Surah 40: Ghafir (36 – 37)

Kisah Nabi Musa as – Firaun Memperolok-Olokkan Ajaran Nabi Musa as

Surah 40: Ghafir (36 – 37)


Ayat 36

وَقَالَ فِرْعَوْنُ يَـٰهَـٰمَـٰنُ ٱبْنِ لِى صَرْحًا لَّعَلِّىٓ أَبْلُغُ ٱلْأَسْبَـٰبَ

Dan berkatalah Firaun, “Wahai Haman, buatkanlah untukku sebuah bangunan yang tinggi supaya aku sampai ke pintu-pintu.

Ayat 37

أَسْبَـٰبَ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ فَأَطَّلِعَ إِلَىٰٓ إِلَـٰهِ مُوسَىٰ وَإِنِّى لَأَظُنُّهُۥ كَـٰذِبًا ۚ وَكَذَٰلِكَ زُيِّنَ لِفِرْعَوْنَ سُوٓءُ عَمَلِهِۦ وَصُدَّ عَنِ ٱلسَّبِيلِ ۚ وَمَا كَيْدُ فِرْعَوْنَ إِلَّا فِى تَبَابٍ

(Iaitu) pintu-pintu langit, supaya aku dapat melihat Rabb Musa dan sesungguhnya aku memandangnya seorang pendusta. ”Demikianlah dijadikan Firaun memandang baik perbuatan yang buruk itu, dan dia terhalang dari jalan (yang benar), dan tipu daya Firaun itu tidak lain hanyalah membawa kerugian.

Allah Swt menceritakan tentang kesombongan Firaun serta kesesatan dan percakapannya dalam mendustakan Nabi Musa as. Selepas mendengar kata-kata lelaki yang beriman itu, Firaun telah membawa satu lagi hujah untuk mempermain-mainkan agama-Nya.

Firaun memerintahkan menterinya iaitu Haman membina sebuah bangunan yang tinggi agar dia dapat sampai ke pintu langit untuk mencari Rabb Nabi Musa as. Ini kerana Firaun hendak meyakinkan kaumnya bahawa Nabi Musa as adalah seorang pendusta.

Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“………..Maka bakarlah wahai Haman untukku tanah liat kemudian buatkanlah untukku bangunan yang tinggi supaya aku dapat naik melihat Ilah Musa, dan sesungguhnya aku benar-benar yakin bahawa dia termasuk orang-orang yang berdusta.”

Al-Qasas 28:38

Allah Swt menerangkan sebab Firaun bertindak sedemikian iaitu syaitan telah menjadikan perbuatan buruknya itu kelihatan baik dan indah sehingga dia berterusan dalam kesesatan. Tipu daya Firaun untuk menolak keterangan-keterangan yang dibawa oleh Nabi Musa as itu hanyalah membawa kerugian dan kebinasaan kepada dirinya.