Surah 40: Ghafir (60)

Perintah agar Berdoa kepada Allah Swt

Surah 40: Ghafir (60)


Ayat 60

وَقَالَ رَبُّكُمُ ٱدْعُونِىٓ أَسْتَجِبْ لَكُمْ ۚ إِنَّ ٱلَّذِينَ يَسْتَكْبِرُونَ عَنْ عِبَادَتِى سَيَدْخُلُونَ جَهَنَّمَ دَاخِرِينَ

Dan Rabbmu berfirman, “Berdoalah kepada-Ku, nescaya akan Aku perkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri daripada menyembah-Ku akan masuk Neraka Jahannam dalam keadaan hina.”

Maksud “menyembah-Ku” dalam ayat ini ialah berdoa kepada Allah Swt.

Berdoa atau memohon agar diberikan kebaikan dan dijauhkan daripada bahaya merupakan ibadah. Berdoa wajib ditujukan hanya kepada Allah Swt kerana hanya Dia sahaja yang berkuasa mengabulkan doa dan selain-Nya tidak akan dapat memberikan apa-apa manfaat. Ini merupakan limpahan kurnia-Nya kepada hamba-hamba-Nya yang berdoa dan Dia menjamin akan mengabulkan doa tersebut.

Daripada An-Nu’man bin Basyir ra, Rasulullah saw bersabda:

“Sesungguhnya doa itu adalah ibadah.” Kemudian baginda membaca ayat, “Dan Rabbmu berfirman, ‘Berdoalah kepada-Ku, nescaya akan Aku perkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri daripada menyembah-Ku akan masuk Neraka Jahannam dalam keadaan hina.’”

(HR. Ahmad)

Selain itu, ayat ini merupakan peringatan daripada Allah Swt Yang Maha Agung bahawa orang-orang yang tidak mahu berdoa dan mengesakan-Nya akan dimasukkan ke neraka dalam keadaan tercela, sebagaimana sabda Rasulullah saw:

“Orang-orang yang menyombongkan diri akan dikumpulkan pada Hari Kiamat seperti semut kecil, tetapi berupa manusia. Mereka diliputi kehinaan pada setiap keadaan, hingga dimasukkan ke dalam suatu penjara di dalam Neraka Jahannam yang dikenali dengan nama Bulas. Mereka diliputi oleh segala jenis api dan diberikan minuman daripada ‘Tinatul Khabal’ iaitu cairan nanah penghuni neraka.”

(HR. Ahmad)