Surah 39: Az-Zumar (23)

Al-Quran sebagai Pemberi Petunjuk kepada Manusia

Surah 39: Az-Zumar (23)


Ayat 23

ٱللَّهُ نَزَّلَ أَحْسَنَ ٱلْحَدِيثِ كِتَـٰبًا مُّتَشَـٰبِهًا مَّثَانِىَ تَقْشَعِرُّ مِنْهُ جُلُودُ ٱلَّذِينَ يَخْشَوْنَ رَبَّهُمْ ثُمَّ تَلِينُ جُلُودُهُمْ وَقُلُوبُهُمْ إِلَىٰ ذِكْرِ ٱللَّهِ ۚ ذَٰلِكَ هُدَى ٱللَّهِ يَهْدِى بِهِۦ مَن يَشَآءُ ۚ وَمَن يُضْلِلِ ٱللَّهُ فَمَا لَهُۥ مِنْ هَادٍ

Allah telah menurunkan perkataan yang paling baik (iaitu) Al-Quran yang serupa (mutu ayat-ayatnya) lagi berulang-ulang, kerananya gementar kulit orang-orang yang takut kepada Rabb mereka, kemudian hati mereka menjadi tenang ketika mengingati Allah. Itulah petunjuk Allah, dengan kitab itu Dia memberi petunjuk kepada sesiapa sahaja yang Dia kehendaki. Dan sesiapa yang dibiarkan sesat oleh Allah, maka tidak ada seorang pun yang akan dapat memberinya petunjuk.

Allah Swt menyatakan bahawa Al-Quran yang diturunkan-Nya adalah sebaik-baik perkataan yang mampu melapangkan dada, mengandungi banyak kebaikan, keberkatan dan manfaat baik secara umum mahupun secara khusus.

Mujahid mengatakan keseluruhan ayat-ayat Al-Quran itu memiliki persamaan dan berulang-ulang. Qatadah mengatakan ayat yang satu menyerupai ayat yang lain, begitu juga huruf-hurufnya. Ad-Dahhak pula mengatakan maksud firman Allah itu berulang-ulang agar manusia boleh memahami kalam (ucapan) Rabb mereka Yang Maha Tinggi.

‘Ikrimah dan Al-Hasan mengatakan, Allah Swt mengulang-ulang sesuatu ketetapan atau ketentuan hukum. Al-Hasan menambah, terdapat satu ayat dalam satu surah serupa dengan ayat lain yang terdapat dalam surah yang lain.

Sa’id ibnu Jubair telah meriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas ra, mengatakan bahawa maksud “masani” ialah sebahagian daripada Al-Quran serupa dengan sebahagian yang lainnya dan satu sama lainnya saling memberikan jawapan.

Sebahagian ulama mengatakan, adakalanya disebutkan sesuatu dan yang berlawanan dengannya, seperti penyebutan tentang orang-orang mukmin dan disusul dengan sebutan tentang orang-orang kafir, sebutan tentang gambaran syurga dan gambaran neraka, dan perkara-perkara yang lain, maka yang ini dinamakan “masani,” seperti yang terdapat pada firman-firman-Nya:

“Sesungguhnya orang-orang yang banyak berbakti benar-benar berada dalam syurga yang penuh kenikmatan, dan sesungguhnya orang-orang yang derhaka benar-benar berada dalam neraka.”

Al-Infitar 82:13-14

“Sekali-kali jangan curang, kerana sesungguhnya kitab orang-orang yang derhaka tersimpan dalam Sijjin. Sekali-kali tidak, sesungguhnya kitab orang-orang yang berbakti itu (tersimpan) dalam ‘Illiyyin.”

Al-Mutaffifin 83:17-18

Al-Quran adalah hidayah daripada Allah Swt. Dia memberikan petunjuk kepada sesiapa yang Dia kehendaki dan sesiapa yang disesatkan oleh-Nya daripada beriman kepada Al-Quran kerana kekafiran dan penentangannya, maka tidak ada seorang pun yang dapat memberinya hidayah dan taufik.

Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman ialah mereka yang bila disebut nama Allah gemetarlah hati mereka, dan apabila dibacakan ayat-ayat-Nya bertambahlah iman mereka (kerananya), dan hanya kepada Rabblah mereka bertawakkal. Itulah orang-orang yang beriman dengan sebenar-benarnya. Mereka akan memperoleh beberapa darjat (ketinggian) di sisi Rabb mereka dan keampunan serta rezeki (nikmat) yang mulia.”

Al-Anfal 8:2-4

“Dan orang-orang yang apabila diberikan peringatan dengan ayat-ayat Rabb mereka, mereka tidak bersikap sebagai orang-orang yang tuli dan buta.”

Al-Furqan 25:73

“………………Allah memberi petunjuk kepada orang yang Dia kehendaki, dan Allah lebih mengetahui orang-orang yang mahu menerima petunjuk.”

Al-Qasas 28:56