Pengakuan Kaum Musyrik terhadap Kekuasaan Allah Swt dalam Penciptaan Alam Semesta dan Hanya kepada-Nya Orang yang Beriman Bertawakkal
Surah 39: Az-Zumar (38 – 40)
Ayat 38
وَلَئِن سَأَلْتَهُم مَّنْ خَلَقَ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضَ لَيَقُولُنَّ ٱللَّهُ ۚ قُلْ أَفَرَءَيْتُم مَّا تَدْعُونَ مِن دُونِ ٱللَّهِ إِنْ أَرَادَنِىَ ٱللَّهُ بِضُرٍّ هَلْ هُنَّ كَـٰشِفَـٰتُ ضُرِّهِۦٓ أَوْ أَرَادَنِى بِرَحْمَةٍ هَلْ هُنَّ مُمْسِكَـٰتُ رَحْمَتِهِۦ ۚ قُلْ حَسْبِىَ ٱللَّهُ ۖ عَلَيْهِ يَتَوَكَّلُ ٱلْمُتَوَكِّلُونَ
Dan sungguh jika kamu bertanya kepada mereka, “Siapakah yang menciptakan langit dan bumi?” Nescaya mereka menjawab, “Allah.” Katakanlah, “Maka terangkanlah kepadaku tentang apa yang kamu seru selain Allah, jika Allah hendak mendatangkan kemudharatan kepadaku, apakah berhala-berhalamu itu dapat menghilangkan kemudharatan itu, atau jika Allah hendak memberi rahmat kepadaku, apakah mereka dapat menahan rahmat-Nya?” Katakanlah, “Cukuplah Allah bagiku.” Kepada-Nya-lah bertawakkal orang-orang yang berserah diri.
Allah Swt menegakkan bukti keesaan-Nya dengan pengakuan daripada kaum musyrik sendiri. Sekiranya ditanyakan kepada mereka siapakah yang menciptakan langit dan bumi, pasti mereka akan mengatakan Allah-lah yang menciptakan semua itu.
Ini kerana pada dasarnya orang-orang musyrik mengakui penciptaan Allah Ta’ala tetapi mereka menyembah selain-Nya di samping-Nya, padahal sembahan-sembahan selain-Nya itu tidak dapat memberikan mudharat atau manfaat kepada mereka. Ini menujukkan betapa lemah dan hinanya sembahan mereka.
Pada akhir ayat ini, Allah Swt memerintahkan Rasulullah saw mengatakan bahawa Dia Maha Mencukupi dalam memberi manfaat dan menolak bencana untuk baginda. Baginda tidak takut kepada sembahan-sembahan mereka dan ancaman mereka. Baginda hanya takut kepada Allah Yang Maha Esa dan kepada-Nya-lah orang-orang mukmin bertawakkal dan berserah diri setelah berusaha sekuat kemampuannya.
Berkaitan dengan ayat ini Imam Ibnu Abu Hatim meriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas ra Rasulullah saw bersabda:
“Jagalah Allah, nescaya Dia akan menjagamu. Dan jagalah Allah, nescaya kamu akan mendapati-Nya di hadapanmu. Kenalilah Allah pada masa lapangmu, nescaya Dia akan mengenalimu pada saat kesusahanmu. Apabila kamu meminta, mintalah kepada Allah dan apabila meminta pertolongan, mintalah pertolongan kepada Allah. Dan ketahuilah bahawa sekiranya seluruh umat berhimpun untuk menimpakan mudharat terhadap dirimu dengan sesuatu yang tidak ditetapkan oleh Allah kepadamu, nescaya mereka tidak akan mampu menimpakan mudharat itu kepadamu. Dan sekiranya mereka berhimpun untuk memberikan manfaat kepadamu dengan sesuatu yang tidak ditetapkan oleh Allah untukmu, nescaya mereka tidak mampu memberikan manfaat itu kepadamu. Lembaran-lembaran catatan telah kering dan pena-pena telah diangkat. Dan beramallah untuk Allah dengan segenap rasa syukur dalam keyakinan. Dan ketahuilah bahawa sesungguhnya dalam kesabaran terhadap apa yang tidak kamu sukai, namun terdapat kebaikan padanya. Dan sesungguhnya pertolongan (Allah) itu diperoleh dengan kesabaran, dan bahawasanya kemenangan itu bersama kesabaran, kesenangan itu bersama kesusahan dan setelah kesusahan terdapat kemudahan.”
(HR. Ahmad)
Ayat 39
قُلْ يَـٰقَوْمِ ٱعْمَلُوا۟ عَلَىٰ مَكَانَتِكُمْ إِنِّى عَـٰمِلٌ ۖ فَسَوْفَ تَعْلَمُونَ
Katakanlah (Muhammad), “Wahai kaumku, berbuatlah sesuai dengan keadaanmu, sesungguhnya aku akan berbuat (juga), maka kelak kamu akan mengetahui,
Ayat 40
مَن يَأْتِيهِ عَذَابٌ يُخْزِيهِ وَيَحِلُّ عَلَيْهِ عَذَابٌ مُّقِيمٌ
Siapa yang akan mendapat seksaan yang menghinakannya dan lagi ditimpa oleh azab yang kekal.”
Allah Swt memerintahkan Rasulullah saw memberi ancaman dan peringatan kepada kaum kafir musyrik dengan mengatakan bahawa mereka boleh berbuat sesuka hati dan berterusan memusuhi baginda dengan kekuatan yang mereka ada dan dengan segala tipu muslihat. Manakala baginda pula akan terus menyebarkan dakwahnya untuk mengajak manusia mengesakan-Nya.
Ayat ini merupakan ancaman kepada orang-orang kafir bahawa kelak mereka akan mengetahui siapa yang lebih baik kesudahannya dan siapa pula yang akan mendapat seksaan yang menghinakan di dunia dan seksaan yang terus menerus pada Hari Kiamat.
Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:
“Allah menjanjikan orang-orang munafik lelaki mahupun perempuan dan orang-orang kafir dengan Neraka Jahannam. Mereka itu kekal di dalamnya. Cukuplah (neraka) itu bagi mereka. Allah melaknat mereka dan mereka mendapat azab yang kekal.”
At-Taubah 9:68
“Maka Aku memperingatkan kamu dengan neraka yang menyala-nyala, tidak memasukinya kecuali orang-orang yang paling celaka.”
Al-Lail 92:14-15