Surah 39: Az-Zumar (27 – 31)

Perumpamaan agar Manusia Memahami Erti Syirik

Surah 39: Az-Zumar (27 – 31)


Ayat 27

وَلَقَدْ ضَرَبْنَا لِلنَّاسِ فِى هَـٰذَا ٱلْقُرْءَانِ مِن كُلِّ مَثَلٍ لَّعَلَّهُمْ يَتَذَكَّرُونَ

Dan sesungguhnya, Kami benar-benar telah membuat pelbagai perumpamaan di dalam Al-Quran ini bagi manusia agar mereka mendapat pengajaran.

Allah Swt menyatakan bahawa Dia telah menerangkan di dalam Al-Quran kepada manusia, perkara-perkara yang berkaitan urusan agama dan keadaan generasi terdahulu dengan membuat pelbagai perumpamaan supaya menjadi peringatan dan pelajaran kepada mereka agar mereka bertakwa kepada-Nya dan meninggalkan kesesatan.

Ayat 28

قُرْءَانًا عَرَبِيًّا غَيْرَ ذِى عِوَجٍ لَّعَلَّهُمْ يَتَّقُونَ

Iaitu Al-Quran dalam bahasa Arab, tidak ada yang terpesong (di dalamnya) agar mereka bertakwa.

Allah Swt menurunkan Al-Quran dalam bahasa Arab yang lafaznya jelas dan maknanya mudah untuk difahami, tidak ada penyimpangan padanya, agar manusia bertakwa kepada-Nya dengan menjalankan perintah-perintah-Nya dan menjauhi larangan-larangan-Nya.

Ayat 29

ضَرَبَ ٱللَّهُ مَثَلًا رَّجُلًا فِيهِ شُرَكَآءُ مُتَشَـٰكِسُونَ وَرَجُلًا سَلَمًا لِّرَجُلٍ هَلْ يَسْتَوِيَانِ مَثَلًا ۚ ٱلْحَمْدُ لِلَّهِ ۚ بَلْ أَكْثَرُهُمْ لَا يَعْلَمُونَ

Allah membuat perumpamaan (iaitu) seorang lelaki (hamba) yang dimiliki oleh beberapa orang yang berkongsi yang dalam perselisihan dan seorang hamba yang menjadi milik penuh seorang (sahaja). Adakah kedua-dua hamba itu sama keadaannya? Segala puji bagi Allah, tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui.

Kemudian Allah Swt membuat perumpamaan untuk menggambarkan keadaan orang-orang mukmin yang mengesakan-Nya dengan orang-orang musyrik.

Perumpamaan itu adalah tentang seorang hamba sahaya yang mempunyai beberapa tuan yang saling berselisih dan bertelagah untuk mendapatkannya, sehinggakan hamba sahaya ini menjadi bingung untuk menyenangkan semua tuannya, kerana setiap tuannya itu mempunyai keinginan masing-masing. Begitu juga halnya dengan orang-orang musyrik dalam menyembah banyak ilah, tidak mungkin dia dapat menyenangkan semua ilahnya.

Kemudian Allah Swt membuat perumpamaan lain menggambarkan keadaan orang-orang mukmin yang mengesakan-Nya dengan seorang hamba sahaya yang hanya dimiliki sepenuhnya oleh seorang sahaja majikan. Hamba sahaya ini dengan mudah mengetahui apa yang diinginkan oleh majikannya dan dengan mudah pula dia menggembirakan majikannya.

Sesungguhnya perumpamaan tersebut sangat jelas dan nyata. Segala puji hanyalah semata-mata milik Allah Swt dengan tertegaknya hujjah kepada mereka. Namun kebanyakan manusia tidak mengetahui perbezaan tersebut sehingga mereka menyekutukan-Nya dengan yang lain.

Allah Swt berfirman dalam ayat-ayat yang lain:

“Dia membuat perumpamaan untuk kamu daripada dirimu sendiri. Apakah (kamu redha jika) ada di antara hamba sahaya yang kamu miliki, menjadi sekutu bagimu dalam (memiliki) rezeki yang telah Kami berikan kepadamu, sehingga kamu menjadi setara dengan mereka dalam (hak menggunakan) rezeki itu, lalu kamu takut kepada mereka sebagaimana kamu takut sesama kamu? Demikianlah Kami jelaskan ayat-ayat bagi kaum yang berakal.”

Ar-Rum 30:28

“Dan perumpamaan-perumpamaan ini Kami buat untuk manusia, namun tidak ada yang memahaminya kecuali mereka yang berilmu.”

Al-‘Ankabut 29:43

Ayat 30

إِنَّكَ مَيِّتٌ وَإِنَّهُم مَّيِّتُونَ

Sesungguhnya engkau (Muhammad) akan mati dan mereka (juga) akan mati.

Oleh sebab kebodohan kebanyakan manusia yang tidak dapat membezakan antara kebenaran dengan kesesatan dan tidak mahu mengambil manfaat daripada perumpamaan tersebut, Allah Swt seterusnya dalam ayat ini menyebut tentang kematian semua makhluk-Nya termasuk Rasulullah saw dan semuanya akan kembali kepada-Nya.

Ayat inilah yang dijadikan dalil oleh Abu Bakar As-Siddiq ra untuk menjelaskan tentang wafatnya Rasullullah saw sehingga kaum mukmin dapat menerima kebenaran bahawa baginda telah wafat dengan disertai ayat, “Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul, sungguh telah berlalu sebelumnya beberapa orang Rasul. Adakah jika dia wafat atau dibunuh kamu berbalik ke belakang (murtad)? Sesiapa yang berbalik ke belakang, maka ia tidak dapat mendatangkan mudharat kepada Allah sedikitpun, dan Allah akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur.” (Ali ‘Imran 3:144)

Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“Kami tidak menjadikan hidup abadi bagi seorang manusia pun sebelum engkau (Muhammad), maka jikalau engkau mati, apakah mereka akan kekal? Setiap yang bernyawa akan merasakan mati. Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai ujian. Dan hanya kepada Kami-lah kamu dikembalikan.”

Al-Anbiya’ 21:34-35

Ayat 31

ثُمَّ إِنَّكُمْ يَوْمَ ٱلْقِيَـٰمَةِ عِندَ رَبِّكُمْ تَخْتَصِمُونَ

Kemudian sesungguhnya kamu pada Hari Kiamat akan berbantah-bantah di hadapan Rabbmu.

Kemudian Allah Swt menyatakan bahawa telah menjadi kepastian setiap manusia akan berpindah dari negeri dunia ke negeri akhirat dan berkumpul di hadapan-Nya. Ketika itu, mereka berbantah-bantah tentang keadaan mereka di dunia dahulu berkaitan dengan tauhid dan syirik. Sesungguhnya Dia akan memberi keputusan dan menyatakan kebenaran kepada mereka terhadap apa yang mereka perselisihkan. Dia akan menghakimi hamba-hamba-Nya dengan seadil-adilnya iaitu Dia akan menyelamatkan orang-orang mukmin dan mengazab orang-orang kafir yang ingkar, musyrik dan yang mendustakan-Nya.

Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“Dan (ingatlah), ketika mereka berbantah-bantah dalam neraka, maka orang-orang yang lemah berkata kepada orang-orang yang menyombongkan diri, ‘Sesungguhnya kami dahulu adalah pengikut-pengikutmu, maka dapatkah kamu melepaskan sebahagian (azab) api neraka yang menimpa kami?’”

Al-Mu’min 40:47

Ketika turun ayat ini, “Kemudian sesungguhnya kamu pada Hari Kiamat akan berbantah-bantah di hadapan Rabbmu,” Az-Zubair bin Al-Awwam ra bertanya kepada Rasulullah saw,

“Wahai Rasulullah, adakah diulang lagi perselisihan di antara kami berkenaan dengan dosa-dosa yang khusus?” Maka baginda menjawab:

“Ya, tentu akan diulang bagi kalian, hingga hak seseorang akan dikembalikan kepada yang memilikinya.” Az-Zubair berkata, “Jika demikian, sungguh berat perkara ini.”

(HR. Ahmad)