Surah 38: Sad (71 – 85)

Kisah Nabi Adam as dan Iblis yang Terkutuk

Surah 38: Sad (71 – 85)


Ayat 71

إِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلَـٰٓئِكَةِ إِنِّى خَـٰلِقٌۢ بَشَرًا مِّن طِينٍ

(Ingatlah) ketika Rabbmu berfirman kepada malaikat, “Sesungguhnya Aku akan menciptakan manusia daripada tanah.”

Ini adalah kisah yang telah disebutkan oleh Allah Swt dalam beberapa surah lain bahawasanya Dia telah memberitahu para malaikat sebelum penciptaan Nabi Adam as, bahawa Dia akan mencipta manusia (khalifah) daripada tanah, sebagaimana firman-firman-Nya:

“Ingatlah ketika Rabbmu berfirman kepada para malaikat, ‘Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi.’………”

Al-Baqarah 2:30

“Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia daripada saripati yang (berasal) dari tanah.”

Al-Mu’minun 23:12

“Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia (Adam) daripada tanah liat kering (yang berasal) daripada lumpur hitam yang diberi bentuk.”

Al-Hijr 15:26

Ayat 72

فَإِذَا سَوَّيْتُهُۥ وَنَفَخْتُ فِيهِ مِن رُّوحِى فَقَعُوا۟ لَهُۥ سَـٰجِدِينَ

Maka apabila telah Aku sempurnakan kejadiannya dan Aku tiupkan kepadanya roh (ciptaan)-Ku, maka hendaklah kamu semua tunduk merendah diri dengan bersujud kepada-Nya.

Setelah selesai menyempurnakan kejadian dan menghidupkan daripada benda yang mati, Allah Swt memerintahkan semuanya sujud kepada Nabi Adam as sebagai penghormatan dan arahan ini adalah wajib diikuti.

Ayat 73

فَسَجَدَ ٱلْمَلَـٰٓئِكَةُ كُلُّهُمْ أَجْمَعُونَ

Lalu malaikat itu semuanya bersujud kepadanya.

Ayat 74

إِلَّآ إِبْلِيسَ ٱسْتَكْبَرَ وَكَانَ مِنَ ٱلْكَـٰفِرِينَ

Kecuali iblis, ia menyombongkan diri dan ia termasuk golongan yang kafir.

Seluruh malaikat sujud kepada Nabi Adam as atas arahan Allah Swt kecuali Iblis laknatullah yang menolak untuk sujud kerana kesombongannya.

Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain,

“Dan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepada para malaikat, “Sujudlah kamu kepada Adam,” maka sujudlah mereka kecuali iblis.”

Al-Baqarah 2:34

“Dan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepada para malaikat, “Sujudlah kamu kepada Adam,” maka sujudlah mereka kecuali iblis. Dia adalah daripada golongan jin, maka dia menderhakai perintah Rabbnya……….”

Al-Kahfi 18:50

Ayat 75

قَالَ يَـٰٓإِبْلِيسُ مَا مَنَعَكَ أَن تَسْجُدَ لِمَا خَلَقْتُ بِيَدَىَّ ۖ أَسْتَكْبَرْتَ أَمْ كُنتَ مِنَ ٱلْعَالِينَ

Allah berfirman, “Wahai Iblis, apakah yang menghalang kamu sujud kepada manusia yang telah Aku ciptakan dengan kedua-dua tangan-Ku. Apakah kamu menyombongkan diri atau apakah kamu (rasa) kamu termasuk orang-orang yang (lebih) tinggi?”

Ayat 76

قَالَ أَنَا۠ خَيْرٌ مِّنْهُ ۖ خَلَقْتَنِى مِن نَّارٍ وَخَلَقْتَهُۥ مِن طِينٍ

Iblis berkata, “Aku lebih baik daripadanya, kerana Engkau ciptakan aku daripada api, sedangkan dia Engkau ciptakan daripada tanah.”

Iblis menolak untuk sujud kerana menurut persangkaannya api lebih baik dari tanah. Iblis telah keliru dalam persangkaannya itu, lalu ia telah mengingkari perintah Allah Swt dan menjadi kafir kerananya.

Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:

“Allah berfirman, ‘Apakah yang menghalangimu untuk bersujud (kepada Adam) ketika Aku menyuruhmu?’ Iblis menjawab, ‘Aku lebih baik daripadanya, Engkau ciptakan aku daripada api sedangkan dia Engkau ciptakan daripada tanah.’”

Al-A’raf 7:12

“Dan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepada malaikat, ‘Sujudlah kamu semua kepada Adam,’ lalu mereka sujud kecuali Iblis. Ia (Iblis) berkata, ‘Patutkah aku sujud kepada (makhluk) yang Engkau jadikan daripada tanah?’”

Al-Isra’ 17:6

Ayat 77

قَالَ فَٱخْرُجْ مِنْهَا فَإِنَّكَ رَجِيمٌ

Allah berfirman, “Kalau begitu keluarlah kamu darinya (syurga), sesungguhnya kamu adalah makhluk yang terkutuk.

Ayat 78

وَإِنَّ عَلَيْكَ لَعْنَتِىٓ إِلَىٰ يَوْمِ ٱلدِّينِ

Dan sesungguhnya kamu ditimpa laknat-Ku terus menerus hingga ke Hari Pembalasan.”

Oleh sebab Iblis laknatullah dengan kesombongannya telah mengingkari perintah tersebut, maka Allah Swt menjauhkannya daripada pintu rahmat-Nya, lalu mengusir dan menurunkannya dari langit sebagai makhluk yang terhina.

Pengusiran itu bersifat kekal hingga ke Hari Pembalasan. Pada Hari Akhirat kelak, Iblis akan dihukum dan diazab dalam Neraka Jahannam.

Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“(Dia) Allah berfirman (kepada Iblis), ‘Pergilah, tetapi sesiapa di antara mereka yang mengikutimu, maka sesungguhnya Neraka Jahannamlah balasan kamu semua, sebagai pembalasan yang sempurna.’”

Al-Isra’ 17:63

Ayat 79

قَالَ رَبِّ فَأَنظِرْنِىٓ إِلَىٰ يَوْمِ يُبْعَثُونَ

Iblis berkata, “Wahai Rabbku, jika demikian, berilah tangguh kepadaku hingga ke hari mereka dibangkitkan (Hari Kiamat).”

Iblis laknatullah memohon kepada Allah Swt agar dibiarkannya hidup sehingga Nabi Adam as dan anak cucunya dibangkitkan kembali setelah kematian. Ini kerana ia ingin menggoda anak cucu Nabi Adam as agar bermaksiat dan mensyirikkan Allah Swt.

Ayat 80

قَالَ فَإِنَّكَ مِنَ ٱلْمُنظَرِينَ

Allah berfirman, “Maka sesungguhnya kamu termasuk golongan yang diberi tangguh,

Ayat 81

إِلَىٰ يَوْمِ ٱلْوَقْتِ ٱلْمَعْلُومِ

Sehingga kepada hari yang telah ditentukan waktunya (Hari Kiamat).”

Kemudian Allah Swt menerima permohonan Iblis tersebut dengan mengatakan bahawa ia termasuk golongan yang diberi penangguhan dengan dipanjangkan umurnya dan ditangguhkan kematiannya sehingga sampai pada hari yang telah ditentukan waktunya, iaitu Hari Kiamat.

Penerimaan permohonan Iblis ini juga merupakan ujian Allah Swt kepada hamba-hamba-Nya untuk menguji siapa di antara mereka yang mentaati perintah-Nya dan siapa yang mengikuti langkah Iblis.

Ayat 82

قَالَ فَبِعِزَّتِكَ لَأُغْوِيَنَّهُمْ أَجْمَعِينَ

(Iblis) menjawab, “Demi kekuasaan-Mu, aku akan menyesatkan mereka semuanya,

Ayat 83

إِلَّا عِبَادَكَ مِنْهُمُ ٱلْمُخْلَصِينَ

Kecuali hamba-hamba-Mu yang terpilih di antara mereka.”

Kemudian Iblis laknatullah bersumpah bahawa ia akan menyesatkan anak cucu Nabi Adam as, menyelewengkan akidah mereka, menghiaskan maksiat sehingga menjadi sesuatu yang kelihatan indah dan baik serta membuat tipu daya kepada mereka dengan pelbagai cara.

Walau bagaimanapun Iblis tidak akan berjaya menyesatkan orang-orang yang telah dipilih oleh Allah Swt untuk mentaati-Nya dengan penuh keikhlasan.

Hamba-hamba yang terpilih adalah orang-orang yang telah diberikan taufik untuk menerima segala petunjuk dan mentaati segala perintah Allah Swt.

Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:

“Sesungguhnya syaitan itu tidak ada kekuasaannya atas orang-orang yang beriman dan bertawakal kepada Rabb mereka. Sesungguhnya kekuasaannya (syaitan) hanyalah terhadap orang-orang yang mengambilnya jadi pemimpin dan orang-orang yang menyekutukannya dengan Allah.”

An-Nahl 16:99-100

“Sesungguhnya tidak ada kekuasaan bagimu (iblis) terhadap hamba-hamba-Ku (yang beriman), kecuali mereka yang mengikut kamu, iaitu orang-orang yang sesat.”

Al-Hijr 15:42

Ayat 84

قَالَ فَٱلْحَقُّ وَٱلْحَقَّ أَقُولُ

(Allah) berfirman, “Maka yang benar (adalah sumpah-Ku) dan hanya kebenaran itulah yang Aku katakan.

Ayat 85

لَأَمْلَأَنَّ جَهَنَّمَ مِنكَ وَمِمَّن تَبِعَكَ مِنْهُمْ أَجْمَعِينَ

Sesungguhnya Aku pasti akan memenuhi Neraka Jahannam dengan jenis kamu dan dengan orang-orang yang mengikuti kamu di antara mereka kesemuanya.”

Kemudian Allah Swt menyatakan bahawa kebenaran itu adalah datang daripada-Nya. Dia akan memenuhi Neraka Jahannam dengan Iblis dan keturunannya serta anak cucu Nabi Adam as yang mengikutinya dalam kesesatan.

Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:

“Dia (Allah) berfirman (kepada Iblis) ‘Pergilah, tetapi sesiapa di antara mereka yang mengikuti kamu, maka sesungguhnya Neraka Jahannam adalah balasan kamu semua, sebagai pembalasan yang sempurna.’”

Al-Isra’ 17:63

“……….akan tetapi telah tetaplah perkataan daripada-Ku, ‘Pasti akan Aku penuhi Neraka Jahannam dengan jin dan manusia semuanya (yang kufur).’”

As-Sajdah 32:13