Surah 39: Az-Zumar (45)

Sifat Orang yang Tidak Beriman kepada Hari Akhirat

Surah 39: Az-Zumar (45)


Ayat 45

وَإِذَا ذُكِرَ ٱللَّهُ وَحْدَهُ ٱشْمَأَزَّتْ قُلُوبُ ٱلَّذِينَ لَا يُؤْمِنُونَ بِٱلْـَٔاخِرَةِ ۖ وَإِذَا ذُكِرَ ٱلَّذِينَ مِن دُونِهِۦٓ إِذَا هُمْ يَسْتَبْشِرُونَ

Dan apabila hanya nama Allah sahaja yang disebut, menyesallah hati orang-orang yang tidak beriman kepada kehidupan akhirat dan apabila nama-nama sembahan selain Allah yang disebut, tiba-tiba mereka menjadi gembira.

Allah Swt menyatakan sikap buruk orang-orang musyrik iaitu apabila mereka mendengar seseorang menyebut kalimah لاَ إِلَهَ إِلَّاالله, hati mereka terus diliputi perasaan benci dan kebencian itu jelas ternampak pada raut wajah mereka. Ini kerana mereka tidak mengimani Allah Swt dan tidak mempercayai adanya Hari Kebangkitan setelah kematian, sebagaimana firman-Nya:

“Sesungguhnya mereka dahulu apabila dikatakan kepada mereka, “La ilaha illallah” (Tiada Ilah yang berhak disembah melainkan Allah) mereka menyombongkan diri.”

As-Saffat 37:35

Sebaliknya apabila ada orang menyebut nama-nama berhala sembahan mereka seperti Lata, ‘Uzza dan Manat, hati mereka menjadi bangga dan jelas terlihat kegembiraan pada wajah mereka.

Sifat tersebut menunjukkan kebodohan akal mereka. Ini adalah kerana mereka terpesona dengan berhala-berhala sehinggakan melupakan Allah Swt yang patut mereka sembah. Mereka ini mencintai kesyirikan dan membenci tauhid yang mengheret mereka ke neraka. Mereka tidak menyedari bahawa dengan tauhid akan membawa mereka kepada kebahagiaan di dunia dan di akhirat dengan balasan syurga yang mengandungi pelbagai nikmat yang berkekalan.

Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:

“Mereka itu adalah orang-orang yang sudah tidak dikehendaki Allah untuk membersihkan hati mereka. Di dunia mereka mendapat kehinaan dan di akhirat akan mendapat azab yang besar.”

Al-Ma’idah 5:41

“………Allah telah memalingkan hati mereka disebabkan mereka adalah kaum yang tidak memahami.”

At-Taubah 9:127