Azab dan Akibat Buruk bagi Orang yang Zalim
Surah 39: Az-Zumar (47 – 51)
Ayat 47
وَلَوْ أَنَّ لِلَّذِينَ ظَلَمُوا۟ مَا فِى ٱلْأَرْضِ جَمِيعًا وَمِثْلَهُۥ مَعَهُۥ لَٱفْتَدَوْا۟ بِهِۦ مِن سُوٓءِ ٱلْعَذَابِ يَوْمَ ٱلْقِيَـٰمَةِ ۚ وَبَدَا لَهُم مِّنَ ٱللَّهِ مَا لَمْ يَكُونُوا۟ يَحْتَسِبُونَ
Dan sekiranya orang-orang yang zalim mempunyai segalanya di bumi, dan ditambahkan lagi sebanyak itu, nescaya mereka akan menebus diri dengannya daripada mendapat azab yang buruk pada Hari Kiamat. Dan jelaslah bagi mereka azab daripada Allah yang dahulu tidak pernah mereka duga.
Allah Swt menyebutkan ancaman kepada kaum musyrik iaitu:
▪️ Seandainya kaum musyrik memiliki kekayaan yang banyak memenuhi bumi dan ditambah sebanyak itu pula, pasti mereka akan menjadikan harta itu sebagai tebusan untuk membebaskan diri mereka daripada hukuman terhadap kezaliman mereka kelak pada Hari Kiamat.
Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:
“Sesungguhnya orang-orang yang kafir dan mati sedang mereka tetap dalam kekafiran, tidak akan diterima (tebusan) daripada seseorang di antara mereka (berupa) emas sepenuh bumi, sekiranya dia hendak menebus diri dengannya. Mereka itulah orang-orang yang mendapat azab yang pedih dan mereka tidak memperoleh penolong.”
Ali ‘Imran 3:91
“……….Dan orang-orang yang tidak memenuhi seruan-Nya, sekiranya mereka mempunyai semua yang ada di bumi dan (ditambah) sebanyak itu lagi, nescaya mereka akan menebus dirinya dengan (kekayaan) itu. Mereka itu mendapat hisab (perhitungan) yang buruk dan tempat kediaman mereka ialah Jahannam dan itulah seburuk-buruk tempat kediaman.”
Ar-Ra’d 13:18
▪️ Kelak mereka akan dapat melihat dengan jelas azab dan hukuman yang belum pernah terlintas di benak mereka sebelumnya. Ini merupakan ancaman keras daripada Allah Swt bahawa tidak ada harapan bagi mereka untuk berlepas diri daripada azab-Nya.
Ayat 48
وَبَدَا لَهُمْ سَيِّـَٔاتُ مَا كَسَبُوا۟ وَحَاقَ بِهِم مَّا كَانُوا۟ بِهِۦ يَسْتَهْزِءُونَ
Dan jelaslah bagi mereka kejahatan yang telah mereka lakukan dan mereka diliputi dengan apa yang dahulu mereka selalu permain-mainkan.
▪️ Allah Swt akan menampakkan dengan lebih jelas lagi kepada mereka akibat dan balasan perbuatan buruk dan dosa yang mereka lakukan di dunia iaitu apabila didedahkan isi kitab amalan mereka. Maka ketika itu mereka dikelilingi azab dari segenap penjuru, lalu mereka percaya bahawa tidak syak lagi mereka akan terjerumus ke dalam azab tersebut yang mereka perolok-olokkan ketika di dunia dahulu iaitu mempersendakan wahyu yang disampaikan oleh Rasulullah saw.
Ayat 49
فَإِذَا مَسَّ ٱلْإِنسَـٰنَ ضُرٌّ دَعَانَا ثُمَّ إِذَا خَوَّلْنَـٰهُ نِعْمَةً مِّنَّا قَالَ إِنَّمَآ أُوتِيتُهُۥ عَلَىٰ عِلْمٍۭ ۚ بَلْ هِىَ فِتْنَةٌ وَلَـٰكِنَّ أَكْثَرَهُمْ لَا يَعْلَمُونَ
Maka apabila manusia ditimpa bencana dia menyeru Kami, kemudian apabila Kami berikan kepadanya nikmat daripada Kami dia berkata, “Sesungguhnya aku mendapat nikmat itu hanyalah kerana kepintaranku.” Sebenarnya itu adalah ujian, tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui.
Allah Swt menyatakan betapa buruknya sikap sebahagian manusia. Jika mereka ditimpa kesusahan seperti kemiskinan, sakit dan kesusahan yang lain, mereka akan mendekatkan diri kepada Allah Swt dengan penuh tawadhuk memohon pertolongan-Nya agar dibebaskan daripada penderitaannya.
Namun apabila dikurniakan nikmat, baik pangkat ataupun harta, mereka menyombongkan diri lagi angkuh sambil mengatakan bahawa nikmat yang didapati itu adalah hasil daripada usaha mereka atau kepandaian mereka.
Pada hakikatnya, pemberian nikmat tersebut bukanlah seperti apa yang mereka ucapkan. Sebenarnya pemberian nikmat itu adalah merupakan ujian daripada Allah Swt untuk mengetahui adakah mereka ini bersyukur atau ingkar kepada-Nya. Kebanyakan manusia tidak mengetahui bahawa hal ini adalah istidraj daripada-Nya sehingga ramai yang terpedaya dan menyangka bahawa nikmat itu adalah hasil daripada usaha titik peluh mereka sendiri.
Ayat 50
قَدْ قَالَهَا ٱلَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ فَمَآ أَغْنَىٰ عَنْهُم مَّا كَانُوا۟ يَكْسِبُونَ
Sungguh, orang-orang yang sebelum mereka (juga) telah mengatakan hal itu, maka tidaklah berguna bagi mereka apa yang telah mereka usahakan.
Kemudian Allah Swt menyatakan perkataan dan sikap orang-orang musyrik di atas itu pernah diucapkan oleh orang-orang yang ingkar pada umat terdahulu seperti Qarun dan lain-lain lagi.
Sesungguhnya mereka hanya membuat persangkaan sahaja. Ucapan mereka itu tidak benar dan kekayaan mereka serta apa sahaja yang telah mereka usahakan tidak akan berguna sama sekali kepada mereka.
Ayat 51
فَأَصَابَهُمْ سَيِّـَٔاتُ مَا كَسَبُوا۟ ۚ وَٱلَّذِينَ ظَلَمُوا۟ مِنْ هَـٰٓؤُلَآءِ سَيُصِيبُهُمْ سَيِّـَٔاتُ مَا كَسَبُوا۟ وَمَا هُم بِمُعْجِزِينَ
Lalu mereka ditimpa oleh akibat buruk daripada apa yang mereka usahakan. Dan orang-orang yang zalim di antara mereka juga akan ditimpa akibat buruk daripada usaha mereka dan mereka tidak dapat melepaskan diri.
Orang-orang yang ingkar daripada umat terdahulu dibalas sesuai dengan perbuatan buruk mereka. Mereka diazab di dunia lagi seperti Qarun dibenamkan ke dalam tanah bersama-sama harta kekayaannya. Mereka ini juga akan mendapat azab yang pedih pada Hari Akhirat kelak. Kisah Qarun ini telah disebutkan oleh Allah Swt dalam firman-Nya:
“Sesungguhnya Qarun termasuk di kalangan kaum Musa, tetapi dia berlaku zalim terhadap mereka, dan Kami telah menganugerahkan kepadanya perbendaharaan harta yang kunci-kuncinya sungguh berat dipikul oleh sejumlah orang-orang yang kuat. (Ingatlah) ketika kaumnya berkata kepadanya, “Janganlah kamu terlalu bangga, sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang terlalu membanggakan diri.” Dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) negeri akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagianmu daripada (kenikmatan) duniawi dan berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana Allah telah berbuat baik kepadamu, dan janganlah kamu berbuat kerosakan di (muka) bumi. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berbuat kerosakan. Qarun berkata, “Sesungguhnya aku hanya diberi harta itu, kerana ilmu yang ada padaku.” Dan tidakkah dia mengetahui, bahawa Allah sungguh telah membinasakan umat-umat sebelumnya yang lebih kuat daripadanya, dan lebih banyak mengumpulkan harta? Dan tidaklah perlu ditanya kepada orang-orang yang berdosa itu tentang dosa-dosa mereka.”
Al-Qasas 28:76-78
Selanjutnya, Allah Swt mengancam kaum musyrik Mekah bahawa mereka akan menerima balasan atas perbuatan buruk mereka sebagaimana umat sebelumnya. Balasan bagi kaum musyrik Mekah di dunia adalah kekurangan makanan, terbunuh dalam peperangan dan menjadi tawanan. Adapun balasan di akhirat, mereka tidak mungkin dapat melarikan diri daripada azab-Nya kerana hanya kepada-Nya semua makhluk-Nya akan kembali dan diberikan balasan dengan seadil-adilnya.