Kisah Nabi Musa as – Lelaki yang Beriman Terus Berdakwah kepada Kaumnya
Surah 40: Ghafir (38 – 46)
Ayat 38
وَقَالَ ٱلَّذِىٓ ءَامَنَ يَـٰقَوْمِ ٱتَّبِعُونِ أَهْدِكُمْ سَبِيلَ ٱلرَّشَادِ
Dan orang yang beriman itu berkata, “Wahai kaumku, ikutilah aku, aku akan menunjukkan kepadamu jalan yang benar.
Lelaki beriman daripada keluarga Firaun yang menasihati kaumnya termasuk orang yang sangat ikhlas kepada kaumnya dan sangat mencintai mereka. Beliau juga sangat berharap kaumnya terselamat daripada jurang kekafiran dan kembali beriman kepada Allah Swt semata-mata tanpa menyekutukan-Nya. Oleh itu, dia tetap memberikan peringatan demi peringatan dan menasihati mereka agar mengikutinya yang akan menunjukkan mereka jalan yang benar.
Ayat 39
يَـٰقَوْمِ إِنَّمَا هَـٰذِهِ ٱلْحَيَوٰةُ ٱلدُّنْيَا مَتَـٰعٌ وَإِنَّ ٱلْـَٔاخِرَةَ هِىَ دَارُ ٱلْقَرَارِ
Wahai kaumku, sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah kesenangan (sementara) dan sesungguhnya akhirat itulah negeri yang kekal.
Seterusnya, lelaki beriman itu mengingatkan kaumnya tentang fitnah kenikmatan dunia dan pujuk rayu keindahannya. Kesemua itu adalah sekadar kesenangan yang sementara, dapat dinikmati dalam sekejap masa sahaja, kemudian hilang dan berakhir dengan kematian. Adapun akhirat adalah negeri kekal abadi.
Ayat 40
مَنْ عَمِلَ سَيِّئَةً فَلَا يُجْزَىٰٓ إِلَّا مِثْلَهَا ۖ وَمَنْ عَمِلَ صَـٰلِحًا مِّن ذَكَرٍ أَوْ أُنثَىٰ وَهُوَ مُؤْمِنٌ فَأُو۟لَـٰٓئِكَ يَدْخُلُونَ ٱلْجَنَّةَ يُرْزَقُونَ فِيهَا بِغَيْرِ حِسَابٍ
Sesiapa mengerjakan perbuatan jahat, maka dia tidak akan dibalas melainkan setimpal dengan kejahatan itu. Dan sesiapa mengerjakan amal yang soleh baik lelaki mahupun perempuan sedang dia dalam keadaan beriman, maka mereka akan masuk syurga, mereka diberi rezeki di dalamnya tanpa hisab.”
Lelaki beriman itu terus menasihati kaumnya dengan mengatakan sesiapa yang derhaka kepada Allah Swt dan menyimpang dari jalan-Nya, maka dia tidak dibalas di akhirat kecuali dengan hukuman yang sesuai dengan kederhakaannya.
Manakala sesiapa yang mentaati Allah Swt dan mengerjakan amal soleh iaitu dengan menjalankan perintah-perintah-Nya dan menjauhi larangan-larangan-Nya, maka mereka akan dimasukkan ke dalam syurga. Mereka akan mendapat nikmat tanpa batasannya.
Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:
“Dan manusia hanya memperoleh apa yang telah diusahakannya.”
An-Najm 53:39
“……….Wahai orang-orang yang kufur ingkar, janganlah kamu mengemukakan uzur (dengan meminta ampun) pada hari ini (kerana masanya sudah terlambat). Sesungguhnya kamu hanya diberi balasan menurut apa yang kamu kerjakan.”
At-Tahrim 66:7
Ayat 41
وَيَـٰقَوْمِ مَا لِىٓ أَدْعُوكُمْ إِلَى ٱلنَّجَوٰةِ وَتَدْعُونَنِىٓ إِلَى ٱلنَّارِ
Wahai kaumku, bagaimanakah kamu ini, aku menyeru kamu kepada keselamatan, tetapi kamu menyeru aku ke neraka?
Ayat 42
تَدْعُونَنِى لِأَكْفُرَ بِٱللَّهِ وَأُشْرِكَ بِهِۦ مَا لَيْسَ لِى بِهِۦ عِلْمٌ وَأَنَا۠ أَدْعُوكُمْ إِلَى ٱلْعَزِيزِ ٱلْغَفَّـٰرِ
(Mengapa) kamu menyeruku supaya kafir kepada Allah dan menyekutukan-Nya dengan sesuatu yang tidak aku ketahui padahal aku menyeru kamu (beriman) kepada yang Maha Perkasa lagi Maha Pengampun?
Lelaki beriman itu menjelaskan perbezaan antara kedua-dua seruan tersebut iaitu kaumnya menyerunya agar kufur kepada Allah Swt dan menyekutukan-Nya.
Sedangkan lelaki beriman itu menyeru mereka kepada yang lebih serius dan penting iaitu beriman kepada Allah Swt Yang Maha Mengetahui, Maha Pengasih, Maha Penyayang dan Maha Berkuasa sepenuhnya. Dia juga Maha Pengampun kepada orang-orang yang bertaubat dan menimpakan azab kepada orang-orang yang ingkar kepada-Nya.
Ayat 43
لَا جَرَمَ أَنَّمَا تَدْعُونَنِىٓ إِلَيْهِ لَيْسَ لَهُۥ دَعْوَةٌ فِى ٱلدُّنْيَا وَلَا فِى ٱلْـَٔاخِرَةِ وَأَنَّ مَرَدَّنَآ إِلَى ٱللَّهِ وَأَنَّ ٱلْمُسْرِفِينَ هُمْ أَصْحَـٰبُ ٱلنَّارِ
Sudah pasti bahawa apa yang kamu seru supaya aku (beriman) kepadanya tidak dapat memperkenankan seruan apa pun baik di dunia mahupun di akhirat. Dan sesungguhnya kita kembali kepada Allah dan sesungguhnya orang-orang yang melampaui batas, mereka itulah Penghuni Neraka.
Kemudian lelaki beriman itu dengan tegas menjelaskan tentang kekeliruan kaumnya yang mengajaknya kepada penyembahan berhala dan sekutu-sekutu yang lain dengan menyatakan bahawa sembahan-sembahan itu tidak mampu mengabulkan doa atau menolong mereka baik di dunia mahupun di akhirat.
Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:
“Dan siapakah yang lebih sesat daripada orang yang menyembah selain Allah (sembahan) yang tiada mampu memperkenankan sebarang doa hingga ke Hari Kiamat dan mereka lalai dalam (memperhatikan) doa mereka? Dan apabila manusia dikumpulkan (Hari Kiamat) sembahan-sembahan itu menjadi musuh mereka, dan mendustakan pemujaan-pemujaan yang telah mereka lakukan.”
Al-Ahqaf 46:5-6
“Jika kamu menyeru mereka, mereka tidak mendengar seruanmu, dan sekiranya mereka mendengar, mereka juga tidak memperkenankan permintaanmu……….”
Fatir 35:14
Lelaki beriman itu mengatakan lagi bahawa mereka semua akan kembali kepada Allah Swt apabila dibangkitkan pada Hari Kiamat kelak. Ketika itu setiap orang akan dibalas sesuai dengan perbuatan masing-masing.
Orang-orang yang melampaui batas dengan berbuat kemaksiatan, tenggelam dalam kemusyrikan dan kekafiran, tempat kembali mereka adalah di neraka dan mereka kekal di dalamnya.
Ayat 44
فَسَتَذْكُرُونَ مَآ أَقُولُ لَكُمْ ۚ وَأُفَوِّضُ أَمْرِىٓ إِلَى ٱللَّهِ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ بَصِيرٌۢ بِٱلْعِبَادِ
Maka kelak kamu akan ingat kepada apa yang aku katakan kepada kamu. Dan aku menyerahkan urusanku kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Melihat akan hamba-hamba-Nya.
Lelaki beriman itu mengakhiri nasihatnya dengan ucapan ini setelah kaumnya menolak dakwahnya. Kelak mereka akan mengetahui dan menyesali diri, maka pada ketika itu penyesalan tidak akan berguna lagi. Dia bertawakkal kepada Allah Swt, memohon pertolongan kepada-Nya dan memutuskan hubungannya dengan kaumnya yang ingkar.
Sesungguhnya Allah Maha Melihat, Maha Tinggi dan Maha Suci, Dia memberi petunjuk dan menyesatkan orang-orang yang berhak mendapatkannya. Kepunyaan-Nya-lah segala hujjah yang tegas dan hikmah yang sempurna dan kekuasaan yang mutlak.
Ayat 45
فَوَقَىٰهُ ٱللَّهُ سَيِّـَٔاتِ مَا مَكَرُوا۟ ۖ وَحَاقَ بِـَٔالِ فِرْعَوْنَ سُوٓءُ ٱلْعَذَابِ
Maka Allah memeliharanya daripada kejahatan tipu daya mereka, dan Firaun bersama dengan kaumnya dikepung oleh azab yang amat buruk.
Kemudian Allah Swt menjaga lelaki beriman tersebut daripada kejahatan dan keburukan kaumnya yang merancang pembunuhan ke atasnya. Dia menyelamatkannya bersama-sama Nabi Musa as daripada seksaan Firaun.
Allah Swt juga menyelamatkan lelaki beriman ini daripada seksaan api neraka di akhirat kelak dan memberikannya kenikmatan syurga. Manakala Firaun dan tenteranya ditenggelamkan ke dalam lautan dan mereka diseksa dalam neraka buat selamanya.
Ayat 46
ٱلنَّارُ يُعْرَضُونَ عَلَيْهَا غُدُوًّا وَعَشِيًّا ۖ وَيَوْمَ تَقُومُ ٱلسَّاعَةُ أَدْخِلُوٓا۟ ءَالَ فِرْعَوْنَ أَشَدَّ ٱلْعَذَابِ
Kepada mereka dinampakkan neraka pada pagi dan petang, dan pada hari terjadinya kiamat, (dikatakan kepada malaikat, “Masukkanlah Firaun dan kaumnya ke dalam azab yang sangat keras.”
Allah Swt menyatakan azab yang dirasakan oleh roh Firaun dan tenteranya setelah kematian mereka ketika dalam alam barzakh lagi. Mereka akan diperlihatkan neraka yang akan mereka masuki kelak pada setiap pagi dan petang sehinggalah tiba Hari Kiamat.
Ayat, “Kepada mereka dinampakkan neraka pada pagi dan petang,” ini merupakan dalil adanya azab kubur di alam barzakh. Daripada Ibnu ‘Umar ra, Rasulullah saw bersabda:
“Jika salah seorang di antara kamu meninggal, akan diperlihatkan baginya tempat duduknya nanti, setiap pagi dan petang. Jika dia termasuk penghuni syurga (pasti dia mendapatkan tempat duduknya) di syurga jika dia daripada penghuni syurga. Jika dia termasuk penghuni neraka (pasti dia mendapatkan tempat duduknya) di neraka jika dia daripada penghuni neraka. Kemudian dikatakan kepadanya, ‘Inilah tempat dudukmu.’ (Tunggulah waktunya) hingga Allah membangkitkanmu menuju tempat duduk itu pada Hari Kiamat.”
(HR. Ahmad, Al-Bukhari dan Muslim)
Daripada ‘Aisyah ra bahawa seorang wanita Yahudi dahulu bekerja melayaninya. Setiap kali ‘Aisyah ra berbuat baik kepada wanita Yahudi itu, wanita Yahudi itu mengatakan, “Semoga Allah melindungimu daripada azab kubur.” ‘Aisyah ra berkata, “Kemudian Rasulullah saw datang menemuiku. Aku bertanya, ‘Wahai Rasulullah, apakah di dalam kubur terdapat azab sebelum Hari Kiamat?’ Baginda bersabda:
‘Tidak. Siapakah yang menyangka demikian?’ ‘Aisyah berkata, ‘Wanita Yahudi. Setiap aku melakukan satu amalan kebaikan kepadanya, dia akan berkata, “Semoga Allah melindungimu daripada azab kubur.”
Baginda bersabda, “Kaum Yahudi telah berdusta dan mereka lebih banyak berdusta kepada Allah. Tidak ada azab sebelum Hari Kiamat.” Kemudian selang beberapa waktu sehingga masa yang dikehendaki Allah, pada suatu hari, baginda keluar sambil berselimutkan baju sedangkan kedua-dua matanya merah, baginda menyeru dengan suara yang sangat tinggi:
“Wahai sekalian manusia, fitnah-fitnah (kejadian-kejadian yang mengganggu kestabilan iman) akan sentiasa menerpa kalian bagaikan potongan-potongan malam yang gelap. Wahai sekalian manusia, sekiranya kalian mengetahui apa yang aku ketahui, nescaya kalian akan banyak menangis dan sedikit ketawa. Wahai sekalian manusia, mohonlah perlindungan kepada Allah daripada azab kubur. Sesungguhnya azab kubur itu adalah nyata.”
(HR. Ahmad)