Proses Penciptaan Manusia
Surah 40: Ghafir (67 – 68)
Ayat 67
هُوَ ٱلَّذِى خَلَقَكُم مِّن تُرَابٍ ثُمَّ مِن نُّطْفَةٍ ثُمَّ مِنْ عَلَقَةٍ ثُمَّ يُخْرِجُكُمْ طِفْلًا ثُمَّ لِتَبْلُغُوٓا۟ أَشُدَّكُمْ ثُمَّ لِتَكُونُوا۟ شُيُوخًا ۚ وَمِنكُم مَّن يُتَوَفَّىٰ مِن قَبْلُ ۖ وَلِتَبْلُغُوٓا۟ أَجَلًا مُّسَمًّى وَلَعَلَّكُمْ تَعْقِلُونَ
Dia-lah yang menciptakan kamu daripada tanah, kemudian daripada setitis air mani, sesudah itu daripada segumpal darah, kemudian dilahirkannya kamu sebagai seorang anak, kemudian (kamu dibiarkan hidup) supaya kamu sampai kepada umur (dewasa), kemudian (kamu dipanjangkan umur) sampai menjadi tua, (dan dalam pada itu) ada di antara kamu yang diwafatkan sebelum itu. (Kami berbuat demikian) supaya kamu sampai kepada ajal yang ditentukan dan supaya kamu memahami(nya).
Allah Swt menyatakan tentang kekuasaan-Nya yang menciptakan manusia pertama iaitu Nabi Adam as daripada tanah.
Kemudian Allah Swt menyatakan dengan kekuasaan-Nya juga Dia menciptakan anak keturunan Nabi Adam as daripada air mani. Air mani yang ada dalam rahim perempuan akan melalui beberapa proses sehinggalah mereka dilahirkan sebagai bayi. Kemudian bayi ini akan membesar dan menjadi kuat sampailah ke tahap tua. Dalam masa pertukaran fasa-fasa itu ada yang dimatikan kerana keguguran, ada juga ketika masih kanak-kanak, masa muda atau remaja sebelum sampai masa tua.
Ini adalah peringatan kepada manusia agar merenungkan dan memikirkan ayat-ayat Allah Swt serta hujjah-hujjah-Nya kepada mereka sehingga mereka mengakui bahawa sesungguhnya tidak ada Ilah yang berhak disembah kecuali Dia. Dia Berkuasa melakukan semua hal itu. Oleh itu, hanya Dia yang berhak untuk disembah dan bukan selain-Nya.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“……….agar Kami jelaskan kepada kamu dan Kami tetapkan dalam rahim, menurut kehendak Kami sehingga waktu yang telah ditentukan……….”
Al-Hajj 22:5
Ayat 68
هُوَ ٱلَّذِى يُحْىِۦ وَيُمِيتُ ۖ فَإِذَا قَضَىٰٓ أَمْرًا فَإِنَّمَا يَقُولُ لَهُۥ كُن فَيَكُونُ
Dia-lah yang menghidupkan dan mematikan, maka apabila Dia menetapkan sesuatu urusan, Dia hanya berkata kepadanya, “Jadilah,” maka jadilah ia.
Allah Swt menyatakan Dia mampu menghidupkan dan mematikan. Dia juga berhak memutuskan dan menetapkan kadar sesuatu yang diingini-Nya tanpa ada sesiapa yang dapat menghalang-Nya. Apabila Dia menginginkan sesuatu, maka terjadilah sesuatu itu dengan begitu cepat tanpa sebarang kesulitan.
Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:
“Dan bukankah (Allah) yang menciptakan langit dan bumi itu, Dia mampu menciptakan kembali jasad mereka yang sudah hancur itu? Benar, dan Dia-lah Maha Pencipta lagi Maha Mengetahui. Sesungguhnya urusan-Nya apabila Dia menghendaki sesuatu Dia hanya berkata, “Jadilah!” Maka jadilah ia. Maha Suci (Allah) yang di tangan-Nya kekuasaan atas segala sesuatu dan kepada-Nya kamu dikembalikan.”
Yasin 36:81-83
“Sesungguhnya perkataan Kami terhadap sesuatu apabila Kami menghendakinya, Kami hanya mengatakan kepadanya, “Jadilah!” Maka jadilah ia.”
An Nahl 16:40