Surah 41: Fussilat (13 – 18)

Peringatan kepada Kaum Musyrikin tentang Peristiwa yang Dialami oleh Kaum ‘Aad dan Kaum Thamud

Surah 41: Fussilat (13 – 18)


Ayat 13

فَإِنْ أَعْرَضُوا۟ فَقُلْ أَنذَرْتُكُمْ صَـٰعِقَةً مِّثْلَ صَـٰعِقَةِ عَادٍ وَثَمُودَ

Jika mereka berpaling maka katakanlah, “Aku telah memperingatkan kamu akan (bencana) petir seperti yang menimpa kaum ‘Aad dan kaum Thamud.”

Allah Swt memerintahkan Nabi Muhammad saw agar memberi peringatan kepada kaumnya sekiranya mereka mengingkari dan mendustakan kebenaran agama yang dibawa oleh baginda dengan petir yang menyambar dan membunuh kaum ‘Aad dan kaum Thamud.

Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“Dan ingatlah (Hud) saudara kaum ‘Aad ketika dia mengingatkan kaumnya tentang bukit-bukit pasir, sesungguhnya amaran-amaran yang sama oleh beberapa orang pemberi peringatan sebelum ini dan yang akan datang selepasnya (dengan berkata), ‘Janganlah kamu menyembah selain Allah, aku sesungguhnya bimbang nanti kamu ditimpa azab pada hari yang besar.’”

Al-Ahqaf 46:21

Ayat 14

إِذْ جَآءَتْهُمُ ٱلرُّسُلُ مِنۢ بَيْنِ أَيْدِيهِمْ وَمِنْ خَلْفِهِمْ أَلَّا تَعْبُدُوٓا۟ إِلَّا ٱللَّهَ ۖ قَالُوا۟ لَوْ شَآءَ رَبُّنَا لَأَنزَلَ مَلَـٰٓئِكَةً فَإِنَّا بِمَآ أُرْسِلْتُم بِهِۦ كَـٰفِرُونَ

Ketika para Rasul datang kepada mereka dari hadapan dan dari belakang mereka (untuk menyeru), “Janganlah kamu menyembah selain Allah.” Mereka menjawab, “Kalau Rabb kami mahu, tentu Dia akan menurunkan malaikat-malaikat-Nya, maka sesungguhnya kami mengingkari wahyu yang engkau diutus untuk menyampaikan.”

Kaum ‘Aad dan kaum Thamud diazab setelah diutuskan para Rasul kepada mereka. Mereka menyombongkan diri, berpaling dan mendustakan para Rasul.

Mereka memberi alasan bahawa mereka tidak bersedia menerima dan mengikuti para Rasul kerana para Rasul adalah manusia biasa seperti mereka.

Ayat 15

فَأَمَّا عَادٌ فَٱسْتَكْبَرُوا۟ فِى ٱلْأَرْضِ بِغَيْرِ ٱلْحَقِّ وَقَالُوا۟ مَنْ أَشَدُّ مِنَّا قُوَّةً ۖ أَوَلَمْ يَرَوْا۟ أَنَّ ٱللَّهَ ٱلَّذِى خَلَقَهُمْ هُوَ أَشَدُّ مِنْهُمْ قُوَّةً ۖ وَكَانُوا۟ بِـَٔايَـٰتِنَا يَجْحَدُونَ

Adapun kaum ‘Aad, mereka menyombongkan diri di bumi tanpa (mengendahkan) kebenaran, mereka berkata, “Siapakah yang lebih hebat kekuatannya daripada kami?” Tidakkah mereka perhatikan bahawa sesungguhnya Allah yang menciptakan mereka. Dia lebih hebat kekuatan-Nya daripada mereka. Dan mereka telah mengingkari tanda-tanda (kekuasaan) Kami.

Allah Swt menerangkan secara terperinci tentang peristiwa yang menimpa kaum ‘Aad. Sesungguhnya mereka menyombongkan diri di bumi tanpa mengendahkan kebenaran risalah Nabi Hud as yang diutuskan kepada mereka.

Mereka berbangga dengan kekuatan yang dianugerahkan kepada mereka tanpa memperhatikan bahawa Allah Ta’ala Yang Maha Pencipta telah menciptakan mereka. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa lagi Maha Hebat kekuatan-Nya daripada kekuatan mereka. Namun kesombongan mereka telah menyebabkan mereka mengingkari tanda-tanda kebesaran-Nya.

Ayat 16

فَأَرْسَلْنَا عَلَيْهِمْ رِيحًا صَرْصَرًا فِىٓ أَيَّامٍ نَّحِسَاتٍۢ لِّنُذِيقَهُمْ عَذَابَ ٱلْخِزْىِ فِى ٱلْحَيَوٰةِ ٱلدُّنْيَا ۖ وَلَعَذَابُ ٱلْـَٔاخِرَةِ أَخْزَىٰ ۖ وَهُمْ لَا يُنصَرُونَ

Maka Kami tiupkan angin ribut yang kencang kepada mereka dan dalam beberapa hari berlakulah nahas untuk mereka rasakan seksaan yang menghinakan dalam kehidupan di dunia. Sedangkan azab akhirat pasti lebih menghinakan dan mereka tidak diberi pertolongan.

Disebabkan kesombongan dan keangkuhan kaum ‘Aad, Allah Swt telah mendatangkan azab kepada mereka berupa tiupan angin yang kuat dan sangat dahsyat serta tersangat sejuk sehingga mengazabkan.

Azab ini berlaku dalam beberapa hari, iaitu selama tujuh malam dan lapan hari sebagai seksaan yang menghinakan dalam kehidupan di dunia. Sedangkan azab di akhirat kelak pasti lebih menghinakan berbanding seksaan di dunia. Ketika itu mereka tidak akan diberi pertolongan sedikit pun.

Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:

“Sedangkan kaum ‘Aad, mereka telah dibinasakan dengan angin taufan yang sangat sejuk. Allah menimpakan angin itu kepada mereka selama tujuh malam lapan hari berturut-turut, maka kamu melihat kaum ‘Aad pada waktu itu mati bergelimpangan seperti batang-batang pohon kurma yang telah kosong (reput).”

Al-Haqqah 69:6-7

“Sesungguhnya Kami telah meniupkan angin yang sangat kencang kepada mereka pada hari nahas yang berlanjutan.”

Al-Qamar 54:19

Ayat 17

وَأَمَّا ثَمُودُ فَهَدَيْنَـٰهُمْ فَٱسْتَحَبُّوا۟ ٱلْعَمَىٰ عَلَى ٱلْهُدَىٰ فَأَخَذَتْهُمْ صَـٰعِقَةُ ٱلْعَذَابِ ٱلْهُونِ بِمَا كَانُوا۟ يَكْسِبُونَ

Adapun kaum Thamud, mereka telah Kami beri petunjuk tetapi mereka lebih menyukai kebutaan (kesesatan) daripada petunjuk itu, maka mereka disambar petir sebagai azab yang menghinakan disebabkan apa yang telah mereka lakukan.

Manakala kaum Thamud pula, Allah Swt telah mengutuskan Nabi Saleh as untuk membimbing mereka agar beriman kepada-Nya. Sebagai bukti kebenaran risalahnya, Dia telah berikan kepada baginda mukjizat berupa seekor unta betina dan mereka tidak boleh mengganggunya, namun mereka lebih menyukai kederhakaan daripada ketaatan dan menentang baginda. Mereka telah menyembelih unta yang menjadi bukti kebenaran Nabi Saleh as.

Maka Allah Swt telah menurunkan azab kepada mereka disebabkan keingkaran dan pendustaan mereka. Mereka disambar petir dan halilintar yang menggentarkan sebagai azab yang menghinakan dan membinasakan disebabkan apa yang telah mereka lakukan.

Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“Lalu datanglah gempa menimpa mereka, dan mereka pun mati bergelimpangan di dalam runtuhan rumah mereka.”

Al-A’raf 7:78

Ayat 18

وَنَجَّيْنَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَكَانُوا۟ يَتَّقُونَ

Dan Kami selamatkan orang-orang yang beriman, dan adalah mereka itu orang-orang yang bertakwa.

Seterusnya, Allah Swt menyatakan Dia menyelamatkan Nabi Hud as dan Nabi Saleh as bersama dengan kaum masing-masing yang beriman. Ini kerana mereka adalah orang-orang yang bertakwa, melaksanakan perintah-Nya dan meninggalkan larangan-Nya. Oleh itu, mereka terselamat daripada azab yang menghinakan.

Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“Kemudian Kami akan menyelamatkan orang-orang yang bertakwa dan membiarkan orang-orang yang zalim di dalam neraka dalam keadaan berlutut.”

Maryam 19:72