Sebahagian daripada Tanda-tanda Kekuasaan Allah Swt
Surah 41: Fussilat (37 – 39)
Ayat 37
وَمِنْ ءَايَـٰتِهِ ٱلَّيْلُ وَٱلنَّهَارُ وَٱلشَّمْسُ وَٱلْقَمَرُ ۚ لَا تَسْجُدُوا۟ لِلشَّمْسِ وَلَا لِلْقَمَرِ وَٱسْجُدُوا۟ لِلَّهِ ٱلَّذِى خَلَقَهُنَّ إِن كُنتُمْ إِيَّاهُ تَعْبُدُونَ
Dan sebahagian daripada tanda-tanda (kekuasaan)-Nya ialah malam, siang, matahari dan bulan. Janganlah sujud kepada matahari dan jangan (juga) kepada bulan, tetapi sujudlah kepada Allah Yang menciptakannya, jika kamu hanya menyembah kepada-Nya.
Allah Swt mengingatkan manusia tentang kekuasaan, keagungan dan kebijaksanaan-Nya. Dia sangat berkuasa menjadikan malam, siang, matahari dan bulan yang memberi banyak manfaat kepada hamba-hamba-Nya, namun semua makhluk ciptaan-Nya itu sama sekali tidak berhak di sembah. Sesungguhnya hanya Allah Swt sahaja yang layak disembah.
Ayat ini hanya menyebutkan ‘sebahagian’ sahaja daripada tanda-tanda kebesaran Allah Swt dan ini menunjukkan masih terdapat berjuta-juta lagi tanda-tanda kewujudan-Nya yang tidak disebutkan.
Manusia diperintahkan agar tidak berbuat syirik kepada Allah Swt sebagaimana firman-Nya dalam ayat-ayat yang lain:
“Sesungguhnya Allah tidak akan mengampuni dosa syirik, dan Dia mengampuni segala dosa yang selain (syirik) itu, bagi siapa yang dikehendaki-Nya…………..”
An-Nisa’ 4:48
“Dan sesungguhnya telah diwahyukan kepadamu dan kepada (Nabi-Nabi) yang sebelummu, ‘Jika kamu menyekutukan (Allah), nescaya akan terhapuslah amalanmu dan tentulah kamu termasuk orang-orang yang rugi.’”
Az-Zumar 39:65
Rasulullah saw bersabda:
“Sesiapa yang mati dalam keadaan tidak berbuat syirik kepada Allah dengan sesuatu apa pun, maka dia akan masuk syurga. Sesiapa yang mati dalam keadaan berbuat syirik kepada Allah, maka dia akan masuk neraka.”
(HR. Muslim)
Ayat 38
فَإِنِ ٱسْتَكْبَرُوا۟ فَٱلَّذِينَ عِندَ رَبِّكَ يُسَبِّحُونَ لَهُۥ بِٱلَّيْلِ وَٱلنَّهَارِ وَهُمْ لَا يَسْـَٔمُونَ
Jika mereka menyombongkan diri, maka para malaikat yang di sisi Rabbmu bertasbih kepada-Nya pada malam dan siang hari, serta mereka tidak pernah jemu.
Allah Swt Maha Kaya. Oleh itu, ketaatan hamba-hamba-Nya sedikit pun tidak memberi manfaat kepada-Nya dan kemaksiatan mereka tidak juga memberikan mudharat kepada-Nya.
Sekiranya orang-orang kafir menolak untuk sujud kepada Allah Swt, Dia mengatakan bahawa masih ada makhluk-Nya yang lain yang sentiasa bertasbih kepada-Nya, tanpa lengah sedikit pun dan tidak pernah berasa bosan untuk beribadah kepada-Nya. Mereka itu adalah para malaikat yang sentiasa beribadah kepada-Nya.
Maksud “menyombongkan diri” ialah tidak memurnikan ibadah kepada Allah Swt.
Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:
“Dan milik-Nya segala yang ada di langit dan di bumi. Dan malaikat-malaikat yang ada di sisi-Nya tidak mempunyai rasa angkuh untuk menyembah-Nya dan tidak pula berasa letih. Mereka bertasbih tanpa henti malam dan siang.”
Al-Anbiya’ 21:19-20
Ayat 39
وَمِنْ ءَايَـٰتِهِۦٓ أَنَّكَ تَرَى ٱلْأَرْضَ خَـٰشِعَةً فَإِذَآ أَنزَلْنَا عَلَيْهَا ٱلْمَآءَ ٱهْتَزَّتْ وَرَبَتْ ۚ إِنَّ ٱلَّذِىٓ أَحْيَاهَا لَمُحْىِ ٱلْمَوْتَىٰٓ ۚ إِنَّهُۥ عَلَىٰ كُلِّ شَىْءٍ قَدِيرٌ
Dan sebahagian daripada tanda-tanda (kekuasaan)-Nya, engkau melihat bumi itu kering dan tandus, tetapi apabila Kami turunkan air (hujan) di atasnya, nescaya ia bergerak dan subur. Sesungguhnya (Rabb) yang menghidupkan bumi tentu dapat menghidupkan yang mati. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu.
Allah Swt menyatakan lagi sebahagian daripada tanda-tanda kekuasaan-Nya. Dia boleh melakukan apa sahaja yang Dia kehendaki kerana Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Dia-lah yang menyuburkan tanah yang tandus dan menumbuhkan pelbagai tanaman. Begitu jugalah Dia boleh menghidupkan kembali orang-orang yang telah mati.
Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:
“Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, silih bergantinya malam dan siang, kapal yang berlayar di lautan dengan (barangan) yang bermanfaat bagi manusia, dan apa yang diturunkan oleh Allah dari langit (air), lalu dengan (air) itu dihidupkan bumi setelah mati (kering) dan Dia sebarkan di bumi itu segala jenis binatang, dan peredaran angin dan awan yang di antara langit dan bumi, sungguh (terdapat) tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi orang-orang yang berfikir.”
Al-Baqarah 2:164
“Apakah kamu tidak memerhatikan bahawa sesungguhnya Allah menurunkan air dari langit, maka diatur-Nya menjadi sumber-sumber air di bumi kemudian dengan air itu ditumbuhkan-Nya tanam-tanaman yang pelbagai warnanya, kemudian menjadi kering, lalu kamu melihatnya kekuning-kuningan, kemudian dijadikan-Nya hancur berderai-derai. Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat pelajaran bagi orang-orang yang mempunyai akal.”
Az-Zumar 39:21