Perumpamaan Orang Mukmin dengan Orang Kafir
Surah 40: Ghafir (57 – 58)
Ayat 57
لَخَلْقُ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ أَكْبَرُ مِنْ خَلْقِ ٱلنَّاسِ وَلَـٰكِنَّ أَكْثَرَ ٱلنَّاسِ لَا يَعْلَمُونَ
Sesungguhnya penciptaan langit dan bumi lebih besar daripada penciptaan manusia, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.
Allah Swt menyatakan penciptaan langit dan bumi adalah lebih besar daripada penciptaan manusia, namun kebanyakan manusia tidak mengetahui bahawa menciptakan semua itu adalah mudah bagi-Nya.
Firman Allah Swt dalam surah yang lain:
“Dan apakah mereka tidak memerhatikan bahawa sesungguhnya Allah yang menciptakan langit dan bumi dan Dia tidak berasa payah kerana menciptakannya, berkuasa menghidupkan orang-orang mati? Ya, (bahkan) sesungguhnya Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu.”
Al-Ahqaf 46:33
Ayat 58
وَمَا يَسْتَوِى ٱلْأَعْمَىٰ وَٱلْبَصِيرُ وَٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَعَمِلُوا۟ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ وَلَا ٱلْمُسِىٓءُ ۚ قَلِيلًا مَّا تَتَذَكَّرُونَ
Dan tidaklah sama orang yang buta dengan orang yang melihat, dan tidaklah (sama pula) orang-orang yang beriman serta mengerjakan amal soleh dengan orang-orang yang derhaka. Sedikit sekali kamu mengambil pelajaran.
Kemudian Allah Swt membuat perumpamaan kepada orang-orang yang lalai dan berdebat dengan kebatilan lalu menyerupakan mereka seperti orang buta.
Orang yang melihat tidak sama dengan orang buta, demikian juga orang-orang yang beriman yang mengakui bahawa Allah Swt adalah Ilah Yang Haq yang tidak ada sekutu bagi-Nya, membenarkan para Rasul-Nya dan risalah yang mereka bawa, tidak akan sama dengan orang-orang yang mengingkari bahawa Allah adalah Ilah Yang Haq, mendustakan Rasul-Rasul-Nya dan tidak mengamalkan syariat-Nya.
Sesungguhnya hanya sedikit sekali manusia yang merenungkan hujjah-hujjah Allah Swt lalu mengambil pelajaran dan nasihat daripadanya.