Surah 39: Az-Zumar (54 – 55)

Perintah supaya Segera Bertaubat sebelum Datangnya Azab

Surah 39: Az-Zumar (54 – 55)


Ayat 54

وَأَنِيبُوٓا۟ إِلَىٰ رَبِّكُمْ وَأَسْلِمُوا۟ لَهُۥ مِن قَبْلِ أَن يَأْتِيَكُمُ ٱلْعَذَابُ ثُمَّ لَا تُنصَرُونَ

Dan kembalilah kamu kepada Rabbmu dan berserah dirilah kepada-Nya sebelum datang azab kepadamu, kemudian kamu tidak dapat ditolong (lagi).

Ayat 55

وَٱتَّبِعُوٓا۟ أَحْسَنَ مَآ أُنزِلَ إِلَيْكُم مِّن رَّبِّكُم مِّن قَبْلِ أَن يَأْتِيَكُمُ ٱلْعَذَابُ بَغْتَةً وَأَنتُمْ لَا تَشْعُرُونَ

Dan ikutilah sebaik-baik apa yang telah diturunkan kepadamu daripada Rabbmu sebelum datang azab kepadamu dengan tiba-tiba, sedangkan kamu tidak menyedarinya.

Setelah Allah Swt menjanjikan keampunan kepada hamba-hamba-Nya, Dia menjelaskan pula bahawa keampunan itu akan diberikan dengan dua syarat:

▪️   Kembali kepada Allah Swt dan bertaubat.

Menyesali dan berazam bersungguh-sungguh meninggalkan perbuatan maksiat serta ikhlas beriman dan mengesakan-Nya.

▪️   Mengikuti Al-Quran.

Mengikuti petunjuk daripada Al-Quran dengan melaksanakan perintah dan meninggalkan larangan-Nya.

Kedua-dua syarat ini hendaklah dipenuhi sebelum datangnya ajal kerana setelah kematian, pintu taubat telah ditutup dan taubat tidak akan diterima lagi. Ini juga merupakan ancaman dan peringatan yang keras lagi nyata.

Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“…………dan apa yang diberikan oleh rasul kepadamu, maka terimalah. Dan apa juga yang dilarangnya untuk kamu lakukan, maka patuhilah larangannya. Dan bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah amatlah keras hukumannya.”

Al-Hasyr 59:7

Daripada Abu ‘Abdurrahman ‘Abdullah bin ‘Umar bin Al-Khattab ra, bahawasanya Nabi saw bersabda:

“Sesungguhnya Allah menerima taubat setiap hamba, sebelum nyawanya sampai di kerongkong (sakarat).”

(HR. At-Tirmidz)