Sesiapa Disesatkan Allah Swt Tiada Seorang Pun yang Boleh Memberikannya Petunjuk, Begitu pula Sebaliknya
Surah 39: Az-Zumar (36 – 37)
Ayat 36
أَلَيْسَ ٱللَّهُ بِكَافٍ عَبْدَهُۥ ۖ وَيُخَوِّفُونَكَ بِٱلَّذِينَ مِن دُونِهِۦ ۚ وَمَن يُضْلِلِ ٱللَّهُ فَمَا لَهُۥ مِنْ هَادٍ
Bukankah Allah cukup untuk melindungi hamba-hamba-Nya? Dan mereka menakut-nakutkan kamu dengan (sembahan-sembahan) yang selain Allah? Dan sesiapa yang disesatkan oleh Allah maka tidak ada seorang pun pemberi petunjuk baginya.
Allah Swt menyatakan bahawa Dia akan sentiasa melindungi dan mencukupkan hamba-hamba-Nya daripada keburukan yang datang daripada jin mahupun manusia. Ini kerana Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu.
Oleh itu, Allah Swt pasti akan melindungi Rasulullah saw dan menghindarkan segala bahaya yang datang daripada musuh-musuh baginda.
Ini kerana orang-orang musyrik menakut-nakutkan serta mengancam Rasulullah saw dengan menyatakan bahawa sembahan-sembahan dan berhala-berhala yang mereka sembah selain Allah Swt dapat membunuh atau menjadikan baginda gila. Padahal sembahan-sembahan mereka itu tidak akan dapat memberikan mudharat ataupun manfaat kepada sesiapa pun. Ini merupakan kejahilan dan kesesatan mereka.
Keadaan yang sama juga berlaku kepada Nabi Hud as. Baginda juga telah ditakut-takutkan oleh kaumnya dengan sembahan-sembahan mereka dan Allah Swt menyatakan jawapan baginda sebagaimana dalam firman-Nya:
“Kami hanya mengatakan bahawa sebahagian sembahan-sembahan kami telah mendatangkan penyakit gila kepadamu.” Dia (Hud) menjawab, “Sesungguhnya aku bersaksi kepada Allah dan saksikanlah bahawa aku berlepas diri daripada apa yang kamu persekutukan dengan yang lain, sebab itu lakukanlah semua tipu dayamu terhadapku dan jangan kamu tangguhkan lagi. Sesungguhnya aku bertawakkal kepada Allah, Rabbku dan Rabbmu. Tiada sesuatu pun makhluk bergerak (bernyawa) melainkan Dia-lah yang memegang ubun-ubunnya (menguasainya). Sesungguhnya, Rabbku di jalan yang lurus (adil).”
Hud 11:54-56
Ayat 37
وَمَن يَهْدِ ٱللَّهُ فَمَا لَهُۥ مِن مُّضِلٍّ ۗ أَلَيْسَ ٱللَّهُ بِعَزِيزٍ ذِى ٱنتِقَامٍ
Dan sesiapa yang diberi petunjuk oleh Allah, maka tidak ada seorang pun yang dapat menyesatkannya. Bukankah Allah Maha Perkasa lagi mempunyai (kekuasaan untuk) mengazab?
Sesungguhnya sesiapa yang hatinya sudah diberi petunjuk oleh Allah Swt, maka tidak akan ada seorang pun yang dapat menyesatkannya. Allah Swt Maha Perkasa dan mempunyai kekuasaan untuk menghukum orang-orang yang memilih kesesatan.