Surah 41: Fussilat (44 – 45)

Al-Quran adalah Petunjuk dan Penawar bagi Orang yang Beriman

Surah 41: Fussilat (44 – 45)


Ayat 44

وَلَوْ جَعَلْنَـٰهُ قُرْءَانًا أَعْجَمِيًّا لَّقَالُوا۟ لَوْلَا فُصِّلَتْ ءَايَـٰتُهُۥٓ ۖ ءَا۬عْجَمِىٌّ وَعَرَبِىٌّ ۗ قُلْ هُوَ لِلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ هُدًى وَشِفَآءٌ ۖ وَٱلَّذِينَ لَا يُؤْمِنُونَ فِىٓ ءَاذَانِهِمْ وَقْرٌ وَهُوَ عَلَيْهِمْ عَمًى ۚ أُو۟لَـٰٓئِكَ يُنَادَوْنَ مِن مَّكَانٍۭ بَعِيدٍ

Dan sekiranya Kami jadikan Al-Quran itu sebagai bacaan dalam bahasa selain bahasa Arab, nescaya mereka mengatakan, “Mengapakah tidak dijelaskan ayat-ayatnya?” Apakah patut (Al-Quran) dalam bahasa selain bahasa Arab sedangkan (Rasul) adalah orang Arab? Katakanlah, “Al-Quran adalah petunjuk dan penyembuh bagi orang-orang yang beriman. Bagi orang-orang yang tidak beriman, pada telinga mereka itu ada sumbatan, dan Al-Quran itu merupakan kegelapan buat mereka. Mereka itu (seperti) orang-orang yang dipanggil dari tempat yang jauh.”

Allah Swt menyebutkan tentang Al-Quran yang disertakan dengan kefasihannya, balaghah serta makna yang jelas, namun orang-orang musyrik tidak mahu beriman kepadanya. Oleh itu, Dia menyatakan kekafiran mereka terhadap Al-Quran itu adalah disebabkan pembangkangan dan keras kepala.

Seandainya Al-Quran diturunkan dalam bahasa asing, tentulah mereka akan mengatakan dengan nada menentang dan ingkar, mengapa diturunkan dalam bahasa asing, sedangkan Rasul adalah orang Arab. Mereka juga akan mengatakan, mengapa ayat-ayatnya tidak dijelaskan dengan bahasa Arab. Ini menunjukkan sikap mereka yang ingkar dan menentang risalah Rasulullah saw.

Al-Quran hanya menjadi petunjuk dan penawar kepada orang-orang yang beriman tetapi tidak kepada orang-orang yang menentangnya. Orang-orang yang tidak beriman, pada telinga mereka ada sumbatan, dan Al-Quran ini merupakan kegelapan bagi mereka. Mereka itu seperti orang-orang yang dipanggil dari tempat yang jauh sehingga mereka tidak mendengar panggilan orang yang memanggil.

Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“Dan perumpamaan bagi (penyeru) orang-orang yang kafir adalah seperti (pengembala) yang menjerit (binatang) yang tidak mendengar selain panggilan dan jeritan. (Mereka) tuli, bisu dan buta, maka mereka tidak memahami.”

Al-Baqarah 2:171

Ayat 45

وَلَقَدْ ءَاتَيْنَا مُوسَى ٱلْكِتَـٰبَ فَٱخْتُلِفَ فِيهِ ۗ وَلَوْلَا كَلِمَةٌ سَبَقَتْ مِن رَّبِّكَ لَقُضِىَ بَيْنَهُمْ ۚ وَإِنَّهُمْ لَفِى شَكٍّ مِّنْهُ مُرِيبٍ

Dan sesungguhnya, telah Kami berikan kepada Musa kitab (Taurat), lalu diperselisihkan tentangnya (Taurat). Sekiranya tidak ada keputusan yang terdahulu daripada Rabbmu, orang-orang kafir itu pasti sudah dibinasakan. Dan sesungguhnya mereka benar-benar dalam keraguan yang mendalam terhadapnya.

Allah Swt menyatakan bahawa Nabi Musa as telah diberikan kitab Taurat. Namun begitu pengikut-pengikutnya daripada Bani Israil itu pun tidak beriman dengan Taurat. Oleh itu bukan dengan Al-Quran sahaja manusia berselisih, dengan Taurat pun mereka menyelisihinya.

Sekiranya tidak ada keputusan yang terdahulu daripada Allah Swt dengan menunda hukuman azab sehingga sampai pada hari yang telah ditetapkan iaitu pada Hari Kiamat nanti, nescaya orang-orang kafir itu pasti sudah dibinasakan. Sesungguhnya mereka itu benar-benar berada dalam keraguan yang mendalam, oleh itu mereka mendustakan dan mengingkarinya.

Jika bukan kerana Allah Swt telah menetapkan mereka akan ditimpa azab pada waktu yang telah ditentukan, pasti mereka akan ditimpakan azab pada waktu itu juga.

Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“Dan mereka (ahli kitab) tidak berpecah-belah, kecuali setelah datang kepada mereka ilmu pengetahuan (kebenaran yang disampaikan oleh para Nabi), kerana kedengkian sesama mereka. Jika tidak kerana sesuatu ketetapan yang telah ada dahulunya daripada Rabbmu (untuk menangguhkan azab) sehingga sampai waktu yang ditentukan, pastilah hukuman kepada mereka itu dilaksanakan. Dan sesungguhnya orang-orang yang mewarisi kitab (Taurat dan Injil) sesudah mereka, benar-benar berada dalam keraguan yang mendalam tentang kitab (Al-Quran) itu.”

Asy-Syura 42:14