhan palsu yang disembah oleh orang-orang musyrik berupa berhala dan lainnya itu lenyap dan tidak mampu memberikan pertolongan atau manfaat kepada mereka. Akhirnya mereka pun meyakini dan tahu secara pasti tidak ada tempat buat mereka untuk melarikan diri daripada seksaan Allah Swt.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Dan orang yang berdosa melihat neraka lalu mereka menyangka, bahawa mereka akan jatuh ke dalamnya, dan mereka tidak menemukan tempat keluar darinya.”
Al-Kahfi 18:53