Surah 39: Az-Zumar (9)

Tidaklah Sama Orang yang Mengetahui dengan Orang yang Tidak Mengetahui

Surah 39: Az-Zumar (9)


Ayat 9

أَمَّنْ هُوَ قَـٰنِتٌ ءَانَآءَ ٱلَّيْلِ سَاجِدًا وَقَآئِمًا يَحْذَرُ ٱلْـَٔاخِرَةَ وَيَرْجُوا۟ رَحْمَةَ رَبِّهِۦ ۗ قُلْ هَلْ يَسْتَوِى ٱلَّذِينَ يَعْلَمُونَ وَٱلَّذِينَ لَا يَعْلَمُونَ ۗ إِنَّمَا يَتَذَكَّرُ أُو۟لُوا۟ ٱلْأَلْبَـٰبِ

(Apakah kamu wahai orang musyrik yang lebih beruntung) atau orang yang beribadat pada waktu malam dengan sujud dan berdiri, kerana takut kepada (azab) akhirat dan mengharapkan rahmat Rabbnya? Katakanlah, “Apakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?” Sesungguhnya orang yang berakallah yang dapat menerima pelajaran.

Allah Swt menjelaskan bahawa orang yang beriman, taat kepada Rabb-Nya dengan beribadah dan mengerjakan solat kerana takut dan mengharapkan rahmat-Nya, tidaklah sama dengan orang yang menyekutukan-Nya. Sesungguhnya hanya orang-orang yang berakal sihat dan mampu mengambil pengajaran yang dapat melihat kebenaran ini.

Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“Mereka itu tidak (semuanya) sama. Antara ahli kitab ada golongan yang jujur, mereka membaca ayat-ayat Allah pada malam hari, dan mereka (juga) bersujud (solat).”

Ali ‘Imran 3:113

Setiap hamba Allah perlu memiliki dua perasaan ini iaitu harap dan takut sebagaimana yang diriwayatkan oleh Anas ra bahawa Rasulullah saw menemui seorang yang sedang menghadapi ajal dan bertanya, “Bagaimana keadaanmu?” Orang itu menjawab, “Saya berharap dan takut.” Lalu baginda bersabda:

“Tidaklah kedua-dua sifat ini berhimpun dalam hati seorang hamba pada keadaan seperti ini kecuali Allah berikan apa yang dia harapkan (berupa rahmat-Nya), dan Allah berikan keamanan bagi orang ini daripada apa yang dia takutkan (seksaan-Nya).”

(HR. ‘Abd bin Hamid)