Surah 40: Ghafir (79 – 81)

Manfaat Binatang Ternakan kepada Manusia

Surah 40: Ghafir (79 – 81)


Ayat 79

ٱللَّهُ ٱلَّذِى جَعَلَ لَكُمُ ٱلْأَنْعَـٰمَ لِتَرْكَبُوا۟ مِنْهَا وَمِنْهَا تَأْكُلُونَ

Allah yang menjadikan binatang ternakan untuk kamu, sebahagiannya untuk kamu tunggangi (sebagai kenderaan) dan sebahagian lagi untuk kamu makan.

Ayat 80

وَلَكُمْ فِيهَا مَنَـٰفِعُ وَلِتَبْلُغُوا۟ عَلَيْهَا حَاجَةً فِى صُدُورِكُمْ وَعَلَيْهَا وَعَلَى ٱلْفُلْكِ تُحْمَلُونَ

Dan untuk kamu (ada lagi) manfaat-manfaat yang lain pada (binatang ternakan itu), agar kamu memenuhi suatu tujuan yang tersimpan di dalam hatimu (dengan menungganginya). Dan kamu dapat diangkut dengan menungganginya (binatang-binatang itu), atau dengan menaiki kapal.

Allah Swt menyatakan bahawa banyak nikmat yang dikurniakan kepada hamba-hamba-Nya berupa binatang ternak yang dapat memberikan banyak manfaat sekali gus menjadikan bukti kekuasaan-Nya.

Antara manfaat binatang ternakan seperti unta, lembu, kambing dan biri-biri ini kepada manusia ialah:

▪️   Daging dapat dimakan.

▪️   Susu dapat diminum juga dijadikan mentega dan keju. Manakala kulit atau bulunya dapat dijadikan pakaian atau perhiasan.

▪️   Boleh digunakan untuk membajak di ladang, juga sebagai kenderaan untuk membawa manusia dari satu tempat ke satu tempat yang lain.

▪️   Membawa bebanan ke negeri yang jauh dengan mudah, seperti unta yang dapat membawa barang-barang yang berat sebagaimana diangkut oleh kapal atau perahu di laut yang dapat membawa dan memindahkan manusia dari satu tempat ke tempat yang lain. Ada ungkapan Arab mengatakan “Unta adalah perahu padang pasir” dan mengangkut barang-barang di atasnya.

Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:

“Dan tidakkah mereka melihat bahawa Kami telah menciptakan binatang ternakan untuk mereka, ia sebahagian daripada kekuasaan Kami, lalu mereka menguasainya. Dan Kami tundukkan (binatang-binatang itu) untuk mereka, lalu sebahagiannya menjadi tunggangan mereka dan sebahagiannya lagi untuk mereka makan. Dan mereka mendapat pelbagai manfaat dan minuman daripadanya. Maka mengapakah mereka tidak bersyukur?”

Yasin 36:71-73

“Dan ia mengangkut bebananmu ke suatu negeri yang kamu tidak sanggup pergi, kecuali dengan bersusah payah kesukaran-kesukaran (yang memayahkan) diri. Sesungguhnya Rabbmu benar-benar Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Dan (Dia telah menciptakan) kuda, baghal dan keldai, untuk kamu tunggang serta (sebagai) perhiasan. Allah menciptakan apa yang kamu tidak mengetahuinya.”

An-Nahl 16:7-8

“Dan di antara binatang-binatang ternakan itu ada yang digunakan sebagai pengangkutan dan ada (pula) untuk disembelih. Makanlah rezeki yang telah diberikan Allah kepadamu, dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuhmu yang nyata.”

Al An’am 6:142

Ayat 81

وَيُرِيكُمْ ءَايَـٰتِهِۦ فَأَىَّ ءَايَـٰتِ ٱللَّهِ تُنكِرُونَ

Dan Dia memperlihatkan kepada kamu tanda-tanda (kekuasaan-Nya), maka tanda-tanda (kekuasaan) Allah yang manakah yang kamu ingkari?

Allah Swt menyebutkan pelbagai bukti yang menunjukkan kekuasaan-Nya secara jelas kepada hamba-hamba-Nya dalam pelbagai ayat dan bukti sama ada di angkasa atau pada diri mereka sendiri. Semuanya sudah menjelaskan kekuasaan, kesempurnaan dan keesaan-Nya. Maka adakah masih ada tanda-tanda kebesaran-Nya yang mereka ingkari.

Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:

“Agar kamu duduk di atas belakangnya kemudian kamu ingat nikmat Rabbmu apabila kamu sedang duduk di atasnya, dan agar kamu mengucapkan, ‘Maha Suci (Allah) yang telah menundukkan semua ini bagi kami, padahal kami sebelum ini tidak mampu.’”

Az-Zukhruf 43:13

“Maka nikmat Rabbmu yang manakah yang kamu dustakan? Maha Suci nama Rabbmu Pemilik Keagungan dan Kemuliaan.”

Ar-Rahman 55:77-78