Surah 41: Fussilat (1 – 5)

Kelebihan Al-Quran dan Keadaan Orang yang Berpaling Daripadanya

Surah 41: Fussilat (1 – 5)


Ayat 1

حمٓ

Ha Mim.

Ayat 2

تَنزِيلٌ مِّنَ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

(Al-Quran ini) diturunkan daripada (Rabb) Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Allah Swt menjelaskan bahawa Al-Quran adalah diturunkan dari sisi-Nya Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Itulah wahyu-Nya yang disampaikan oleh Jibril as kepada Nabi Muhammad saw yang menjadi rahmat kepada seluruh hamba-Nya.

Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:

“Katakanlah, ‘Ruhul Qudus (Jibril) menurunkan Al-Quran itu daripada Rabbmu dengan benar, untuk meneguhkan (hati) orang-orang beriman, dan menjadi petunjuk serta khabar gembira bagi orang-orang yang berserah diri (kepada Allah).’”

An-Nahl 16:102

“Dan sesungguhnya (Al-Quran) ini benar-benar diturunkan oleh Rabb semesta alam, yang dibawa turun oleh Ar-Ruh Al-Amin (Jibril) ke dalam hatimu (Muhammad) agar engkau termasuk orang yang memberi peringatan.”

Asy-Syu’ara’ 26:192-194

Ayat 3

كِتَـٰبٌ فُصِّلَتْ ءَايَـٰتُهُۥ قُرْءَانًا عَرَبِيًّا لِّقَوْمٍ يَعْلَمُونَ

Kitab yang ayat-ayatnya dijelaskan, bacaan dalam bahasa Arab untuk kaum yang mengetahui.

Ayat 4

بَشِيرًا وَنَذِيرًا فَأَعْرَضَ أَكْثَرُهُمْ فَهُمْ لَا يَسْمَعُونَ

Yang membawa berita gembira dan peringatan, tetapi kebanyakan mereka berpaling serta tidak mendengarnya.

Dalam ayat 3 dan 4 ini, Allah Swt menyebutkan dua sifat Al-Quran iaitu:

▪️   Ayat-ayatnya dijelaskan secara mendalam dan terperinci.

Al-Quran adalah kitab yang menerangkan makna-maknanya dan menetapkan hukum-hukumnya dengan jelas serta diperincikan dalam beberapa perkara iaitu ada penjelasan tentang tauhid, hukum-hakam, kisah-kisah, akhlak, ilmu pengetahuan, janji, peringatan dan lain-lain, disusun surah demi surah, ayat demi ayat dan seterusnya.

Maksud, “kaum yang mengetahui,” ialah orang-orang yang memiliki pengetahuan secara mendalam tentang Al-Quran. Mereka ini adalah para ulama iaitu golongan yang berilmu.

Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“Alif Lam Ra. (Inilah) kitab yang ayat-ayatnya disusun dengan rapi kemudian dijelaskan secara terperinci, (yang diturunkan) daripada sisi (Allah) Yang Maha Bijaksana lagi Maha Teliti.”

Hud 11:1

▪️   Pemberi khabar gembira buat orang-orang yang beriman dengan Al-Quran dan peringatan kepada orang-orang yang mengingkari, meremehkan dan berpaling daripadanya.

Dalam Al-Quran terdapat berita-berita gembira kepada orang-orang beriman dan beramal soleh bahawa mereka akan dimasukkan ke syurga, dan bertemu dengan Allah Swt dan mendapat pelbagai kenikmatan di dalamnya.

Dalamnya juga terdapat berita-berita ancaman kepada orang-orang yang ingkar iaitu mereka akan mendapat kehinaan semasa hidup di muka bumi, dan akhirnya akan diazab di akhirat. Namun kebanyakan kaum musyrikin Quraisy tidak memahaminya meskipun telah begitu jelas dan terang antara yang benar dengan yang batil.

Orang-orang musyrik tetap berpaling daripada Al-Quran, enggan mendengarkan dan memikirkan kandungannya. Bahkan mereka menolak Al-Quran dan tidak mahu mematuhi hukum-hukum di dalamnya.

Ayat 5

وَقَالُوا۟ قُلُوبُنَا فِىٓ أَكِنَّةٍ مِّمَّا تَدْعُونَآ إِلَيْهِ وَفِىٓ ءَاذَانِنَا وَقْرٌ وَمِنۢ بَيْنِنَا وَبَيْنِكَ حِجَابٌ فَٱعْمَلْ إِنَّنَا عَـٰمِلُونَ

Dan mereka berkata, “Hati kami tertutup terhadap apa yang kamu seru kami kepadanya dan telinga kami tersumbat dan antara kami dan kamu ada dinding, maka beramallah kamu (mengikut kehendakmu), sesungguhnya kami (juga) beramal (mengikut kehendak kami).”

Kemudian Allah Swt menjelaskan alasan-alasan yang mereka berikan mengapa mereka tidak menerima dan menjauhi Al-Quran iaitu:

▪️   Hati mereka tertutup, maka mereka tidak memahami apa yang terdapat dalam Al-Quran.

▪️   Telinga mereka pekak daripada mendengar bacaan Al-Quran dan dakwah Rasulullah saw.

▪️   Ada penutup antara orang-orang musyrik dengan Rasulullah saw yang mencegah mereka daripada menerima dakwah baginda.

Mereka menolak ajaran tauhid yang mengajak mereka mengesakan Allah Swt. Mereka hendak terus beramal dengan ajaran nenek moyang mereka yang batil.

Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:

“Dan apabila dikatakan kepada mereka, “Marilah (mengikuti) apa yang diturunkan Allah dan (mengikuti) Rasul.” Mereka menjawab, “Cukuplah bagi kami apa yang kami dapati daripada nenek moyang kami (melakukannya).” Adakah (mereka akan mengikuti) juga nenek moyang walaupun nenek moyang mereka itu tidak mengetahui apa-apapun dan tidak pula mendapat petunjuk?”

Al-Ma’idah 5:104

“Dan sesungguhnya Kami akan isi Neraka Jahannam banyak daripada kalangan jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengar (ayat-ayat Allah). Mereka sebagai haiwan ternakan, bahkan mereka lebih sesat lagi. Meraka itulah orang-orang yang lalai.”

Al-A’raf 7:179