Allah Swt Menolong Para Rasul dan Orang yang Beriman di Dunia dan di Akhirat
Surah 40: Ghafir (51 – 55)
Ayat 51
إِنَّا لَنَنصُرُ رُسُلَنَا وَٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ فِى ٱلْحَيَوٰةِ ٱلدُّنْيَا وَيَوْمَ يَقُومُ ٱلْأَشْهَـٰدُ
Sesungguhnya Kami tetap menolong Rasul-Rasul Kami dan orang-orang yang beriman dalam kehidupan dunia dan pada hari tampilnya saksi-saksi (Hari Kiamat).
Allah Swt menyatakan bahawa sesungguhnya Dia benar-benar akan menolong utusan-utusan-Nya dan orang-orang mukmin yang mengikuti mereka dengan memberikan kemenangan dan menundukkan para musuh di dunia ini.
Manakala di akhirat kelak, Allah Swt akan memberikan darjat yang tinggi dalam tingkatan pahala dan diberikan penghormatan dan kemuliaan di syurga bersama para Nabi. Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Dan sesiapa yang mentaati Allah dan Rasul-(Nya), mereka itu akan bersama-sama dengan orang-orang yang dianugerahi nikmat oleh Allah, iaitu, Nabi-Nabi, para siddiqin, orang-orang yang mati syahid, dan orang-orang soleh. Dan mereka itulah teman yang sebaik-baiknya.”
An-Nisa’ 4:69
Ini merupakan ketetapan Allah Swt (sunnatullah) sejak dahulu hingga sekarang bahawa Dia akan menolong hamba-hamba-Nya yang beriman di dunia dan di akhirat.
Daripada Abu Hurairah ra, Rasulullah saw bersabda:
“Allah Tabaraka wa Ta’ala berfirman, ‘Sesiapa yang memusuhi wali-Ku, bererti dia telah menyatakan perang terhadap-Ku.’”
(HR. Al-Bukhari)
Pada hari itu juga para malaikat, para Nabi dan orang-orang beriman bersaksi terhadap umat-umat yang mendustakan utusan-utusannya. Mereka bersaksi bahawa para Rasul itu telah menyampaikan risalah Allah Swt dan mereka juga bersaksi terhadap orang-orang yang ingkar itu mendustakan risalah tersebut.
Ayat 52
يَوْمَ لَا يَنفَعُ ٱلظَّـٰلِمِينَ مَعْذِرَتُهُمْ ۖ وَلَهُمُ ٱللَّعْنَةُ وَلَهُمْ سُوٓءُ ٱلدَّارِ
(Iaitu) pada hari yang tidak berguna bagi orang-orang yang zalim alasan-alasan mereka untuk melepaskan diri, dan mereka akan beroleh laknat, serta mereka beroleh seburuk-buruk tempat tinggal.
Allah Swt mengatakan bahawa pada hari perhitungan amal, orang-orang kafir yang melanggar batasan-batasan-Nya, tidak akan mendapat manfaat sedikit pun daripada alasan-alasan yang mereka berikan. Ini kerana sebelumnya mereka telah mendustakan utusan-utusan-Nya. Maka mereka diusir daripada rahmat-Nya dan diberikan tempat tinggal yang buruk iaitu di Neraka Jahannam.
Ayat 53
وَلَقَدْ ءَاتَيْنَا مُوسَى ٱلْهُدَىٰ وَأَوْرَثْنَا بَنِىٓ إِسْرَٰٓءِيلَ ٱلْكِتَـٰبَ
Dan sesungguhnya, Kami benar-benar telah berikan petunjuk kepada Musa dan mewariskan kitab (Taurat) kepada Bani Israil.
Ayat 54
هُدًى وَذِكْرَىٰ لِأُو۟لِى ٱلْأَلْبَـٰبِ
Untuk menjadi petunjuk dan peringatan bagi orang-orang yang berfikir.
Kemudian Allah Swt menyatakan bahawa Dia telah memberikan Nabi Musa as kitab Taurat dan kenabian. Kitab Taurat itu mengandungi syariat dan hukum-hukum yang menjadi petunjuk kepada kaumnya. Manakala kenabiannya diteguhkan dengan beberapa mukjizat-mukjizat yang jelas dan nyata seperti tangan bersinar dan tongkat yang bertukar menjadi ular.
Seterusnya, Allah Swt menyatakan Dia tetapkan kitab Taurat tersebut bersama Bani Israil setelah kewafatan Nabi Musa as. Para generasi yang seterusnya akan mewarisi kitab tersebut sebagai petunjuk dan peringatan kepada orang-orang yang berakal. Ini sebagaimana firman-Nya:
“Sesungguhnya Kami telah menurunkan kitab Taurat di dalamnya (ada) petunjuk dan cahaya (yang menerangi), yang dengan kitab itu diputuskan perkara orang-orang Yahudi oleh Nabi-Nabi yang berserah diri kepada Allah, oleh orang-orang alim mereka dan pendeta-pendeta mereka, disebabkan mereka diperintahkan memelihara kitab-kitab Allah dan mereka menjadi saksi terhadapnya. Oleh itu janganlah kamu takut kepada manusia, (tetapi) takutlah kepada-Ku. Dan janganlah kamu menukar ayat-ayat-Ku dengan harga yang sedikit. Sesiapa yang tidak memutuskan menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang kafir.”
Al-Ma’idah 5:44
Allah Swt memberikan kesudahan yang baik kepada Nabi Musa as dan Bani Israil. Dia mewariskan negeri, harta benda, kekayaan dan tanah yang telah dimiliki Firaun kepada Bani Israil disebabkan kesabaran mereka dalam mentaati-Nya dan Rasul-Nya.
Ayat ini merupakan isyarat kepada kemenangan Rasullullah saw dan kaum mukmin terhadap kaum musyrikin, sebagaimana yang terjadi kepada Nabi Musa as dan Bani Israil.
Ayat 55
فَٱصْبِرْ إِنَّ وَعْدَ ٱللَّهِ حَقٌّ وَٱسْتَغْفِرْ لِذَنۢبِكَ وَسَبِّحْ بِحَمْدِ رَبِّكَ بِٱلْعَشِىِّ وَٱلْإِبْكَـٰرِ
Maka bersabarlah kamu, kerana sesungguhnya janji Allah itu benar, dan mohonlah keampunan untuk dosamu dan bertasbihlah sambil memuji Rabbmu pada waktu petang dan pagi.
Sesungguhnya pertolongan dan kemenangan telah diputuskan oleh Allah Swt kepada para Nabi dan orang-orang mukmin. Oleh itu dalam ayat ini, Dia memerintahkan Nabi Muhammad saw dan orang-orang mukmin bersabar atas segala perilaku keji orang-orang musyrik kepada mereka sebagaimana yang telah berlaku kepada utusan sebelum baginda.
Mereka diperintahkan agar sentiasa beristighfar dan sentiasa bertasbih serta memuji Allah Swt pada akhir waktu siang dan permulaan malam. Ada juga pendapat yang mengatakan maksud melakukan solat pada dua waktu tersebut ialah solat Asar dan solat Subuh atau solat lima waktu. Ini sebagaimana firman-Nya:
“Dan dirikanlah solat itu pada kedua-dua tepi siang (pagi dan petang) dan pada bahagian permulaan daripada malam. Sesungguhnya perbuatan-perbuatan yang baik itu menghapuskan (dosa) perbuatan-perbuatan yang buruk. Itulah peringatan bagi orang-orang yang ingat.”
Hud 11:114
Allah Swt telah berjanji kepada Rasulullah saw bahawa Dia akan meninggikan kalimatnya dan memberikan kesudahan yang baik kepadanya dan juga kepada orang-orang yang mengikutinya.