Surah 39: Az-Zumar (5 – 6)

Antara Kekuasaan Allah Swt dalam Penciptaan-Nya

Surah 39: Az-Zumar (5 – 6)


Ayat 5

خَلَقَ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضَ بِٱلْحَقِّ ۖ يُكَوِّرُ ٱلَّيْلَ عَلَى ٱلنَّهَارِ وَيُكَوِّرُ ٱلنَّهَارَ عَلَى ٱلَّيْلِ ۖ وَسَخَّرَ ٱلشَّمْسَ وَٱلْقَمَرَ ۖ كُلٌّ يَجْرِى لِأَجَلٍ مُّسَمًّى ۗ أَلَا هُوَ ٱلْعَزِيزُ ٱلْغَفَّـٰرُ

Dia menciptakan langit dan bumi dengan (tujuan) yang benar, Dia menutupkan malam ke dalam siang dan menutupkan siang ke dalam malam dan menundukkan matahari dan bulan, masing-masing berjalan menurut waktu yang ditentukan. Ketahuilah, Dia-lah Yang Maha Perkasa lagi Maha Pengampun.

Allah Swt menerangkan tentang bukti-bukti keesaan-Nya dan kesempurnaan kekuasaan-Nya melalui penciptaan-Nya. Dia Maha Kaya yang tidak memerlukan sesiapa pun daripada makhluk-Nya sebagai sekutu-Nya dalam penciptaan makhluk-Nya. Antara bukti kekuasaan-Nya ialah:

▪️   Allah Swt menciptakan langit dan bumi serta apa yang ada di antara kedua-duanya.

Allah Swt menciptakan langit dan bumi serta apa yang ada di antara kedua-duanya dengan hak. Dia mendatangkan malam lalu menghilangkan siang, dan kemudian Dia mendatangkan siang, lalu menghilangkan malam.

Allah Swt juga menundukkan matahari dan bulan dengan mengikut aturan-Nya untuk kemaslahatan hamba-hamba-Nya. Masing-masing beredar pada orbit sendiri sehingga tiba Hari Kiamat.

Sesungguhnya, Allah Swt melakukan semua ini adalah kerana rahmat dan kasih sayang-Nya kepada makhluk-Nya. Dia Maha Pengampun terhadap dosa hamba-hamba-Nya yang mahu bertaubat kepada-Nya.

Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:

“Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi orang-orang yang berakal.”

Ali ‘Imran 3:190

“Dia menyingsingkan fajar dan menjadikan malam untuk beristirahat, dan (menjadikan) matahari dan bulan untuk perhitungan. Itulah ketentuan Allah Yang Maha Perkasa lagi Maha Mengetahui.”

Al-An’am 6:96

“Sesungguhnya penciptaan langit dan bumi lebih besar daripada penciptaan manusia, akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.”

Ghafir 40:57

Ayat 6

خَلَقَكُم مِّن نَّفْسٍ وَٰحِدَةٍ ثُمَّ جَعَلَ مِنْهَا زَوْجَهَا وَأَنزَلَ لَكُم مِّنَ ٱلْأَنْعَـٰمِ ثَمَـٰنِيَةَ أَزْوَٰجٍ ۚ يَخْلُقُكُمْ فِى بُطُونِ أُمَّهَـٰتِكُمْ خَلْقًا مِّنۢ بَعْدِ خَلْقٍ فِى ظُلُمَـٰتٍ ثَلَـٰثٍ ۚ ذَٰلِكُمُ ٱللَّهُ رَبُّكُمْ لَهُ ٱلْمُلْكُ ۖ لَآ إِلَـٰهَ إِلَّا هُوَ ۖ فَأَنَّىٰ تُصْرَفُونَ

Dia menciptakan kamu daripada diri yang satu (Adam) kemudian daripadanya Dia jadikan pasangannya dan Dia menurunkan untuk kamu lapan pasang binatang ternak. Dia menjadikan kamu dalam perut ibumu kejadian demi kejadian dalam tiga kegelapan. Yang (berbuat) demikian itu adalah Allah, Rabb kamu, Rabb yang mempunyai kerajaan. Tidak ada Ilah (yang berhak diibadahi dengan benar) selain Dia. Maka bagaimana kamu dapat dipalingkan?

Dalam ayat sebelum ini, Allah Swt menjelaskan tentang kekuasaan-Nya menciptakan langit dan bumi. Dalam ayat ini pula, Dia menjelaskan tentang kekuasaan-Nya dalam penciptaan-Nya yang lain iaitu penciptaan segala yang ada di bumi, antaranya:

▪️   Mencipta dan mengembangbiakkan keturunan manusia.

Allah Swt menyatakan bahawa Dia menciptakan manusia daripada manusia pertama iaitu Nabi Adam as. Kemudian daripadanya diciptakan pula isterinya daripada jenis yang sama dengannya dan seterusnya daripada kedua-duanya Dia mengembangbiakkan manusia menjadi ramai dengan pelbagai bangsa, bahasa dan warna kulit.

Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“Wahai manusia, bertakwalah kepada Rabbmu yang telah menciptakan kamu daripada diri yang satu (Adam), dan (Allah) menciptakan pasangannya (Hawa) daripada (diri)nya, dan daripada kedua-duanya, Allah mengembangbiakkan lelaki dan perempuan yang banyak……….”

An-Nisa’ 4:1

▪️   Penciptaan binatang ternakan.

Allah Swt menyatakan bahawa Dia menciptakan untuk manusia lapan ekor binatang ternakan yang berpasangan daripada sepasang kambing biri-biri, sepasang kambing, sepasang unta dan sepasang lembu. Ini juga dinyatakan dalam firman-Nya yang lain:

“(Iaitu) lapan binatang yang berpasangan, sepasang daripada kambing biri-biri dan sepasang daripada kambing. Katakanlah, ‘Adakah dua yang jantan yang diharamkan Allah atau adakah dua yang betina, atau adakah yang ada dalam kandungan dua betinanya.’ Terangkanlah kepadaku dengan berdasarkan pengetahuan jika kamu memang orang-orang yang benar, dan sepasang daripada unta dan sepasang daripada lembu………….”

Al-An’am 6:143-144

▪️   Mencipta manusia dalam beberapa peringkat kejadian.

Selanjutnya, Allah Swt menjelaskan tentang kekuasaan-Nya menciptakan manusia dari dalam rahim ibu yang melalui beberapa peringkat kejadian.

Kejadian pertama ialah setitis air mani (nutfah), kemudian menjadi segumpal darah (‘alaqah) kemudian menjadi segumpal daging (mudghah), lalu terbentuklah tulang. Kemudian setelah itu tulang-tulang itu ditutupi dengan daging dan ditiupkan roh ke dalamnya, maka jadilah dia seorang manusia dalam sebaik-baik bentuk. Fasa penciptaan tersebut terjadi dalam tiga tahap kegelapan.

Ibnu ‘Abbas ra, Mujahid, ‘Ikrimah, Ad-Dahhak, dan sebahagian lagi para mufassir mengatakan maksud, “tiga kegelapan,” dalam ayat ini ialah kegelapan dalam perut, kegelapan dalam rahim dan kegelapan dalam selaput yang menutup janin dalam rahim.

Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“Kemudian air mani itu Kami jadikan segumpal darah, lalu segumpal darah itu Kami jadikan segumpal daging, dan segumpal daging itu Kami jadikan tulang belulang, lalu tulang belulang itu Kami bungkus dengan daging. Kemudian Kami jadikan dia makhluk yang (berbentuk) lain. Maka Maha Suci Allah, Pencipta yang paling baik.”

Al-Mu’minun 23:14

Ayat ini sebagaimana ayat sebelumnya adalah untuk mengajak manusia agar berfikir dan beriman kepada Allah Swt Yang Maha Esa, yang Mengadakan, Mencipta dan Berkuasa atas segala sesuatu. Oleh itu, bagaimana manusia boleh dipalingkan dan menyembah kepada selain-Nya sedangkan telah jelas dan terpampang segala bukti-bukti bahawa hanya Dia-lah yang berhak diibadahi.