Surah 39: Az-Zumar (41)

Al-Quran Membawa Kebenaran kepada Manusia

Surah 39: Az-Zumar (41)


Ayat 41

إِنَّآ أَنزَلْنَا عَلَيْكَ ٱلْكِتَـٰبَ لِلنَّاسِ بِٱلْحَقِّ ۖ فَمَنِ ٱهْتَدَىٰ فَلِنَفْسِهِۦ ۖ وَمَن ضَلَّ فَإِنَّمَا يَضِلُّ عَلَيْهَا ۖ وَمَآ أَنتَ عَلَيْهِم بِوَكِيلٍ

Sesungguhnya Kami menurunkan kepadamu kitab (Al-Quran) dengan membawa kebenaran untuk manusia, sesiapa mendapat petunjuk maka (petunjuk itu) untuk dirinya sendiri, dan sesiapa yang sesat maka sesungguhnya kesesatan itu semata-mata untuk dirinya sendiri, dan kamu sekali-kali bukanlah orang yang bertanggungjawab terhadap mereka.

Allah Swt menyatakan bahawa Dia menurunkan Al-Quran yang membawa kebenaran kepada Nabi Muhammad saw agar baginda sampaikan kepada manusia dan jin demi kepentingan mereka dalam kehidupan di dunia dan akhirat. Ini kerana di dalamnya terdapat panduan dan penjelasan tentang perkara-perkara yang menjadi kewajipan kepada mereka serta petunjuk kepada jalan yang lurus.

Sesiapa yang beramal dengan berpandukan Al-Quran, nescaya dia akan mendapat petunjuk. Sesiapa yang mendapat petunjuk maka keuntungannya itu akan kembali kepada dirinya sendiri. Sebaliknya sesiapa yang tidak beramal dengan berpandukan Al-Quran nescaya dia berterusan dalam kesesatan dan ini akan membahayakan dirinya sendiri.

Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:

“…………Dan Kami (Allah) turunkan kepadamu (Muhammad) kitab (Al-Quran) untuk menjelaskan segala sesuatu dan petunjuk serta rahmat dan khabar gembira bagi orang-orang yang berserah diri (muslim).”

An-Nahl 16:89

“……….Sesiapa yang diberi petunjuk oleh Allah, maka dialah yang mendapat petunjuk, dan sesiapa yang disesatkan-Nya, maka engkau tidak akan mendapatkan seorang penolong pun yang dapat memberi petunjuk kepadanya.”

Al-Kahfi 18:17

Seterusnya, Allah Swt menyatakan bahawa Rasulullah saw tidak bertanggungjawab terhadap keimanan atau keingkaran umatnya. Baginda hanyalah ditugaskan untuk menyampaikan risalah-Nya.

Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:

“……….Sesungguhnya engkau (Muhammad) hanyalah pemberi peringatan dan Allah jugalah Pemelihara segala sesuatu.”

Hud 11:12

“……….maka sesungguhnya tugasmu hanya menyampaikan, dan Kami-lah yang memperhitungkan (amalan mereka).”

Ar-Ra’d 13:40