Surah 39: Az-Zumar (3 – 4)

Perintah supaya Bertauhid serta Larangan Melakukan Syirik

Surah 39: Az-Zumar (3 – 4)


Ayat 3

أَلَا لِلَّهِ ٱلدِّينُ ٱلْخَالِصُ ۚ وَٱلَّذِينَ ٱتَّخَذُوا۟ مِن دُونِهِۦٓ أَوْلِيَآءَ مَا نَعْبُدُهُمْ إِلَّا لِيُقَرِّبُونَآ إِلَى ٱللَّهِ زُلْفَىٰٓ إِنَّ ٱللَّهَ يَحْكُمُ بَيْنَهُمْ فِى مَا هُمْ فِيهِ يَخْتَلِفُونَ ۗ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يَهْدِى مَنْ هُوَ كَـٰذِبٌ كَفَّارٌ

Ingatlah, hanya kepunyaan Allah-lah agama yang bersih (daripada syirik). Dan orang-orang yang mengambil pelindung selain-Nya (berkata), “Kami tidak menyembah mereka melainkan supaya mereka mendekatkan Kami kepada Allah dengan sedekat-dekatnya.” Sesungguhnya Allah akan memutuskan di antara mereka tentang apa yang mereka perselisihkan. Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk orang-orang yang pendusta dan sangat ingkar.

Allah Swt menyatakan tidak akan diterima amalan seseorang kecuali dia ikhlas kerana-Nya semata-mata dengan memurnikan peribadatan hanya kepada-Nya.

Allah Swt juga menyatakan bahawa orang-orang kafir musyrikin menyembah berhala dengan anggapan bahawa sembahan itu akan memberi syafaat kepada mereka dan akan mendekatkan mereka di sisi-Nya. Allah Swt tidak meredhai perbuatan mereka dan Dia telah mengutus para Rasul supaya menjelaskan kekeliruan mereka dan menyeru mereka agar memurnikan ibadah hanya kepada-Nya dan tidak menyekutukan-Nya sebagaimana firman-Nya:

“Dan sesungguhnya Kami telah mengutus Rasul pada tiap-tiap umat (untuk menyerukan), ‘Sembahlah Allah (sahaja), dan jauhilah taghut itu,’……………….”

An-Nahl 16:36

Kelak di akhirat, Allah Swt akan memberikan keputusan dan balasan kepada para makhluk-Nya sesuai dengan perbuatan mereka, sebagaimana firman-Nya:

“Dan (ingatlah) hari (ketika) Allah mengumpulkan mereka semuanya kemudian Allah berfirman kepada para malaikat, ‘Apakah mereka ini dahulu menyembah kamu?’ Para malaikat itu menjawab, ‘Maha Suci Engkau. Engkaulah Pelindung Kami, bukan mereka, bahkan mereka telah menyembah jin, kebanyakan mereka beriman kepada jin itu.’”

Saba’ 34:40-41

Allah Swt seterusnya menyatakan bahawa Dia tidak akan membimbing seseorang kepada hidayah selagi orang itu menjadikan kebohongan terhadap-Nya sebagai tujuan dan dalam masa yang sama hatinya mengingkari ayat-ayat-Nya, hujjah dan bukti-bukti daripada-Nya.

Ayat 4

لَّوْ أَرَادَ ٱللَّهُ أَن يَتَّخِذَ وَلَدًا لَّٱصْطَفَىٰ مِمَّا يَخْلُقُ مَا يَشَآءُ ۚ سُبْحَـٰنَهُۥ ۖ هُوَ ٱللَّهُ ٱلْوَٰحِدُ ٱلْقَهَّارُ

Sekiranya Allah hendak mengambil anak, tentu Dia akan memilih mana-mana yang dikehendaki-Nya daripada makhluk yang telah diciptakan-Nya. Maha Suci Dia. Dia-lah Allah yang Maha Esa lagi Maha Mengalahkan.

Seterusnya, Allah Swt menegaskan bahawa Dia tidak mempunyai anak, sebagaimana dakwaan orang-orang musyrik yang bodoh. Mereka mengatakan malaikat adalah anak-anak perempuan-Nya. Manakala kaum Yahudi mendakwa ‘Uzair adalah anak Allah dan kaum Nasrani pula mengatakan Nabi ‘Isa as adalah anak-Nya. Maha Suci Allah daripada apa yang mereka katakan itu. Sesungguhnya Dia Maha Esa, tidak memerlukan kepada sesuatu yang lain dan Maha Menundukkan segala sesuatu.

Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:

“Dan mereka berkata, “(Allah) Yang Maha Pengasih mempunyai anak.” Demi sesungguhnya, kamu telah membawa sesuatu yang sangat mungkar. Hampir sahaja langit pecah dan bumi terbelah, serta gunung-gunung runtuh disebabkan ucapan itu. Kerana mereka menganggap (Allah) Yang Maha Pengasih mempunyai anak. Dan tidak mungkin bagi (Allah) Yang Maha Pengasih mempunyai anak.”

Maryam 19:88-92

“Allah tidak mempunyai anak, dan tidak ada ilah (yang lain) bersama-Nya, kalau ada ilah bersama-Nya, masing-masing ilah itu akan membawa makhluk yang diciptakannya, dan sebahagian daripada ilah-ilah itu akan mengalahkan sebahagian yang lain. Maha Suci Allah daripada apa yang mereka sifatkan itu.”

Al-Mu’minun 23:91