Allah Swt adalah Pencipta dan Pemelihara Segala Sesuatu
Surah 39: Az-Zumar (62 – 66)
Ayat 62
ٱللَّهُ خَـٰلِقُ كُلِّ شَىْءٍ ۖ وَهُوَ عَلَىٰ كُلِّ شَىْءٍ وَكِيلٌ
Allah Pencipta segala sesuatu dan Dia Maha Pemelihara ke atas segala sesuatu.
Ayat 63
لَّهُۥ مَقَالِيدُ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ ۗ وَٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ بِـَٔايَـٰتِ ٱللَّهِ أُو۟لَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلْخَـٰسِرُونَ
Milik-Nya-lah kunci-kunci (perbendaharaan) langit dan bumi. Dan orang-orang yang kafir terhadap ayat-ayat Allah, mereka itulah orang-orang yang rugi.
Ayat-ayat ini menerangkan tentang kekuasaan Allah Swt iaitu:
▪️ Allah Swt menciptakan segala sesuatu termasuk perbuatan makhluk-Nya.
▪️ Dia-lah pemilik dan penguasa segala perbendaharaan langit dan bumi. Kepunyaan-Nya-lah segala kerajaan dan pujian.
Orang-orang yang mengingkari ayat-ayat Allah Swt dalam Al-Quran dan pelbagai bukti kebesaran dan kekuasaan-Nya, sebenarnya mereka mencampakkan diri mereka dalam kerugian.
Ayat 64
قُلْ أَفَغَيْرَ ٱللَّهِ تَأْمُرُوٓنِّىٓ أَعْبُدُ أَيُّهَا ٱلْجَـٰهِلُونَ
Katakanlah (Muhammad), “Apakah kamu menyuruh aku menyembah selain Allah, wahai orang-orang yang tidak berpengetahuan?”
Ayat 65
وَلَقَدْ أُوحِىَ إِلَيْكَ وَإِلَى ٱلَّذِينَ مِن قَبْلِكَ لَئِنْ أَشْرَكْتَ لَيَحْبَطَنَّ عَمَلُكَ وَلَتَكُونَنَّ مِنَ ٱلْخَـٰسِرِينَ
Dan sesungguhnya benar-benar telah diwahyukan kepadamu dan kepada (nabi-nabi) yang sebelummu. “Jika kamu menyekutukan (Allah), nescaya akan hapuslah amalanmu dan tentulah kamu termasuk orang-orang yang rugi.
Kemudian Allah Swt menyuruh Rasulullah saw mencela orang-orang kafir musyrik sebagai orang-orang yang bodoh kerana mengajak baginda menyembah selain-Nya. Mereka sebenarnya jahil tentang Allah Swt.
Para ulama menyebutkan sebab turunnya ayat ini berdasarkan apa yang telah diriwayatkan oleh Ibnu Abu Hatim dan lain-lain. Daripada Ibnu ‘Abbas ra, bahawa orang-orang musyrik yang disebabkan kebodohan mereka, mereka menyeru Rasulullah saw agar menyembah ilah-ilah mereka, kemudian baru mereka mahu menyembah Rabb baginda. Maka turunlah ayat-ayat 64 dan 65 ini.
Selanjutnya, Allah Swt menjelaskan kepada Rasulullah saw bahawa Dia telah mewahyukan kepada baginda dan para rasul sebelumnya tentang keesaan Allah Swt dan hanya Dia yang layak diibadahi.
Sekiranya ada para nabi yang melakukan kesyirikan maka akan terhapus segala amalan mereka yang akan mendatangkan kerugian kepada diri mereka di dunia dan di akhirat, sebagaimana firman-Nya dalam ayat yang lain:
“……….Sekiranya mereka menyekutukan Allah, pasti lenyaplah amalan yang telah mereka lakukan.”
Al-An’am 6:88
Ayat 66
بَلِ ٱللَّهَ فَٱعْبُدْ وَكُن مِّنَ ٱلشَّـٰكِرِينَ
Oleh itu, hendaklah Allah sahaja kamu sembah dan hendaklah kamu termasuk orang-orang yang bersyukur.”
Seterusnya, Allah Swt memerintahkan Rasulullah saw agar tidak menerima ajakan orang-orang kafir tetapi hendaklah tetap menyembah Allah Yang Maha Esa dan hendaklah baginda termasuk orang-orang yang bersyukur.
Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:
“Wahai manusia, kamulah yang berkehendak kepada Allah dan Allah Dia-lah Yang Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu) lagi Maha Terpuji.”
Fatir 35:15
“Katakanlah (Muhammad), ‘Siapakah yang memberi rezeki kepada kamu dari langit dan bumi, atau siapakah yang menguasai (menciptakan) pendengaran dan penglihatan, dan siapakah yang mengeluarkan yang hidup daripada yang mati dan yang mati daripada yang hidup, dan siapakah yang mengatur segala urusan?’ Maka mereka akan menjawab, ‘Allah.’ Maka katakanlah, ‘Mengapa kamu tidak bertakwa (kepada-Nya)?’”
Yunus 10:31