Surah 40: Ghafir (28 – 35)

Kisah Nabi Musa as – Peringatan Seorang Lelaki yang Beriman daripada Keluarga Firaun kepada Kaumnya

Surah 40: Ghafir (28 – 35)


Ayat 28

وَقَالَ رَجُلٌ مُّؤْمِنٌ مِّنْ ءَالِ فِرْعَوْنَ يَكْتُمُ إِيمَـٰنَهُۥٓ أَتَقْتُلُونَ رَجُلًا أَن يَقُولَ رَبِّىَ ٱللَّهُ وَقَدْ جَآءَكُم بِٱلْبَيِّنَـٰتِ مِن رَّبِّكُمْ ۖ وَإِن يَكُ كَـٰذِبًا فَعَلَيْهِ كَذِبُهُۥ ۖ وَإِن يَكُ صَادِقًا يُصِبْكُم بَعْضُ ٱلَّذِى يَعِدُكُمْ ۖ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يَهْدِى مَنْ هُوَ مُسْرِفٌ كَذَّابٌ

Dan seorang lelaki yang beriman di antara pengikut-pengikut Firaun yang menyembunyikan imannya berkata, “Apakah kamu akan membunuh seorang lelaki kerana dia menyatakan, “Rabbku ialah Allah,” padahal dia telah datang kepadamu dengan membawa keterangan-keterangan daripada Rabbmu. Dan jika dia seorang pendusta, maka dialah yang menanggung (dosa) dustanya itu, dan jika dia seorang yang benar, nescaya sebahagian (bencana) yang diancamkannya kepadamu akan menimpamu.” Sesungguhnya Allah tidak menunjuki orang-orang yang melampaui batas lagi pendusta.

Lelaki dalam ayat ini adalah salah seorang ahli keluarga Firaun yang menyembunyikan keimanannya kerana takut kepada Firaun dan bala tenteranya.

Menurut Ibnu ‘Abbas ra, tidak seorang pun yang beriman daripada pengikut Firaun, kecuali lelaki ini, isteri Firaun dan orang yang berkata dalam sebahagian daripada ayat 20 Surah Al-Qasas iaitu, “Wahai Musa, sesungguhnya para pembesar negeri sedang bermesyuarat tentang kamu untuk membunuhmu.”

Hal seperti ini juga pernah berlaku pada zaman Rasulullah saw. ‘Urwah bin Az-Zubair ra berkata bahawa dia meminta kepada ‘Abdullah bin ‘Amr bin Al-‘As ra supaya menceritakan tindakan paling keras yang pernah dilakukan oleh kaum musyrikin terhadap baginda saw. ‘Abdullah berkata, “Ketika baginda sedang solat di halaman Kaabah, tiba-tiba ‘Uqbah bin Abi Mu’ith datang lalu memegang bahu baginda dan melilitkan kain pada bahagian leher sehingga mencekiknya. Lalu Abu Bakar ra datang dan menolak ‘Uqbah seraya berkata, ‘Apakah kamu akan membunuh seorang lelaki kerana dia mengatakan ‘Rabbku ialah Allah? Padahal dia telah datang kepadamu dengan membawa keterangan daripada Rabbmu.’”

(HR. Al-Bukhari)

Lelaki beriman itu bertanya kepada Firaun dan kaumnya mengapa mereka hendak membunuh Nabi Musa as yang tidak melakukan sebarang dosa. Baginda hanya mengatakan bahawa Rabbnya adalah Allah Swt. Baginda juga telah membawa bukti-bukti yang jelas dan nyata yang menunjukkan kebenaran apa yang dikatakannya itu.

Allah Swt menjelaskan tentang seruan Nabi Musa as kepada Firaun dalam firman-Nya:

“Dan benar, sebelum mereka, Kami telah menguji kaum Firaun dan telah datang kepada mereka seorang Rasul yang mulia. (Dengan berkata), ‘Serahkanlah kepadaku hamba-hamba Allah (Bani Israil). Sesungguhnya aku adalah utusan (Allah) yang dapat kamu percaya. Dan janganlah kamu menyombongkan diri terhadap Allah. Sesungguhnya aku datang kepadamu dengan membawa bukti yang nyata. Dan sesungguhnya aku berlindung kepada Rabbku dan Rabbmu daripada ancaman untuk merejamku. Jika kamu tidak beriman kepadaku, maka biarkanlah aku (memimpin Bani Israil).’”

Ad-Dukhan 44:17-21

Lalu lelaki itu menyatakan sekiranya Nabi Musa as berdusta, maka akibat buruk dustanya akan menimpa dirinya sendiri, namun sekiranya baginda benar, maka sebahagian daripada apa yang baginda ancamkan kepada mereka akan menimpa mereka.

Seterusnya, lelaki itu berkata bahawa Allah Swt tidak membimbing ke jalan benar sesiapa yang melampaui batas dengan meninggalkan kebenaran dan mengambil kebatilan serta berdusta dengan menisbatkan apa yang dilakukannya itu kepada Allah Swt.

Ayat 29

يَـٰقَوْمِ لَكُمُ ٱلْمُلْكُ ٱلْيَوْمَ ظَـٰهِرِينَ فِى ٱلْأَرْضِ فَمَن يَنصُرُنَا مِنۢ بَأْسِ ٱللَّهِ إِن جَآءَنَا ۚ قَالَ فِرْعَوْنُ مَآ أُرِيكُمْ إِلَّا مَآ أَرَىٰ وَمَآ أَهْدِيكُمْ إِلَّا سَبِيلَ ٱلرَّشَادِ

(Lelaki yang beriman itu berkata), “Wahai kaumku, untukmulah kerajaan pada hari ini dengan berkuasa di muka bumi. Siapakah yang akan menolong kita daripada azab Allah jika azab itu menimpa kita!” Firaun berkata, “Aku tidak mengemukakan kepadamu, melainkan apa yang aku pandang baik, dan aku tidak menunjukkan kepadamu selain jalan yang benar.”

Lelaki yang beriman itu terus memberikan nasihat kepada kaumnya dengan mengingatkan mereka tentang nikmat kekuasaan mereka atas Bani Israil di bumi Mesir dan peringatan tentang azab Allah Swt sekiranya menimpa mereka kerana kekufuran dan kesombongan mereka.

Namun jawapan daripada Firaun dalam ayat di atas jelas menunjukkan bahawa dia cuma mengemukakan alasan untuk menolak kebenaran. Ini datangnya daripada sifat seorang pemimpin yang ingkar.

Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:

“Dan Firaun telah menyesatkan kaumnya dan tidak memberi petunjuk.”

Taha 20:79

“Dan sesungguhnya Kami telah mengutus Musa dengan tanda-tanda (kekuasaan) Kami, tetapi mereka mengikuti perintah Firaun padahal perintah Firaun bukanlah (perintah) yang benar.”

Hud 11:96-97

“Dan mereka ingkar kerana kezaliman dan kesombongan mereka, padahal hati mereka tahu akan kebenaran yang sebenar. Maka perhatikanlah bagaimana kesudahan orang-orang yang membuat kerosakan.”

An-Naml 27:14

Rasulullah saw bersabda:

“Tidak ada seorang pemimpin pun yang mati, sedang pada saat kematiannya, dia dalam keadaan menipu rakyatnya, melainkan dia tidak akan mencium wangi syurga, walaupun sesungguhnya harum bau syurga itu tercium dari jarak lima ratus tahun perjalanan.”

(HR. Al-Bukhari)

Ayat 30

وَقَالَ ٱلَّذِىٓ ءَامَنَ يَـٰقَوْمِ إِنِّىٓ أَخَافُ عَلَيْكُم مِّثْلَ يَوْمِ ٱلْأَحْزَابِ

Dan orang yang beriman itu berkata, “Wahai kaumku, sesungguhnya aku bimbang kamu akan ditimpa (bencana) seperti peristiwa kehancuran golongan yang bersekutu.

Ayat 31

مِثْلَ دَأْبِ قَوْمِ نُوحٍ وَعَادٍ وَثَمُودَ وَٱلَّذِينَ مِنۢ بَعْدِهِمْ ۚ وَمَا ٱللَّهُ يُرِيدُ ظُلْمًا لِّلْعِبَادِ

(Iaitu) seperti kebinasaan kaum Nuh, ‘Aad, Thamud, dan orang-orang yang datang setelah mereka. Dan Allah tidak menghendaki berbuat kezaliman terhadap hamba-hamba-Nya.

Seterusnya, lelaki beriman itu menakut-nakutkan kaumnya dengan kebinasaan di dunia yang disegerakan oleh Allah Swt seperti yang telah menimpa kaum terdahulu yang terdiri daripada kaum Nabi Nuh as, kaum ‘Aad, Thamud dan orang-orang yang datang setelah mereka kerana mendustakan para Rasul. Beliau juga mengingatkan kaumnya tentang kebinasaan dan azab pada Hari Kiamat yang sungguh dahsyat dan menggerunkan.

Sesungguhnya Allah Swt tidak menginginkan kezaliman berlaku kepada hamba-hamba-Nya dengan mengazab mereka tanpa dosa yang mereka lakukan. Maha Suci dan Maha Tinggi Allah daripada sebarang kezaliman dan segala sifat kekurangan.

Ayat 32

وَيَـٰقَوْمِ إِنِّىٓ أَخَافُ عَلَيْكُمْ يَوْمَ ٱلتَّنَادِ

Wahai kaumku, sesungguhnya aku benar-benar bimbang terhadapmu akan seksaan Hari Panggil-Memanggil (Kiamat).

Ayat 33

يَوْمَ تُوَلُّونَ مُدْبِرِينَ مَا لَكُم مِّنَ ٱللَّهِ مِنْ عَاصِمٍ ۗ وَمَن يُضْلِلِ ٱللَّهُ فَمَا لَهُۥ مِنْ هَادٍ

(Iaitu) hari (ketika) kamu (lari) berpaling ke belakang, tidak ada bagimu seorang pun yang menyelamatkan kamu daripada (azab) Allah, dan sesiapa yang disesatkan oleh Allah, nescaya tidak ada baginya seorang yang akan memberi petunjuk.”

Seterusnya, lelaki beriman itu mengingatkan kaumnya tentang Hari Kiamat yang juga dinamakan Hari Panggil-Memanggil kerana orang-orang yang berkumpul di mahsyar sebahagiannya memanggil-manggil sebahagian yang lain untuk meminta pertolongan namun tiada siapa pun yang dapat melepaskan mereka daripada azab Allah Swt.

Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“Pada hari itu manusia lari daripada saudaranya, dan daripada ibu serta bapanya, dan daripada isteri serta anak-anaknya. Setiap orang daripada mereka pada hari itu, mempunyai urusan yang tidak berhenti.”

‘Abasa 80:34-37

Ayat 34

وَلَقَدْ جَآءَكُمْ يُوسُفُ مِن قَبْلُ بِٱلْبَيِّنَـٰتِ فَمَا زِلْتُمْ فِى شَكٍّ مِّمَّا جَآءَكُم بِهِۦ ۖ حَتَّىٰٓ إِذَا هَلَكَ قُلْتُمْ لَن يَبْعَثَ ٱللَّهُ مِنۢ بَعْدِهِۦ رَسُولًا ۚ كَذَٰلِكَ يُضِلُّ ٱللَّهُ مَنْ هُوَ مُسْرِفٌ مُّرْتَابٌ

Dan sesungguhnya benar-benar telah datang Yusuf kepadamu dengan membawa keterangan-keterangan, tetapi kamu sentiasa dalam keraguan tentang apa yang dibawanya kepadamu, hingga ketika dia wafat, kamu berkata, “Allah tidak akan mengirim seorang (Rasul pun) setelahnya. Demikianlah Allah menyesatkan orang-orang yang melampaui batas dan ragu-ragu.

Lelaki beriman ini mengingatkan kaumnya bahawa Allah Swt telah mengutus seorang Rasul kepada mereka sebelum Nabi Musa as iaitu Nabi Yusuf as. Baginda adalah seorang pemimpin dalam kerajaan Mesir yang beriman dan seorang Rasul yang menyeru kaumnya kepada Allah Swt dengan membawa keterangan-keterangan yang jelas tetapi kaumnya meragui kebenarannya.

Mereka tidak meyakini apa yang dibawa oleh Nabi Yusuf as sehingga apabila baginda wafat, mereka mengatakan tidak akan ada lagi orang yang menyeru mereka kepada Allah Swt dan memberi amaran tentang azab-Nya serta menakut-nakutkan mereka kepada hukuman-Nya.

Demikianlah Allah Swt menyesatkan orang-orang yang melampaui batas dalam melakukan dosa dan ragu-ragu tentang keesaan-Nya serta tidak percaya kepada janji-janji-Nya.

Ayat 35

ٱلَّذِينَ يُجَـٰدِلُونَ فِىٓ ءَايَـٰتِ ٱللَّهِ بِغَيْرِ سُلْطَـٰنٍ أَتَىٰهُمْ ۖ كَبُرَ مَقْتًا عِندَ ٱللَّهِ وَعِندَ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ۚ كَذَٰلِكَ يَطْبَعُ ٱللَّهُ عَلَىٰ كُلِّ قَلْبِ مُتَكَبِّرٍۢ جَبَّارٍ

(Iaitu) orang-orang yang memperdebatkan ayat-ayat Allah tanpa alasan yang sampai kepada mereka. Amat besar kemurkaan (bagi mereka) di sisi Allah dan di sisi orang-orang yang beriman. Demikianlah Allah mengunci mati hati orang yang sombong dan berbuat sewenang-wenangnya.”

Kemudian lelaki beriman itu menyatakan lagi bahawa orang-orang yang melampaui batas dan ragu-ragu tentang kebenaran agama Allah Swt adalah mereka yang menolak kebenaran dengan kebatilan dan membantah hujah-hujah tanpa disertai dengan dalil dan bukti yang berasal daripada-Nya.

Perdebatan tersebut benar-benar besar dosanya sehingga mendatangkan kemurkaan Allah Swt dan orang-orang yang beriman. Sebagaimana Dia mengunci hati orang-orang yang mendebat keterangan-keterangan-Nya dengan kesesatan dan menutup daripada hidayah, Dia juga menutup hati orang-orang yang menyombongkan diri sehingga mereka menolak mentauhidkan-Nya dan mentaati-Nya, malah bersikap angkuh dengan melakukan kezaliman dan permusuhan.

Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:

“Katakanlah (Muhammad), ‘Rabbku hanya mengharamkan segala perbuatan yang keji, baik yang nampak mahupun yang tersembunyi, perbuatan dosa, perbuatan zalim tanpa alasan yang benar, dan (mengharamkan) kamu menyekutukan Allah dengan sesuatu, sedangkan Dia tidak menurunkan alasan untuk itu, dan (mengharamkan) kamu membicarakan tentang Allah apa yang kamu tidak ketahui.’”

Al-A’raf 7:33

“……….Dan siapakah yang lebih sesat daripada orang yang mengikuti hawa nafsunya dengan tidak mendapat petunjuk daripada Allah sedikit pun? Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang zalim.”

Al-Qasas 28:50

“Sesungguhnya (syaitan) itu hanya menyuruhmu melakukan kejahatan, perkara yang keji, dan mengatakan apa yang kamu tidak ketahui tentang Allah.”

Al-Baqarah 2:169