Surah 39: Az-Zumar (67 – 70)

Kejadian pada Hari Kiamat

Surah 39: Az-Zumar (67 – 70)


Ayat 67

وَمَا قَدَرُوا۟ ٱللَّهَ حَقَّ قَدْرِهِۦ وَٱلْأَرْضُ جَمِيعًا قَبْضَتُهُۥ يَوْمَ ٱلْقِيَـٰمَةِ وَٱلسَّمَـٰوَٰتُ مَطْوِيَّـٰتٌۢ بِيَمِينِهِۦ ۚ سُبْحَـٰنَهُۥ وَتَعَـٰلَىٰ عَمَّا يُشْرِكُونَ

Dan mereka tidak mengagungkan Allah dengan pengagungan yang selayaknya padahal bumi seluruhnya dalam genggaman-Nya pada Hari Kiamat dan langit digulung dengan tangan kanan-Nya. Maha Suci Dia dan Maha Tinggi Dia daripada apa yang mereka sekutukan.

Allah Swt menyatakan bahawa orang-orang kafir musyrik tidak mengagungkan-Nya sebagaimana yang selayaknya tatkala mereka menyembah-Nya bersama dengan sesuatu yang lain. Padahal Dia-lah Yang Agung, tidak ada yang lebih agung daripada-Nya. Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu dan sesungguhnya bumi dengan seluruh isinya berada dalam genggaman tangan-Nya pada Hari Kiamat. Demikian juga langit dengan seluruh lapisannya digulung oleh-Nya dengan tangan kanan-Nya.

Maha Suci Allah Swt daripada segala apa yang tidak layak bagi-Nya dan Dia Maha Suci daripada segala apa yang mereka persekutukan dengan-Nya.

Terdapat banyak hadis yang berkaitan dengan ayat ini, antaranya ialah daripada Abu Hurairah ra, Rasullullah saw bersabda:

“Allah menggenggam bumi pada Hari Kiamat dengan tangan-Nya, dan menggulung langit dengan tangan kanan-Nya, lalu berfirman, ‘Aku adalah Raja, di manakah raja-raja bumi itu?’”

(HR. Al-Bukhari)

Ayat 68

وَنُفِخَ فِى ٱلصُّورِ فَصَعِقَ مَن فِى ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَمَن فِى ٱلْأَرْضِ إِلَّا مَن شَآءَ ٱللَّهُ ۖ ثُمَّ نُفِخَ فِيهِ أُخْرَىٰ فَإِذَا هُمْ قِيَامٌ يَنظُرُونَ

Dan sangkakala pun ditiup, maka matilah semua (makhluk) yang ada di langit dan di bumi kecuali siapa yang dikehendaki oleh Allah. Kemudian ditiup sekali lagi (sangkakala itu) maka seketika itu mereka berdiri menunggu (keputusan masing-masing).

Allah Swt memberitahu proses terjadinya kiamat yang amat dahsyat. Sesungguhnya pada kejadian kiamat ini terdapat tanda-tanda kebesaran dan kekuasaan-Nya.

Permulaan Hari Kiamat ini diawali dengan tiupan sangkakala pertama iaitu tiupan kematian. Pada saat sangkakala ditiupkan pada kali pertama, akan matilah seluruh makhluk yang ada di langit dan di bumi kecuali sesiapa yang dikehendaki Allah Swt. Para mufassir ada yang berpendapat bahawa mereka adalah malaikat Jibril, Mikail dan Israfil. Manakala Qatadah mengatakan bahawa mereka tidak mengetahui siapa yang dikecualikan itu.

Kemudian proses seterusnya, apabila sangkakala itu ditiupkan kali kedua seluruh makhluk akan kembali hidup iaitu bangun dan keluar dari kubur masing-masing.

Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:

“Dan di antara tanda-tanda (kebesaran)-Nya ialah berdirinya langit dan bumi dengan kehendak-Nya. Kemudian apabila Dia memanggil kamu dengan satu panggilan dari bumi, seketika itu kamu keluar (dari kubur).”

Ar-Rum 30:25

“Pengembalian itu hanyalah dengan sekali tiupan sahaja. Maka serta merta mereka hidup kembali di muka bumi yang putih dan rata (baru).”

An-Nazi’at 79:13-14

Daripada Abu Hurairah ra, Rasulullah saw bersabda bahawa jarak antara dua tiupan itu adalah empat puluh. Ada yang bertanya, “Wahai Abu Hurairah, apakah empat puluh hari?” Dia menjawab, “Aku enggan menyatakannya (kerana aku tidak tahu).” Mereka bertanya lagi, “Apakah empat puluh tahun?” Dia menjawab, “Aku enggan menyatakannya.” Mereka terus bertanya, “Apakah empat puluh bulan?” Dia menjawab, “Aku enggan menyatakannya. Dan hancur setiap bahagian tubuh manusia kecuali pangkal tulang ekornya (yang lembut), daripadanya semua makhluk akan dihidupkan kembali.”

(HR. Al-Bukhari)

Ayat 69

وَأَشْرَقَتِ ٱلْأَرْضُ بِنُورِ رَبِّهَا وَوُضِعَ ٱلْكِتَـٰبُ وَجِا۟ىٓءَ بِٱلنَّبِيِّـۧنَ وَٱلشُّهَدَآءِ وَقُضِىَ بَيْنَهُم بِٱلْحَقِّ وَهُمْ لَا يُظْلَمُونَ

Dan terang benderanglah bumi (mahsyar) dengan cahaya (keadilan) Rabbnya, dan dibentangkan kitab amalan (masing-masing) dan didatangkanlah para nabi dan para saksi dan diberikan keputusan di antara mereka dengan adil, sedang mereka tidak dirugikan.

Ayat 70

وَوُفِّيَتْ كُلُّ نَفْسٍ مَّا عَمِلَتْ وَهُوَ أَعْلَمُ بِمَا يَفْعَلُونَ

Dan kepada setiap jiwa diberikan balasan sempurna sesuai dengan apa yang telah dilakukan dan Dia lebih mengetahui apa yang mereka kerjakan.

Kemudian Allah Swt menjelaskan beberapa keadaan pada Hari Kiamat, iaitu:

▪️   Padang Mahsyar bercahaya dan terang dengan keadilan Allah Swt dan keputusan-Nya tepat bagi seluruh hamba-hamba-Nya.

▪️   Buku catatan amalan diberikan kepada pemiliknya masing-masing, sama ada di sebelah kiri atau sebelah kanan.

▪️   Para nabi dan saksi didatangkan, lalu mereka ditanya tentang umatnya.

Kemudian Allah Swt memutuskan mereka dengan begitu adil dan tidak ada seorang pun yang akan dianiayai. Sesungguhnya Allah Swt lebih mengetahui apa yang mereka lakukan kerana Dia Maha Mengetahui segala perbuatan hamba-hamba-Nya.

Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:

“Dan Kami akan memasang timbangan yang tepat pada Hari Kiamat, maka tidak seorang pun dirugikan walau sedikit, sekali pun hanya seberat biji sawi, pasti Kami mendatangkannya pahala. Dan cukuplah Kami yang membuat perhitungan.”

Al-Anbiya’ 21:47

“Sesungguhnya Allah tidak akan menzalimi seseorang walaupun sebesar zarah, dan jika ada kebajikan (sekecil zarah), nescaya Allah akan melipatgandakannya dan memberikan pahala yang besar dari sisi-Nya.”

An-Nisa’ 4:40