Para Malaikat Memohon Keampunan bagi Orang Beriman
Surah 40: Ghafir (7 – 9)
Ayat 7
ٱلَّذِينَ يَحْمِلُونَ ٱلْعَرْشَ وَمَنْ حَوْلَهُۥ يُسَبِّحُونَ بِحَمْدِ رَبِّهِمْ وَيُؤْمِنُونَ بِهِۦ وَيَسْتَغْفِرُونَ لِلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ رَبَّنَا وَسِعْتَ كُلَّ شَىْءٍ رَّحْمَةً وَعِلْمًا فَٱغْفِرْ لِلَّذِينَ تَابُوا۟ وَٱتَّبَعُوا۟ سَبِيلَكَ وَقِهِمْ عَذَابَ ٱلْجَحِيمِ
(Malaikat-malaikat) yang memikul ‘Arasy dan yang berada di sekelilingnya bertasbih dengan memuji Rabb mereka dan mereka beriman kepada-Nya serta memohonkan keampunan kepada orang-orang yang beriman, “Wahai Rabb kami, rahmat dan ilmu yang ada pada-Mu meliputi segala sesuatu, maka berilah keampunan kepada orang-orang yang bertaubat dan mengikut jalan (agama)-Mu dan peliharalah mereka daripada azab neraka.
Allah Swt menyatakan tentang para malaikat yang memikul ‘Arasy dan para malaikat yang berada di sekeliling ‘Arasy-Nya. Mereka bertasbih kepada-Nya, mensucikan-Nya daripada segala kekurangan, memuji-Nya dengan pujian yang layak untuk-Nya. Mereka beriman kepada-Nya dengan sebenar-benar keimanan dan mereka memohon kepada-Nya agar memaafkan orang-orang mukmin yang bertaubat dan melakukan amal soleh.
Ayat 8
رَبَّنَا وَأَدْخِلْهُمْ جَنَّـٰتِ عَدْنٍ ٱلَّتِى وَعَدتَّهُمْ وَمَن صَلَحَ مِنْ ءَابَآئِهِمْ وَأَزْوَٰجِهِمْ وَذُرِّيَّـٰتِهِمْ ۚ إِنَّكَ أَنتَ ٱلْعَزِيزُ ٱلْحَكِيمُ
Wahai Rabb kami, dan masukkanlah mereka ke dalam syurga ‘Adn yang telah Engkau janjikan kepada mereka dan orang-orang yang soleh di antara nenek moyang mereka, dan isteri-isteri mereka, dan keturunan mereka semua. Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.
Ayat 9
وَقِهِمُ ٱلسَّيِّـَٔاتِ ۚ وَمَن تَقِ ٱلسَّيِّـَٔاتِ يَوْمَئِذٍ فَقَدْ رَحِمْتَهُۥ ۚ وَذَٰلِكَ هُوَ ٱلْفَوْزُ ٱلْعَظِيمُ
Dan peliharalah mereka daripada (bencana) kejahatan. Dan orang-orang yang Engkau pelihara daripada (bencana) kejahatan pada hari itu, maka sesungguhnya Engkau telah anugerahkan rahmat kepada mereka dan itulah kemenangan yang besar.”
Allah Swt menyebutkan lagi antara doa-doa para malaikat untuk orang-orang yang beriman iaitu permohonan:
▪️ Agar diberikan keselamatan daripada azab neraka. Ini kerana azab neraka adalah azab yang teramat pedih dan menyakitkan.
▪️ Agar mereka dimasukkan ke dalam syurga bersama-sama orang-orang yang soleh di antara nenek moyang mereka, isteri-isteri mereka dan keturunan mereka semuanya supaya senang mata memandang disebabkan dapat berhimpun di tempat-tempat kediaman yang saling berdekatan.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Dan orang-orang yang beriman berserta anak cucu mereka yang mengikuti mereka dalam keimanan, Kami pertemukan mereka dengan anak cucu mereka (di dalam syurga)………………….”
At-Tur 52:21
Allah Swt mentakdirkan para malaikat untuk memohon kebaikan bagi orang-orang beriman tanpa pengetahuan mereka.
Daripada Abu Darda’ ra, Rasulullah saw bersabda:
“Jika seorang muslim berdoa untuk saudaranya tanpa pengetahuan saudaranya itu, para malaikat mengatakan, ‘Semoga Allah mengabulkan doamu itu dan bagimu seperti itu juga.’”
(HR. Muslim)
Para malaikat berdoa dengan bertawassul kepada-Nya melalui dua nama daripada nama-nama Allah Swt iaitu Maha Perkasa dan Maha Bijaksana. Dia Maha Perkasa, tiada sesiapa pun yang dapat menghalang kehendak-Nya lagi Maha Bijaksana kerana tidak ada yang Dia lakukan kecuali semuanya terdapat hikmah yang mendatangkan kesejahteraan buat hamba-hamba-Nya.
▪️ Agar terpelihara daripada akidah yang sesat dan amalan yang rosak serta balasan daripada kejahatan mereka.
Para malaikat memohon supaya seluruh orang-orang beriman dipelihara daripada melakukan kejahatan dan akibat yang akan mereka terima di akhirat sekiranya tidak bertaubat. Ini kerana sesiapa yang dipelihara oleh Allah Swt daripada bahaya kejahatan di dunia, maka sesungguhnya Dia memerhati dan mengasihaninya, dan di akhirat kelak dia beroleh kemenangan yang besar kerana terselamat daripada dimasukkan ke neraka.