Al-Quran Diturunkan oleh Allah Swt dan Keadaan Orang Kafir yang Suka Berdebat tentang Ayat-ayat-Nya
Surah 40: Ghafir (1 – 6)
Ayat 1
حمٓ
Ha Mim.
Ayat 2
تَنزِيلُ ٱلْكِتَـٰبِ مِنَ ٱللَّهِ ٱلْعَزِيزِ ٱلْعَلِيمِ
Kitab ini (Al-Quran) diturunkan daripada Allah Yang Maha Perkasa, lagi Maha Mengetahui.
Allah Swt menyatakan bahawa Al-Quran yang diturunkan kepada Rasulullah saw adalah daripada sisi-Nya dan tiada pendustaan di dalamnya. Dia-lah Yang Maha Perkasa lagi Maha Mengetahui perkataan dan perbuatan hamba-hamba-Nya sama ada yang nyata ataupun yang tersembunyi.
Ayat 3
غَافِرِ ٱلذَّنۢبِ وَقَابِلِ ٱلتَّوْبِ شَدِيدِ ٱلْعِقَابِ ذِى ٱلطَّوْلِ ۖ لَآ إِلَـٰهَ إِلَّا هُوَ ۖ إِلَيْهِ ٱلْمَصِيرُ
Yang mengampunkan dosa dan menerima taubat lagi berat hukuman-Nya, Yang melimpah-limpah kurniaan-Nya. Tiada Ilah (yang berhak disembah) selain Dia, kepada-Nya-lah tempat kembali (semua makhluk).
Kemudian Allah Swt menyatakan sifat-Nya Yang Maha Pengampun. Dia mengampuni dosa orang-orang yang berbuat dosa sama ada kecil mahupun besar setelah mereka bertaubat kepada-Nya. Namun azab seksaan-Nya juga sangat keras bagi sesiapa yang berani melakukan dosa-dosa dan tidak mahu bertaubat daripadanya.
Sesungguhnya Allah Swt Pemilik segala kurniaan. Oleh itu, tidak ada Ilah yang berhak untuk disembah selain-Nya dan kepada-Nya sahaja-lah semua makhluk akan kembali.
Firman Allah Swt dalam surah yang lain:
“Khabarkanlah kepada hamba-hamba-Ku bahawa Aku-lah Yang Maha Pengampun, lagi Maha Penyayang. Dan sesungguhnya azab-Ku adalah azab yang sangat pedih.”
Al-Hijr 15:49-50
Ayat 4
مَا يُجَـٰدِلُ فِىٓ ءَايَـٰتِ ٱللَّهِ إِلَّا ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ فَلَا يَغْرُرْكَ تَقَلُّبُهُمْ فِى ٱلْبِلَـٰدِ
Tidak ada yang membantah mengenai ayat-ayat Allah melainkan orang-orang yang kafir. Oleh itu janganlah engkau (wahai Muhammad) diperdayakan oleh kebebasan mereka bergerak dengan berulang-alik dari sebuah bandar ke bandar yang lain.
Seterusnya, Allah Swt menyebutkan keadaan orang-orang yang suka berdebat tentang Al-Quran. Mereka itu adalah orang-orang kafir yang menolak dan mendustakannya serta berdebat secara batil bertujuan semata-mata untuk melenyapkan kebenaran seperti menyatakan bahawa Al-Quran itu hanyalah kitab syair, dongengan dan sihir.
Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:
“……….Dan sesungguhnya orang-orang yang berselisih faham tentang (kebenaran) kitab itu, mereka benar-benar dalam perpecahan yang jauh (daripada kebenaran).”
Al-Baqarah 2:176
“(Iaitu) orang-orang yang memperdebatkan ayat-ayat Allah tanpa alasan yang sampai kepada mereka. Amat besar kemurkaan Allah dan orang-orang yang beriman terhadap mereka. Demikianlah Allah mengunci mati hati orang yang sombong dan sewenang-wenangnya.”
Al-Mu’min/Ghafir, 40:35
Daripada Abu Hurairah ra, Rasulullah saw bersabda:
“Perdebatan tentang Al-Quran dapat menyeret kepada kekufuran.”
(HR. Abu Daud)
Oleh itu pada akhir ayat ini, Allah Swt mengingatkan Rasulullah saw agar tidak terpedaya dengan kesenangan berupa harta benda, kenikmatan dan kemewahan orang-orang kafir. Ini sebagaimana firman-Nya dalam ayat yang lain:
“Janganlah sekali-kali kamu terperdaya oleh kebebasan orang-orang kafir bergerak di dalam negeri. Itu hanyalah kesenangan sementara, kemudian tempat tinggal mereka ialah Jahannam, dan Jahannam itu adalah tempat yang seburuk-buruknya.”
Ali ‘Imran 3:196-197
Ayat 5
كَذَّبَتْ قَبْلَهُمْ قَوْمُ نُوحٍ وَٱلْأَحْزَابُ مِنۢ بَعْدِهِمْ ۖ وَهَمَّتْ كُلُّ أُمَّةٍ بِرَسُولِهِمْ لِيَأْخُذُوهُ ۖ وَجَـٰدَلُوا۟ بِٱلْبَـٰطِلِ لِيُدْحِضُوا۟ بِهِ ٱلْحَقَّ فَأَخَذْتُهُمْ ۖ فَكَيْفَ كَانَ عِقَابِ
Sebelum mereka, kaum Nuh dan golongan-golongan yang bersekutu setelah mereka, telah mendustakan (Rasul) dan setiap umat telah merencanakan pelbagai tipu daya terhadap Rasul mereka untuk membunuhnya, dan mereka membantah dengan (alasan) yang batil untuk melenyapkan kebenaran, oleh itu Aku seksa mereka (dengan azab). Maka betapa (pedihnya) azab-Ku?
Kemudian, sebagai bentuk hiburan kepada Rasulullah saw Allah Swt menyebutkan bahawa pendustaan kaum musyrik Quraisy terhadap baginda adalah sama sebagaimana pendustaan umat-umat terdahulu kepada para Rasul mereka seperti kaum Nabi Nuh as, kaum ‘Aad, kaum Thamud, kaum Nabi Lut as dan Firaun serta pengikutnya. Mereka semuanya mendapat azab yang pedih.
Setiap umat daripada umat-umat terdahulu yang mendustakan para Rasul, sebenarnya mereka berniat dan merancang untuk membunuh Rasul-Rasul yang diutuskan kepada mereka. Hal ini mereka lakukan untuk menolak kebenaran yang nyata dan menghapuskan cahaya agama Allah Swt.
Kemudian Allah Swt menyatakan bahawa orang-orang yang berdebat secara batil akan menerima azab dan kehancuran. Oleh itu, perhatikanlah azab yang telah Dia timpakan ke atas mereka yang sangat dahsyat agar dapat diambil pengajaran dan dijadikan peringatan bagi kaum kafir Quraisy dan juga sekalian manusia.
Daripada Ibnu ‘Abbas ra, Rasulullah saw bersabda:
“Sesiapa yang membantu kebatilan untuk melenyapkan kebenaran dengan kebatilan itu, maka bererti dia telah bebas daripada tanggungan Allah dan rasul-Nya.”
(HR. At-Tabrani)
Ayat 6
وَكَذَٰلِكَ حَقَّتْ كَلِمَتُ رَبِّكَ عَلَى ٱلَّذِينَ كَفَرُوٓا۟ أَنَّهُمْ أَصْحَـٰبُ ٱلنَّارِ
Ketetapan Rabbmu pasti berlaku terhadap golongan kafir, sesungguhnya mereka adalah penghuni neraka.
Allah Swt menegaskan lagi bahawa azab yang ditimpakan pada umat terdahulu pasti akan menimpa orang-orang kafir sama ada kaum kafir Quraisy atau pun kaum yang lainnya di mana pun mereka berada. Mereka akan menerima azab Allah Swt iaitu berupa seksaan api Neraka Jahannam yang amat dahsyat dan sesungguhnya mereka layak menerimanya.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“……….Dan Allah menetapkan hukum (menurut kehendak-Nya), tidak ada yang dapat menolak ketetapan-Nya. Dia amat cepat perhitungan-Nya.”
Ar-Ra’d 13:41