Keadaan Orang Mukmin pada Hari Akhirat
Surah 39: Az-Zumar (73 – 74)
Ayat 73
وَسِيقَ ٱلَّذِينَ ٱتَّقَوْا۟ رَبَّهُمْ إِلَى ٱلْجَنَّةِ زُمَرًا ۖ حَتَّىٰٓ إِذَا جَآءُوهَا وَفُتِحَتْ أَبْوَٰبُهَا وَقَالَ لَهُمْ خَزَنَتُهَا سَلَـٰمٌ عَلَيْكُمْ طِبْتُمْ فَٱدْخُلُوهَا خَـٰلِدِينَ
Dan orang-orang yang bertakwa kepada Rabb mereka dibawa ke dalam syurga secara berombongan (juga). Sehingga apabila mereka sampai ke syurga itu, sedangkan pintu-pintunya telah terbuka dan berkatalah kepada mereka penjaga-penjaganya, “Kesejahteraan (dilimpahkan) atasmu, berbahagialah kamu! Maka masukilah syurga ini, kamu kekal di dalamnya.”
Allah Swt menyatakan kedudukan orang-orang bertakwa kepada-Nya dan berbahagia ketika diarak menuju ke syurga dalam keadaan mulia lagi terhormat. Firman-Nya:
“Ingatlah pada hari ketika Kami mengumpulkan orang-orang yang bertakwa kepada (Allah) Yang Maha Pemurah, sebagai perutusan yang terhormat.”
Maryam 19:85
Apabila sampai ke syurga yang pintu-pintunya memang telah sedia terbuka, penghuni syurga disambut dengan ucapan kesejahteraan ke atas mereka yang bermaksud betapa baik perbuatan, ucapan, langkah-langkah mereka dan betapa baik pula balasan bagi mereka sebagimana Rasulullah saw diperintahkan untuk menyeru muslimin dalam sebahagian peperangan, sebagaimana sabdanya:
“Bahawasanya tidak masuk syurga melainkan jiwa yang muslim.” (Dalam satu riwayat lain, “jiwa yang mukmin.”)
(HR. Al-Bukhari)
Mereka akan berasa aman dan tidak ada kesusahan serta penderitaan kerana mereka menikmati kurniaan Allah Swt berupa syurga yang berkekalan.
Ayat 74
وَقَالُوا۟ ٱلْحَمْدُ لِلَّهِ ٱلَّذِى صَدَقَنَا وَعْدَهُۥ وَأَوْرَثَنَا ٱلْأَرْضَ نَتَبَوَّأُ مِنَ ٱلْجَنَّةِ حَيْثُ نَشَآءُ ۖ فَنِعْمَ أَجْرُ ٱلْعَـٰمِلِينَ
Dan mereka mengucapkan, “Segala puji bagi Allah yang telah memenuhi janji-Nya kepada kami dan telah mewariskan kami bumi syurga ini untuk kami tinggal di mana sahaja kami kehendaki.” Maka syurga itulah sebaik-baik balasan bagi orang-orang yang beramal.
Tatkala orang-orang mukmin menyaksikan segala kenikmatan di dalam syurga dan mereka dibenarkan melakukan apa sahaja di dalamnya, mereka mengucapkan segala puji dan syukur kepada Allah Swt Yang Maha Agung dan sesungguhnya Dia menepati segala janji-janji-Nya.
Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:
“……….Mereka berkata, ‘Segala puji bagi Allah yang telah menunjukkan kami ke (syurga) ini. Kami tidak akan mendapat petunjuk sekiranya Allah tidak menunjukkan kepada kami. Sesungguhnya rasul-rasul Rabb kami telah datang membawa kebenaran’……….”
Al-A’raf 7:43
“Dan mereka berkata, ‘Segala puji bagi Allah yang telah menghilangkan kesedihan kami. Sesungguhnya, Rabb kami benar-benar Maha Pengampun, lagi Maha Mensyukuri. Dengan kurniaan-Nya menempatkan kami ke dalam tempat yang kekal (syurga), di dalamnya kami tidak merasa lelah dan tidak pula merasa lesu.’”
Fatir 35:34-35