Al-Quran adalah Petunjuk bagi Orang Bertakwa
Surah 2: Al-Baqarah (2)
Ayat 2
ذَٰلِكَ ٱلْكِتَـٰبُ لَا رَيْبَ ۛ فِيهِ ۛ هُدًى لِّلْمُتَّقِينَ
Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertakwa;
Al-Quran itu sama sekali tidak mengandungi keraguan di dalamnya iaitu ia benar-benar datang daripada Allah Swt. Ini sebagaimana firman-Nya dalam ayat yang lain:
“Alif Lam Mim. Turunnya Al-Quran yang tidak ada keraguan di dalamnya, (adalah) daripada Rabb semesta alam.”
As-Sajdah 32:1-2
Oleh itu, sangatlah tidak patut jika seseorang itu masih ragu-ragu terhadapnya setelah sangat jelas bukti-bukti kebenarannya.
Ayat ini juga menjelaskan bahawa hanya orang-orang yang bertakwa sahaja yang dapat mengambil rujukan, pengajaran dan hukum-hukum daripada Al-Quran. Ini kerana Al-Quran itu merupakan petunjuk dan tidak dapat meraih petunjuk melainkan orang-orang yang taat yang berusaha mendapatkan ilmu yang bermanfaat dan beramal dengannya.
Kalimah هُدًى (petunjuk) dalam ayat di atas adalah umum, iaitu Al-Quran merupakan petunjuk terhadap semua maslahat di dunia dan di akhirat. Hidayah atau petunjuk terbahagi kepada dua iaitu hidayah irsyad (ilmu/petunjuk) dan hidayah taufik (dapat beramal).