Surah 41: Fussilat (25 – 29)

Balasan bagi Orang Kafir

Surah 41: Fussilat (25 – 29)


Ayat 25

وَقَيَّضْنَا لَهُمْ قُرَنَآءَ فَزَيَّنُوا۟ لَهُم مَّا بَيْنَ أَيْدِيهِمْ وَمَا خَلْفَهُمْ وَحَقَّ عَلَيْهِمُ ٱلْقَوْلُ فِىٓ أُمَمٍ قَدْ خَلَتْ مِن قَبْلِهِم مِّنَ ٱلْجِنِّ وَٱلْإِنسِ ۖ إِنَّهُمْ كَانُوا۟ خَـٰسِرِينَ

Dan Kami tetapkan bagi mereka teman-teman yang menjadikan mereka memandang baik apa yang ada di hadapan dan di belakang mereka dan tetaplah atas mereka keputusan azab pada umat-umat yang terdahulu sebelum mereka daripada jin dan manusia, sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang rugi.

Allah Swt menyatakan bahawa Dia-lah yang menyesatkan orang-orang kafir itu berdasarkan kehendak, penciptaan dan kekuasaan-Nya dan Dia-lah Yang Maha Bijaksana dalam semua perbuatan-Nya. Ini termasuklah menjadikan syaitan daripada golongan manusia dan jin sebagai teman-teman mereka.

Lalu teman-teman yang mendampingi mereka itu menjadikan mereka memandang baik terhadap perkara yang buruk dan sebaliknya. Teman-teman mereka itu juga mempunyai sifat dan perangai yang sama dengan mereka iaitu memuji-muji apa sahaja yang ada di hadapan mereka berupa kelazatan duniawi, dan mengingkari apa yang ada di belakang mereka berupa kehidupan akhirat.

Oleh itu tetaplah bagi mereka azab, bersama-sama umat-umat yang terdahulu sebelum mereka, daripada golongan jin dan manusia. Sesungguhnya mereka semua adalah para penderhaka dan mereka adalah orang-orang yang benar-benar menderita kerugian.

Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:

“Dan sesiapa yang berpaling daripada pengajaran Allah Yang Maha Pemurah (Al-Quran), Kami biarkan syaitan menyesatkannya dan menjadi teman karibnya. Dan sesungguhnya, syaitan-syaitan itu benar-benar menghalang mereka daripada jalan yang benar, sementara mereka menyangka mereka mendapat petunjuk.”

Az-Zukhruf 43:36-37

Ayat 26

وَقَالَ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ لَا تَسْمَعُوا۟ لِهَـٰذَا ٱلْقُرْءَانِ وَٱلْغَوْا۟ فِيهِ لَعَلَّكُمْ تَغْلِبُونَ

Dan orang-orang yang kafir berkata, “Janganlah kamu mendengar dengan bersungguh-sungguh akan Al-Quran ini dan buatlah hiruk-pikuk terhadapnya, supaya kamu dapat mengalahkan mereka.”

Inilah sikap orang-orang yang bodoh daripada kalangan orang-orang kafir Quraisy pada masa itu dan orang-orang yang mengikuti jejak mereka apabila mendengar bacaan Al-Quran.

Mereka saling berpesan agar jangan taat kepada Al-Quran dan jangan tunduk kepada perintah-perintah yang terkandung di dalamnya. Mereka bukan sahaja tidak mahu beriman dan beramal dengan Al-Quran, malah mereka melarang dan menghalang orang lain mendengar dan belajar memahami maksud Al-Quran.

Salah satu cara mereka menghalang orang lain mendengar Al-Quran adalah dengan membuat bising. Ada yang bersiul, bertepuk tangan dan sebagainya. Mereka juga mengadakan acara lain dengan menyediakan tempat untuk orang bercerita kisah-kisah penglipur lara supaya orang tidak hadir ke tempat orang-orang yang membaca Al-Quran. Jikalau mereka hadir ke tempat Rasulullah saw mengadakan majlis ilmu sekalipun mereka akan bercakap dengan kuat apabila baginda sedang membaca Al-Quran.

Ayat 27

فَلَنُذِيقَنَّ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ عَذَابًا شَدِيدًا وَلَنَجْزِيَنَّهُمْ أَسْوَأَ ٱلَّذِى كَانُوا۟ يَعْمَلُونَ

Maka sesungguhnya Kami akan menimpakan azab yang keras kepada orang-orang kafir dan Kami akan memberi balasan kepada mereka dengan seburuk-buruk pembalasan bagi apa yang telah mereka lakukan.

Ayat 28

ذَٰلِكَ جَزَآءُ أَعْدَآءِ ٱللَّهِ ٱلنَّارُ ۖ لَهُمْ فِيهَا دَارُ ٱلْخُلْدِ ۖ جَزَآءًۢ بِمَا كَانُوا۟ بِـَٔايَـٰتِنَا يَجْحَدُونَ

Demikianlah balasan (terhadap) musuh-musuh Allah, (iaitu) neraka, mereka mendapat tempat tinggal yang kekal di dalamnya sebagai balasan terhadap keingkaran mereka terhadap ayat-ayat kami.

Setelah itu, Allah Swt mengancam orang-orang kafir dengan seksaan yang dahsyat dan terburuk kerana kesyirikan mereka dan menghalang manusia lain daripada mendengarkan Al-Quran, mereka kekal di dalamnya.

Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“Orang-orang kafir yang menghalang (manusia) daripada jalan Allah, Kami tambahkan kepada mereka azab demi azab disebabkan mereka selalu melakukan kerosakan.”

An-Nahl 16:88

Ayat 29

وَقَالَ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ رَبَّنَآ أَرِنَا ٱلَّذَيْنِ أَضَلَّانَا مِنَ ٱلْجِنِّ وَٱلْإِنسِ نَجْعَلْهُمَا تَحْتَ أَقْدَامِنَا لِيَكُونَا مِنَ ٱلْأَسْفَلِينَ

Dan orang-orang kafir berkata, “Wahai Rabb kami perlihatkanlah kepada kami dua golongan yang telah menyesatkan kami (iaitu) sebahagian daripada jin dan manusia agar kami letakkan kedua-duanya di bawah tapak kaki kami supaya kedua-dua golongan itu menjadi orang-orang yang hina.”

Ketika ini mereka sudah menyesal, lalu ingin membalas dendam kepada pemimpin-pemimpin mereka yang terdiri daripada golongan jin dan manusia yang menyeru mereka supaya berbuat kejahatan, seperti menyekutukan Allah Swt serta dosa-dosa yang lain. Mereka hendak memijak-mijak golongan yang menyesatkan mereka kerana pemimpin-pemimpin itulah yang mengajar mereka fahaman dan ajaran yang salah dahulu. Namun mereka juga turut bersalah kerana mengikut sahaja tanpa usul periksa.

Mereka mengharapkan pemimpin-pemimpin yang menyesatkan mereka itu ditempatkan lebih rendah daripada mereka dalam neraka, agar azabnya lebih keras daripada azab yang mereka terima.

Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“Allah berfirman, ‘Masuklah kamu ke dalam neraka bersama-sama golongan jin dan manusia yang terdahulu daripada kamu.’ Setiap kali satu umat masuk, mereka melaknat saudaranya sehingga apabila mereka semua telah masuk ke dalamnya, berkatalah orang-orang yang masuk setelahnya (kepada) orang yang masuk terlebih dahulu, ‘Wahai Rabb kami, mereka inilah yang telah menyesatkan kami, maka datangkanlah seksaan api nereka yang berlipat ganda kepada mereka.’ Allah berfirman, ‘Masing-masing akan mendapat seksaan yang berlipat ganda tetapi kamu tidak mengetahuinya.’”

Al-A’raf 7:38