Surah 40: Ghafir (82 – 85)

Pelajaran daripada Peristiwa yang Terjadi kepada Umat Terdahulu

Surah 40: Ghafir (82 – 85)


Ayat 82

أَفَلَمْ يَسِيرُوا۟ فِى ٱلْأَرْضِ فَيَنظُرُوا۟ كَيْفَ كَانَ عَـٰقِبَةُ ٱلَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ ۚ كَانُوٓا۟ أَكْثَرَ مِنْهُمْ وَأَشَدَّ قُوَّةً وَءَاثَارًا فِى ٱلْأَرْضِ فَمَآ أَغْنَىٰ عَنْهُم مَّا كَانُوا۟ يَكْسِبُونَ

Maka apakah mereka tidak berjalan di muka bumi lalu memerhatikan bagaimana kesudahan orang-orang yang sebelum mereka. Adalah (orang-orang sebelum mereka) itu (bilangannya) lebih ramai daripada mereka dan lebih hebat kekuatan mereka serta bekas-bekas (peninggalan mereka banyak) di muka bumi, maka apa yang mereka usahakan itu tidak dapat menolong mereka.

Ayat ini adalah ditujukan kepada orang-orang kafir Quraisy dan juga manusia yang lain yang menentang ayat-ayat Allah Swt. Apakah mereka tidak pernah berjalan di muka bumi ini dan melihat kesudahan orang-orang yang terdahulu yang menentang ayat-ayat-Nya dan mendustakan para Rasul-Nya untuk diambil peringatan dan pengajaran. Padahal umat-umat terdahulu jauh lebih ramai jumlahnya, lebih kaya, lebih kuat dan paling banyak peninggalan mereka berupa kebudayaan, peradaban, kesenian dan ilmu pengetahuan mereka.

Apabila datang azab kepada mereka, ketika itu kedudukan dan pekerjaan yang mereka telah lakukan sama sekali tidak dapat menolong dan tidak dapat memberi manfaat kepada mereka. Begitu juga dengan harta dan keturunan mereka.

Ayat 83

فَلَمَّا جَآءَتْهُمْ رُسُلُهُم بِٱلْبَيِّنَـٰتِ فَرِحُوا۟ بِمَا عِندَهُم مِّنَ ٱلْعِلْمِ وَحَاقَ بِهِم مَّا كَانُوا۟ بِهِۦ يَسْتَهْزِءُونَ

Maka tatkala datang kepada mereka Rasul-Rasul (yang diutus kepada) mereka dengan membawa keterangan-keterangan, mereka berasa gembira dengan pengetahuan yang ada pada mereka dan mereka dikepung oleh azab Allah yang selalu mereka perolok-olokkan itu.

Ketika para Rasul Allah Swt datang kepada kaumnya dengan membawa pelbagai hujjah dan mukjizat yang jelas, mereka tidak menghiraukan, sebaliknya mereka mendustakan para Rasul tersebut.

Mereka berasa cukup dengan ilmu pengetahuan yang ada pada mereka dan berasa tidak perlu lagi dengan ilmu pengetahuan yang diajar oleh Rasul-Rasul mereka. Malah mereka meremehkan dan memperolok-olokkan keterangan yang dibawa oleh para Rasul itu.

Ayat 84

فَلَمَّا رَأَوْا۟ بَأْسَنَا قَالُوٓا۟ ءَامَنَّا بِٱللَّهِ وَحْدَهُۥ وَكَفَرْنَا بِمَا كُنَّا بِهِۦ مُشْرِكِينَ

Maka tatkala mereka melihat azab Kami, mereka berkata, “Kami beriman hanya kepada Allah sahaja, dan kami ingkar kepada sembahan-sembahan yang telah kami sekutukan dengan Allah.”

Kemudian Allah Swt menceritakan keadaan manusia ketika dilaksanakan hukuman terhadap mereka. Apabila mereka melihat azab dengan mata mereka sendiri, barulah mereka membenarkan dan mengesakan Allah Swt. Mereka mengingkari segala sesuatu yang ketika di dunia dahulu mereka sembah secara batil dan mereka jadikan sekutu bagi-Nya.

Pengakuan mereka itu samalah seperti pengakuan Firaun pada saat-saat akhir kebinasaannya sebagaimana firman Allah Swt dalam ayat yang lain dan persaksiannya ditolak:

“Dan Kami selamatkan Bani Israil melintasi laut, kemudian Firaun dan bala tenteranya mengikuti mereka untuk menzalimi dan menindas (mereka). Sehingga ketika Firaun hampir tenggelam dia berkata, “Aku percaya bahawa tidak ada Ilah melainkan Ilah yang dipercayai oleh Bani Israil, dan aku termasuk orang-orang muslim (berserah diri).” Mengapa baru sekarang (kamu beriman), padahal sesungguhnya engkau telah derhaka sejak dahulu dan engkau termasuk orang-orang yang melakukan kerosakan.”

Yunus 10:90-91

Ayat 85

فَلَمْ يَكُ يَنفَعُهُمْ إِيمَـٰنُهُمْ لَمَّا رَأَوْا۟ بَأْسَنَا ۖ سُنَّتَ ٱللَّهِ ٱلَّتِى قَدْ خَلَتْ فِى عِبَادِهِۦ ۖ وَخَسِرَ هُنَالِكَ ٱلْكَـٰفِرُونَ

Maka iman mereka tidak berguna bagi mereka tatkala mereka telah melihat azab kami. Itulah ketentuan Allah yang telah berlaku terhadap hamba-hamba-Nya. Dan pada waktu itu rugilah orang-orang kafir.

Pada akhir surah ini, Allah Swt menyatakan bahawa keimanan orang-orang kafir ketika melihat azab-Nya tidak diterima sama sekali. Sesungguhnya mereka sentiasa dalam kerugian dan kerugian itu akan nampak dengan jelas ketika mereka melihat azab.

Inilah ketetapan Allah Swt yang berlaku untuk semua hamba-Nya iaitu apabila sakaratul maut telah datang dan roh telah sampai ke kerongkong serta dia telah menyaksikan malaikat, maka pada saat itu taubat tidak lagi diterima.

Rasulullah saw bersabda:

“Sesungguhnya Allah Ta’ala menerima taubat seseorang hamba sebelum dia menghadapi sakaratul maut.”

(HR. Ibnu Majah)