Perintah agar Memohon Perlindungan jika Diganggu Syaitan
Surah 41: Fussilat (36)
Ayat 36
وَإِمَّا يَنزَغَنَّكَ مِنَ ٱلشَّيْطَـٰنِ نَزْغٌ فَٱسْتَعِذْ بِٱللَّهِ ۖ إِنَّهُۥ هُوَ ٱلسَّمِيعُ ٱلْعَلِيمُ
Dan jika syaitan mengganggumu dengan sesuatu godaan, maka mohonlah perlindungan kepada Allah. Sesungguhnya, Dia-lah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.
Allah Swt menerangkan cara menghilangkan bisikan hawa nafsu dan rayuan syaitan iaitu dengan meminta pertolongan-Nya daripada kejahatan dan tipu daya syaitan. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui permohonan hamba-hamba-Nya.
Syaitan daripada kalangan manusia kadang-kadang dapat ditundukkan dengan berbuat baik kepada mereka. Sedangkan jika terdapat bisikan-bisikan syaitan daripada golongan jin, tidak ada jalan keluar kecuali dengan memohon perlindungan kepada Allah Swt. Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:
“Jadilah pemaaf dan suruhlah orang mengerjakan yang makruf, serta jangan mempedulikan orang-orang yang bodoh. Dan jika syaitan datang menggodamu, maka berlindunglah kepada Allah. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”
Al-A’raf 7:199-200
Daripada Abdullah bin Mas’ud ra, bahawa Rasulullah saw bersabda:
“Sesungguhnya bagi syaitan ada bisikan kepada anak Adam dan bagi malaikat ada pula bisikan. Adapun bisikan syaitan ialah menjanjikan yang buruk-buruk dan mendustakan kebenaran. Dan adapun bisikan malaikat ialah menjanjikan yang benar dan menerima kebenaran dengan jujur. Kalau pernah terdapat demikian, ketahuilah bahawa itu adalah daripada Allah, maka pujilah Allah. Dan sesiapa yang mendapat selain itu, maka hendaklah dia berlindung kepada Allah daripada syaitan.”
(HR. At-Tirmidzi dan An-Nasa’i)