Surah 40: Ghafir (47 – 50)

Perdebatan di Kalangan Penghuni Neraka

Surah 40: Ghafir (47 – 50)


Ayat 47

وَإِذْ يَتَحَآجُّونَ فِى ٱلنَّارِ فَيَقُولُ ٱلضُّعَفَـٰٓؤُا۟ لِلَّذِينَ ٱسْتَكْبَرُوٓا۟ إِنَّا كُنَّا لَكُمْ تَبَعًا فَهَلْ أَنتُم مُّغْنُونَ عَنَّا نَصِيبًا مِّنَ ٱلنَّارِ

Dan (ingatlah), ketika mereka berbantah-bantah dalam neraka, maka orang-orang yang lemah berkata kepada orang-orang yang menyombongkan diri, “Sesungguhnya kami adalah pengikut-pengikutmu, maka dapatkah kamu menghindarkan daripada kami sebahagian azab api neraka?”

Allah Swt memberitahu keadaan penduduk neraka yang saling berbantahan di antara mereka. Sebahagian mereka menyalahkan sebahagian yang lain. Firaun dan pengikut-pengikutnya termasuk dalam penghuni neraka.

Orang-orang lemah yang mengikuti dan bertaklid buta kepada para pemimpin yang sombong dan menyesatkan mereka dengan tipu daya agar mereka berpaling daripada kebenaran ketika di dunia dahulu akan bertanya kepada para pemimpin sama ada mereka dapat menolong mereka daripada seksaan neraka.

Ayat 48

قَالَ ٱلَّذِينَ ٱسْتَكْبَرُوٓا۟ إِنَّا كُلٌّ فِيهَآ إِنَّ ٱللَّهَ قَدْ حَكَمَ بَيْنَ ٱلْعِبَادِ

Orang-orang yang menyombongkan diri menjawab, “Sesungguhnya kita semua sama-sama dalam neraka kerana sesungguhnya Allah telah menetapkan keputusan antara hamba-hamba-(Nya).”

Para pembesar yang sombong menjawab pertanyaan pengikut mereka dengan mengatakan bahawa mereka tidak mampu memikul sedikit pun daripada azab neraka yang dirasai oleh pengikut-pengikutnya itu sementara mereka pun tidak dapat menolong diri sendiri.

Seterusnya, para pemimpin itu mengakui dan mengatakan bahawa sesungguhnya Allah Swt telah menetapkan keputusan di antara mereka dan azab yang menimpa mereka itu adalah sesuai dengan ketetapan-Nya yang adil. Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“Dan mereka semuanya akan berkumpul (di mahsyar) untuk menghadap Allah, lalu orang-orang yang lemah berkata kepada orang-orang yang sombong, ‘Sesungguhnya kami dahulu adalah pengikut-pengikut kamu, maka dapatkah kamu menghindarkan kami daripada azab Allah walaupun sedikit?’ Mereka menjawab, ‘Sekiranya Allah memberi petunjuk kepada kami, tentulah kami dapat memberi petunjuk kepada kamu, sama sahaja bagi kita, sama ada kita mengeluh atau bersabar. Kita tidak mempunyai tempat untuk melarikan diri.’”

Ibrahim 14:21

Ayat 49

وَقَالَ ٱلَّذِينَ فِى ٱلنَّارِ لِخَزَنَةِ جَهَنَّمَ ٱدْعُوا۟ رَبَّكُمْ يُخَفِّفْ عَنَّا يَوْمًا مِّنَ ٱلْعَذَابِ

Dan orang-orang yang berada dalam neraka berkata kepada penjaga-penjaga Neraka Jahannam, “Mohonkanlah kepada Rabbmu supaya Dia meringankan azab ke atas kami sehari sahaja.”

Setelah para pengikut itu berputus asa terhadap pertolongan para pemimpin mereka, maka mereka memohon kepada para malaikat penjaga neraka berdoa kepada Allah Swt agar meringankan seksaan terhadap mereka.

Ayat 50

قَالُوٓا۟ أَوَلَمْ تَكُ تَأْتِيكُمْ رُسُلُكُم بِٱلْبَيِّنَـٰتِ ۖ قَالُوا۟ بَلَىٰ ۚ قَالُوا۟ فَٱدْعُوا۟ ۗ وَمَا دُعَـٰٓؤُا۟ ٱلْكَـٰفِرِينَ إِلَّا فِى ضَلَـٰلٍ

(Para malaikat penjaga neraka) berkata, “Dan apakah belum datang kepadamu Rasul-Rasulmu dengan membawa keterangan-keterangan?” Mereka menjawab, “Benar, sudah datang.” (Malaikat penjaga neraka) berkata, “Berdoalah kamu.” Dan doa orang-orang kafir itu hanyalah sia-sia belaka.

Allah Swt menyatakan jawapan para malaikat penjaga neraka kepada penghuni neraka. Para malaikat mengherdik mereka dengan berkata bukankah di dunia dahulu mereka telah didatangi oleh para Rasul dengan membawa hujjah-hujjah yang jelas daripada Allah Swt lalu mereka mendustakannya. Maka orang-orang yang ingkar itu mengakuinya.

Kemudian para malaikat penjaga neraka berlepas diri daripada mereka dan menyuruh mereka berdoa sendiri, namun doa itu tetap tidak berguna lagi buat mereka kerana mereka adalah orang-orang yang kufur.

Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:

“Mereka berseru, ‘Wahai (malaikat) Malik! Biarlah Rabbmu mematikan kami sahaja.’ Dia menjawab, ‘Sesungguhnya kamu akan tetap tinggal (di neraka ini).’”

Az-Zukhruf 43:77

“Dan (Allah) berfirman, ‘Tinggallah kamu dengan hina di dalamnya, dan janganlah kamu berbicara dengan Aku.’”

Al-Mu’minun 23:108