Nabi Muhammad saw Hanyalah Pemberi Peringatan
Surah 38: Sad (65 – 70)
Ayat 65
قُلْ إِنَّمَآ أَنَا۠ مُنذِرٌ ۖ وَمَا مِنْ إِلَـٰهٍ إِلَّا ٱللَّهُ ٱلْوَٰحِدُ ٱلْقَهَّارُ
Katakanlah (wahai Muhammad), “Sesungguhnya aku hanya seorang pemberi peringatan, dan sekali-kali tidak ada Ilah (yang berhak diibadahi dengan benar) selain Allah yang Maha Esa dan Maha Mengalahkan.
Allah Swt memerintahkan Rasulullah saw menyatakan bahawa baginda diutuskan adalah untuk memberi peringatan kepada kaumnya agar mereka terselamat daripada azab-Nya.
Sesungguhnya tiada Ilah yang berhak diibadahi selain-Nya. Dia-lah Yang Maha Esa dalam keagungan, nama-nama, sifat-sifat dan perbuatan-Nya. Dia juga Maha Perkasa yang menundukkan dan mengalahkan segala sesuatu.
Ayat 66
رَبُّ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ وَمَا بَيْنَهُمَا ٱلْعَزِيزُ ٱلْغَفَّـٰرُ
(Iaitu) Rabb langit dan bumi dan apa yang ada di antara kedua-duanya, Yang Maha Perkasa lagi Maha Pengampun.
Kemudian Allah Swt menyatakan sifat-sifat-Nya yang menunjukkan keesaan, kebesaran, rahmat, kurniaan dan kemuliaan-Nya, iaitu:
▪️ Allah Swt adalah Pencipta langit dan bumi serta apa di antara kedua-duanya. Dia menguasai segalanya.
▪️ Allah Swt Maha Perkasa.
Allah Ta’ala Maha Kuat dan tiada tandingannya. Dia mengalahkan segala sesuatu dan tiada yang dapat mengalahkan-Nya.
▪️ Allah Swt Maha Pengampun.
Allah Swt menetapkan balasan, Dia Maha Pengampun terhadap dosa-dosa bagi sesiapa yang bertaubat dan kembali ke jalan-Nya.
Ayat 67
قُلْ هُوَ نَبَؤٌا۟ عَظِيمٌ
Katakanlah (Muhammad), “Berita itu adalah berita yang besar.
Ayat 68
أَنتُمْ عَنْهُ مُعْرِضُونَ
Yang kamu berpaling daripadanya.
Kemudian Allah Swt memerintahkan Rasulullah saw menyatakan bahawa apa yang terkandung dalam Al-Quran yang adalah berita-berita yang besar dan tidak boleh dipandang ringan atau remeh. Berita-berita itu adalah seperti keesaan Allah Swt, kenabian baginda, Hari Kebangkitan, kisah umat-umat terdahulu juga kisah syurga dan neraka yang boleh memberikan manfaat kepada manusia.
Walaupun telah dinyatakan tentang keagungan Al-Quran dan telah dinyatakan dengan jelas hujjah-hujjah dan bukti-buktinya, namun masih ada di kalangan manusia yang tidak mahu mendengar peringatan daripada Al-Quran. Mereka tetap tidak mahu beriman dan mengambil petunjuk daripadanya.
Ayat 69
مَا كَانَ لِىَ مِنْ عِلْمٍ بِٱلْمَلَإِ ٱلْأَعْلَىٰٓ إِذْ يَخْتَصِمُونَ
Aku tidak mempunyai pengetahuan sedikit pun tentang alam yang tinggi (malaikat) itu ketika mereka berbantah-bantahan.
Ayat 70
إِن يُوحَىٰٓ إِلَىَّ إِلَّآ أَنَّمَآ أَنَا۠ نَذِيرٌ مُّبِينٌ
Yang diwahyukan kepadaku, bahawa sesungguhnya aku hanyalah seorang pemberi peringatan yang nyata.”
Keterangan tentang kisah Nabi Adam as dan hal-hal yang ghaib yang disampaikan oleh Rasulullah saw adalah daripada wahyu Allah Swt dan ditambah lagi dengan mukjizat-mukjizat baginda yang membuktikan kebenaran apa yang dibawanya.
Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:
“Dan tidaklah yang diucapkannya itu (Al-Quran) menurut kemahuan hawa nafsunya. Tidak lain (Al-Quran) itu adalah wahyu yang diwahyukan (kepadanya).”
An-Najm 53:3-4
“Katakanlah, ‘Taatlah kamu (kepada) Allah dan taatlah (kepada) Rasul, jika kamu berpaling maka sesungguhnya kewajipan Rasul (Muhammad) itu hanyalah apa yang dibebankan kepadamu. Dan jika kamu taat kepadanya, nescaya kamu mendapat petunjuk. Kewajipan Rasul hanyalah menyampaikan (amanat Allah) dengan jelas.’”
An-Nur 24:54
Ayat ini merupakan dorongan kepada manusia untuk memerhatikan dan berusaha untuk mendapatkan petunjuk yang berkaitan dengan perkara aqidah dan larangan bertaklid buta.